Satu lagi versi bagi motosikal retro R18 diperkenalkan oleh BMW Motorrad, iaitu R18 Classic. Ia mempunyai lebih banyak aksesori berbanding R18 biasa, yang dijual di Malaysia dalam versi First Edition pada harga RM149,500 tidak termasuk insurans.

Keistimewaan R18 Classic adalah dia dipasang dengan cermin penghadang angin hadapan, tempat duduk penumpang serta beg barangan tepi. Walaubagaimanapun, semua barang ini masih boleh dicabut bergantung kepada keperluan pengguna. Kemudiannya, ia turut dilengkapi dengan cruise control, lampu utama LED serta rim hadapan 16 inci.

Pakej kuasa adalah sama sahaja seperti R18 biasa, iaitu menggunakan enjin boxer 1,802 cc yang dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan serta sistem syaf untuk menghantar kuasa sehingga 91 hp pada 4,750 rpm dan 158 Nm tork pada 3,000 rpm kepada roda belakang.

Antara ciri lain yang diberikan pada R18 CLassic adalah tiga mod tunggangan, Hill Start Control, Reverse Assist, Ebgine Drag Torque Control (MSR) serta sistem tanpa kunci. Sama seperti versi First Edition biasa, R18 Classic First Edition juga akan menggunakan warna hitam serta pinstripe putih, kemasan krom, lencana R18 pada tempat duduk serta tanda First Edition di panel tepi.

Sebagai tambahan, jika pemilik mahukan lebih lagi aksesori untuk motosikal, mereka boleh memilih dua koleksi daripada Roland Sands ataupun katalog BMW sendiri. Kebanyakan bahagian aksesori ini dibuat daripada milled aluminium.