Audi e-tron Sportback versi produksi akhirnya didedah. Ia adalah model elektrik penuh e-tron kedua yang dikeluarkan oleh Audi, dengan menampilkan bentuk badan sedikit seperti coupe berbanding SUV biasa bagi e-tron yang pertama. Dalam perumpamaan mudahnya, ia seperti Q3 Sportback bagi Q3 biasa.

Varian paling atas e-tron Sportback 55 Quattro dikuasakan oleh dua motor elektrik untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 355 hp (265 kW) dan tork 561 Nm – sama seperti e-tron 55 Quattro standard. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 6.6 saat, tetapi bila anda menggunakan mod Boost, kuasanya boleh meningkat menjadi 402 hp (300 kW) dan 664 Nm, manakala 0-100 km/j menjadi 5.7 saat.

Bateri lithium ion 95 kWh yang digunakan diletakkan di lantai, dan ia beroperasi pada kadar voltan 396 volt dan boleh digunakan dengan pengecas pantas DC sehingga 150 kW. Apabila disambungkan, baterinya boleh kembali ke tahap 80% dalam masa cuma 30 minit, dengan cas penuh boleh memberi perjalanan 446 km berdasarkan standard WLTP.

Varian e-tron Sportback 50 Quattro dipasang dengan bateri lithium ion 71 kWh yang lebih kecil. Kuasa keseluruhan varian ini adalah 312 PS (230 kW) dan 540 Nm, manakala pecutan 0-100 km/j pula boleh dilakukan dalam masa 6.8 saat, jarak gerak keseluruhan 347 km dan laju maksimum 190 km/j. Varian ini boleh menggunakan pengecas pantas DC hingga 120 kW, tapi baterinya masih boleh mencapati kapasiti 80% dalam masa 30 minit.

Untuk pengecasan menggunakan sistem AC, kabel CCS Type 2 yang diberi boleh disambung kepada sumber AC 11 kW, tetapi ia boleh ditingkatkan kepada 22 kWh dengan menggunakan pengecas onboard yang dijual sebagai pilihan tambahan (cuma ditawarkan pada pertengahan tahun 2020). Anda juga boleh mengecas menggunakan soket domestik biasa, dengan sambungan 230 volt dan output sehingga 11 kW. Melalui tetapan ini, bateri akan penuh dalam masa 8.5 jam.

Dimensi e-tron Sportback ini kebanyakannya adalah sama seperti e-tron biasa iaitu panjang 4,901 mm, lebar 1,935 mm, tinggi 1,616 mm, dan jarak roda 2,929 mm, tetapi ia mempunyai rintangan angin lebih baik, menjadi 0.25 Cd berbanding 0.27 pada model biasa.

Rekaan luar juga adalah sama, termasuk gril Singleframe serta lampu utama digital matrix LED (DML) yang pertama di dunia. Pilihan warna ada 13 termasuk Plasma Blue yang unik untuk model Sportback ini sahaja. Penutup tempat cas, angkup brek dan kemasan lengkuk roda menggunakan warna kontras sementara beberapa bahagian kemasan lain menggunakan warna hitam.

Sekiranya mengambil pakej S Line, anda akan mendapat rim 20 inci (pilihan sehingga unit 22 inci disediakan), suspensi udara dan bampar lebih aerodinamik dengan air curtain. Pakej Black Styling pula datang dengan kemasan keliling gril, tingkap serta cermin sisi yang diwarnakan hitam.

Sama seperti SUV e-tron biasa, bahagian dalam mempunyai dua skrin sesentuh (di atas berukuran 12.1 inci manakala yang di bawah 8.6 inci), dan ini termasuk dengan sistem infotainmen MMI Touch Response. Turut diberikan standard adalah Audi Virtual Cockpit 12.3 inci, manakala MMI Navigation Plus dan Audi Connect disediakan sebagai pilihan tambahan.

Untuk tempat duduk, pembeli boleh memilih bentuk Standard, Sport, S Sport ataupun khas, yang datang dengan liang pengudaraan serta fungsi urut. Bergantung kepada pilihan, jahitan yang digunakan juga berlainan. Sistem bunyi Bang & Olufsen disediakan sebagai pilihan tambahan.

Pada bahagian keselamatan, e-tron Sportback datang dengan secara terus dengan Audi Pre Sense Basic dan Audi Pre Sense Front Safety, tetapi ia boleh dinaik taraf kepada Audi Pre Sense 360 yang memberi fungsi AEB menyeluruh dan pengetat tali pinggang. Bergantung kepada pakej yang dipilih, kereta ini boleh datang dengan sehingga lima pengesan radar, lima kamera dan 12 pengesan ultrasonik. Harganya bermula dari 71,350 euros (RM329k) di Eropah.