VIDEO: Proton X50 – spesifikasi varian Standard, Executive, Premium dan Flagship, RM79k-RM103k

Proton X50 akhirnya dilancarkan secara rasmi hari ini, dan sekarang kita sudah ada senarai penuh spesifikasi, kelengkapan, dan yang paling penting harga untuk SUV segmen B terbaru ini. Anda boleh membaca laporan lengkap yang pernah kami siarkan sebelum ini, tetapi jika lebih suka menonton video, ini dia kami sudah sediakan.

X50 ditawarkan dalam empat varian, dengan harga yang bermula RM79,200 untuk model Standard, diikuti RM84,800 untuk Executive, RM93,200 untuk Premium dan RM103,300 untuk varian paling tinggi, Flagship. Semua harga ini tidak termasuk insurans dan cukai jalan, tetapi sudah mengambil kira pengecualian cukai jualan yang diberikan sehingga hujung tahun ini. Jaminan adalah selama lima tahun, tanpa had jarak perjalanan.

Selain rekaan yang menarik, X50 juga datang dengan sistem Geely Key User Interface versi terkini (GKUI 19) yang mempunyai rekaan baru serta dikatakan lebih responsif berbanding sistem yang digunakan pada X70.

Sistem Advanced Driver Assistance (ADAS) pada model Flagship juga adalah lebih maju berbanding sistem pada X70. Intelligent Cruise Control (ICC) yang baru dapat menggabungkan Adaptive Cruise Control dengan Lane Centring Assist, untuk memberikan kemampuan pemanduan semi autonomous Level 2. Turut diberi adalah sistem bantuan letak kenderaan untuk keluar dan masuk, brek kecemasan autonomous, Lane Keeping Assist serta lampu tinggi automatik.

Kuasa penggerak datang daripada dua enjin petrol tiga silinder 1.5 liter turbo yang ditawarkan dalam dua variasi. Standard, Executive dan Premium menggunakan unit multi-point injection (MPI) yang berkuasa 150 PS dan 226 Nm tork, memberikan penggunaan bahan api 6.5 liter bagi setiap 100 km.

Model Flagship pula menggunakan unit direct injection yang menghasilkan 177 PS dan 255 Nm tork, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat dan memberikan penggunaan bahan api sekitar 6.4 liter bagi setiap 100 km. Semua model X50 ini menggunakan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan dan sistem pacuan dua roda hadapan.

Ini semua adalah perkara asas. Bagaimana pula dengan perincian setiap varian, apa yang ada dan apa yang tiada? Kemudiannya berbaloi atau tidak dengan harga yang disiarkan? Saksikan video ini dan sekiranya anda ada apa-apa pendapat, sila nyatakan di ruang komen.

GALERI:Proton X50 1.5T Flagship 2020

GALERI:Proton X50 1.5T Premium 2020

GALERI:Proton X50 1.5T Executive 2020

GALERI:Gambar rasmi Proton X50 2020

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required