Gambar yang didapati daripada Forma Car ini adalah apa yang dikatakan sebagai model produksi Nissan Frontier 2021, terdedah lebih awal sebelum pelancaran rasminya. Kita juga sebelum ini pernah melihat spyshot Navara NP300 facelift 2021 yang datang dari Thailand, dan mempunyai rupa hampir sama.
Sementara gril dan bampar hadapan keduanya kelihatan serupa, lampu utama model pasaran Amerika Syarikat pula didapati mempunyai bahagian dalam yang lebih canggih dengan tetapan LED serta DRL berbentuk C. Berkemungkinan model di Thailand itu adalah varian yang rendah memandangkan ia juga menggunakan lampu halogen serta pemijak tepi plastik hitam biasa.
Model berwarna kelabu dalam gambar ini dilihat mempunyai lebih aksesori, mungkin yang termasuk dalam senarai pilihan Nissan seperti gril hitam, besi pelindung bampar, lengkuk roda lebih lebar, suspensi tinggi serta rim dan tayar lebih besar. Walaubagaimanapun, ia masih lagi kelihatan seperti model untuk kegunaan biasa, bukannya offroad yang ganas.
Gambar ini memberikan kita idea bagaimana rupa bahagian belakang trak pikap ini, di mana lampunya mendapat pencahayaan dalam berbentuk C, lampu penunjuk arah di tengah serta lampu undur di dalam unit yang sama. Ini adalah kali pertama Navara NP300 diberikan facelift, setelah ia diperkenalkan kepada dunia enam tahun lalu dan kemudiannya memasuki pasaran Malaysia pada tahun 2015.
Maklumat yang didapati setakat ini ada mengatakan enjin lama 2.5 liter diesel turbo 190 PS/450 Nm akan diganti dengan unit 2.3 liter yang diambil daripada model Terra, menghasilkan kuasa yang sama dan terus dipadankan bersama kotak gear automatik tujuh kelajuan. Menurut Forma Car, Frontier pasaran Amerika Syarikat dijangka menggunakan enjin V6 3.8 liter bersama padanan transmisi automatik sembilan kelajuan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.