Sepatutnya, Toyota tak perlu pun menghasilkan hot-hatch GR Yaris kerana jentera WRC sekarang boleh dihasilkan dari hatchback penumpang biasa. Namun untuk menghasilkan jentera lumba yang lebih kompetitif berbanding pasukan lain, prinsipal Toyota Gazoo Racing World Rally Team (TGR WRT), Tommi Makinen memohon syarikatnya membina kereta asas yang lebih baik berdasarkan kriteria tertentu.
Jadi, boleh dikatakan antara penyebab wujudnya Toyota GR Yaris ini adalah disebabkan Tommi Makinen. Dan baru-baru ini, Toyota telah mengumumkan bahawa juara dunia WRC empat kali berkenaan akan dinaikkan pangkat sebagai penasihat sukan permotoran Toyota Motor Corporation bermula 2021, bukan sahaja untuk membangunkan pelumba-pelumba dan perancangan strategik, malah turut akan membangunkan kereta-kereta prestasi jalan raya GR yang seterusnya!
Tommi Makinen mula menyertai Toyota Gazoo Racing WRT bermula sejak pasukan itu ditubuhkan pada 2017, dengan misi mengembalikan nama Toyota dalam kejohanan dunia berkenaan setelah menarik diri 18-tahun sebelum itu. Sehingga kini, pasukan yang dikemudi Makinen berkenaan telah mencapai pelbagai kejayaan besar antaranya bergelar juara dunia kategori pengeluar pada 2018, dan juga juara dunia kategori pemandu 2019 menerusi Ott Tanak.
Bermula 2021 juga, segala projek pembangunan dan rekaan jentera rali WRC yang sebelum ini dikendalikan Tommi Makinen Racing Oy (TMR) akan diambil alih semula oleh pasukan sama yang membawa nama Toyota pada era 80’an dan 90’an iaitu Toyota Team Europe, atau kini dikenali sebagai Toyota Gazoo Racing Europe GmbH.
Menurut Toyota, mereka telah membuat pelbagai perancangan dengan resolusi dari Makinen, belajar dari pengetahuan pembangunan jentera perlumbaan yang berkelas dunia oleh TMR, dalam usaha untuk menghubungkan pembangunan perniagaan spesifik ini. TGR WRT akan meneruskan aktivitinya di Finland dan Estonia seperti sebelum ini, dan masih menggunakan sumber manusia dan sebahagian fasiliti dari TMR.
“Sasaran projek Toyota WRC adalah untuk memulakan kembali operasi rali dunia secara efektif dengan organisasi yang fleksibel di mana ia hanya boleh dicapai oleh syarikat kecil. Suka untuk saya katakan bahawa sasaran itu telah pun dicapai dan tiba masa saya untuk maju menerima cabaran baharu bersama Toyota,” kata Tommi Makinen.
“Saya mahu berterima kasih kepada Akio Toyoda kerana mempercayai saya dengan projek ini dan menyokong kami sepanjang tempoh untuk mencapai sasaran yang telah kami tetapkan bersama. Saya tidak sabar untuk terus berkerja dengannya, mencorakkan masa hadapan Toyota dalam sukan bermotor.
“Kami gembira kerana seperti yang dirancang Toyota kini mengambil keputusan untuk mengambil alih operasi WRC yang telah kami bangunkan bersama dan saya juga sangat gembira dengan cara Toyota menyediakan pakar-pakar kami dengan pangkalan yang stabil serta masa hadapan Toyota Gazoo Racing World Rally Team. Adalah sangat penting untuk saya bagi memastikan operasi masih berjalan di Jyväskylä dan Tallinn, manakala Toyota Gazoo Racing Europe meletakkannya di bawah sayap mereka,” jelas Makinen lagi.
“Hanya selepas saya berjumpa dengan Tommi barulah saya boleh membuat keputusan untuk membawa kembali Toyota ke WRC. Kerana sokongannya kami membolehkan kami menang di WRC. Dan dengan menggunakan kepakarannya, kami mampu untuk menghasilkan GR Yaris, kereta sport 4WD,” kata presiden Toyota, Akio Toyoda.
“Selepas ini, beliau akan menjadi penasihat sukan permotoran kami. Selain dari memberikan nasihat pakarnya bagaimana mahu menang dalam perlumbaan, seperti apa yang telah dilakukan sebelum ini, kami mahukan beliau untuk memberikan segala nasihat bagi membolehkan Toyota menghasilkan kereta yang lebih baik.
“Walaupun selepas perlantikan jawatannya, tugasnya sebagai tenaga pengajar pemanduan saya tidak akan berubah. Tommi, mari kita memandu bersama lagi!” tambah Toyoda lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.