Proton X50 2020 – spesifikasi lengkap mengikut varian

Proton X50 2020 – spesifikasi lengkap mengikut varian

SUV Proton X50 telah pun selamat dilancarkan hari ini. Dan pasti ramai yang lega bila sudah mengetahui harga rasminya. Menawarkan empat varian, harga yang diumumkan ialah RM79,200 bagi Standard yang merupakan varian asas dalam barisan X50, diikuti dengan Executive (RM84,800), Premium (RM93,200) dan model spesifikasi penuh Flagship pula berharga RM103,300. Kesemuanya adalah harga atas jalan dengan pengecualian cukai jualan (SST) sehingga 31 Disember 2020.

Untuk yang masih berhajat menempahnya, sudah boleh melihatnya di hadapan mata di mata-mana bilik pameran Proton berhampiran. Sementara itu, sila baca dan teliti spesifikasi lengkap bagi setiap varian SUV yang sedang ‘laku keras’ di pasaran.

Proton X50 Standard

Merupakan model asas dalam barisan X50, tetapi kalau diteliti spesifikasi yang disenaraikan, ternyata ciri yang ditampilkan tidak kurang menariknya. Tanpa lampu kabus hadapan dan penderia parkir hadapan, penampilan varian Standard tidak tergugat, bahkan masih kelihatan bergaya dengan ciri sedia ada termasuk lampu utama projektor LED, gril hitam berkilat dengan garisan luar berwarna merah, splitter di bahagian bawah dengan warna gentian karbon dan roda rona perak 17-inci dengan tayar Giti. Di belakangnya, Standard menerima spoiler belakang, lampu LED dan dua paip ekzos yang sama, dihiasi dengan diffuser belakang cetakan gentian karbon.

Untuk bahagian dalam, varian ini didatangkan dengan roda stereng polyurethane dan tempat duduk upholstery balutan fabrik hitam sepenuhnya dengan jahitan kontras, dan merupakan satu-satunya varian yang dilengkapi empat beg udara. Ini sangat berbeza dengan ruang dalaman daripada varian Executive.

Proton X50 2020 – spesifikasi lengkap mengikut varian

Selain itu, ia turut menampilkan papan pemuka serba hitam, kluster instrumen analog tradisional dengan skrin berwarna bersaiz kecil, kawalan kelajuan, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin dan remote engine start.

Manakala ciri yang dikongsikan antara varian Standard dan Executive termasuklah brek parkir elektronik dengan penahan auto, tempat duduk pemandu larasan manual, empat pembesar suara, pendingin hawa manual dengan penuras kabin N95 dan corong udara untuk tempat duduk belakang dengan tiga pengecas USB dan kamera undur.

Varian standard juga menerima enjin yang sama dengan Executive dan Premium, iaitu 1.5 liter tiga-silinder pengecas turbo dengan sistem suntikan bahan api pelbagai-titik (MPI) yang dipanggil 1.5T PFI, namun direka sebagai 1.5L T untuk aplikasi ini. Kuasa yang dihasilkan mampu mencecah 150 PS (147 hp) pada 5,500 rpm dan tork 226 Nm dari 1,500 hingga 4,000 rpm.

Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik dwi-klac (basah) tujuh-kelajuan, dengan pacuan disalurkan ke roda hadapan. Kotak gear ini adalah sama untuk kesemua varian, memiliki mod manual, tetapi tidak disertakan dengan pedal penukar gear. Terdapat tiga mod pemanduan iaitu Normal, Eco dan Sport.

Proton X50 Executive

Varian Executive ini ditawarkan pada harga RM84,800, iaitu lebih RM5,600 berbanding Standard, turut ditambah dengan beberapa ciri termasuk penderia parkir hadapan, lampu kabus LED dan lampu utama dengan fungsi automatik. Di dalamnya, ia diberikan roda stereng balutan kuilit, tempat duduk upholstery kulit tiruan hitam sepenuhnya dan dua beg udara tambahan menjadikan keseluruhannya berjumlah enam unit.

Sama seperti Standard, Executive didatangkan dengan paparan tengah skrin sesentuh lapan-inci yang lebih kecil. Ia menyokong arahan suara Hi Proton, navigasi dalam talian menerusi AMAP, strim muzik dalam talian menerusi Joox. Ia juga didatangkan dengan ketersambungan telefon pintar dan Bluetooth serta ada kamera undur.

Proton X50 Premium

Seterusnya, kita meneliti varian kedua tertinggi dalam barisan X50, dan Premium yang diberikan ciri tambahan termasuk kaliper brek merah dan roda aloi dwi-tona 18-inci dengan tayar Continental UltraContact 6. Varian ini juga menerima rel bumbung berwarna perak dan lampu “welcome” hadapan yang dipancarkan dari cermin sisi.

Untuk kabinnya, Premium menampilkan kemasan dalaman dwi-tona, dengan penggunaan lebih banyak warna merak gelap pada bahagian papan pemuka, pemuka pintu dan perehat tangan di tengah. Tempat duduk upholstery balutan kulit tiruan juga didatangkan dengan dua skim warna.

Kit tambahan lain untuk varian ini termasuklah tempat duduk pemandu larasan kuasa dan kluster instrumen digital sepenuhnya, dilengkapi tema berlainan untuk tiga mod pemanduan.

Skrin sesentuh tengah juga dipertingkatkan ke unit 10.25-inci, dan ditambah dengan beberapa fungsi ektra bagi arahan suara Hi Proton, termasuk operasi kawalan tingkap. Varian Premium juga ditambah dengan ketersambungan aplikasi Proton Link, di mana anda boleh mengunci dan membuka kunci serta boleh menghidupkan pendingin hawa dengan menggunakan alat kawalan menerusi telefon pintar anda.

Berkenaan dengan pendingin hawa, Premium menerima kawalan suhu automatik, walau pun masih menggunakan sistem zon-tunggal. Selain itu, pembesar suara bagi sistem audion ditambah dari empat ke enam unit, dan turut didatangkan dengan sistem pemantauan tekanan tayar. Turut didatangkan iaialah sistem kamera parkir 360-darjah.

Lain-lain perubahan adalah untuk kawalan tingkap, di mana Premium menerima kawalan secara automatik bagi kesemua tingkap. Manakala varian yang lebih rendah menerima kawalan untuk menurunkan tingkap secara auto, tetapi fungsi auto untuk kawalan menaikkan tingkap hanya untuk pemandu.

Proton X50 Flagship (RM103,300)

Flagship merupakan satu-satunya model yang ditampilkan dengan enjin berbeza – masih dengan 1.5 liter pengecas turbo tiga-silinder, tetapi dengan penjana kuasa 1.5 liter bersama sistem suntikan bahan api terus (GDI) dengan kuasa 177 PS dan 255 Nm, di mana ia lebih 27 PS dan 29 Nm berbanding unit MPI yang diberikan pada tiga varian lain.

Untuk bahagian luarannya, ia diberikan dua-tona warna termasuk bumbung berwarna hitam, begitu juga dengan perumah cermin sisi juga rona hitam. Malah kelihatan lencana TGDi di bahagian sisi badan. Di dalamnya, ciri ekstra yang ditampilkan termasuklah bumbung matahari panoramik sepenuhnya dengan tirai suria larasan kuasa dan juga cermin pandang belakang auto-kelam, serta bilah pengelap cermin automatik.

Bahagian yang paling menarik untuk varian ini ialah ia didatangkan dengan kamera tambahan yang diletakkan di belakang cermin hadapan dan juga radar yang dipasang pada bampar. Ia merupakan sebahagian daripada Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) yang merangkumi Amaran Pelanggaran Hadapan dengan Brek Kecemasan Sendiri (AEB).

Lain-lain ciri untuk ADAS termasuklah Kawalan Kelajuan Adaptif dengan fungsi Stop and Go, bantuan kekal lorong aktif, amaran ketibaan lorong, amaran titik buta, lampu tinggi auto dan bantuan parkir auto.

Akhir sekali, pilihan warna luaran, di mana ia didatangkan dengan enam warna untuk dipilih. Walau bagaimana, bukan untuk semua varian. Di mana varian Standard diberikan pilihan warna Snow White, Armour Silver dan Ocean Blue, sementara Executive ditambah dengan pilihan warna Jet Grey dan Citric Orange. Manakala warna Passion Red pula eksklusif untuk Premium dan Flagship.

Berikut merupakan pecahan spesifikasi lengkap mengikut kesemua empat varian X50:

Proton X50 1.5T Standard 2020 (RM79,200)

Menerima ciri standard termasuk:

Mekanikal

  • Enjin 1.5T PFI 1.5 liter
  • 1,477 cc sistem suntikan bahan api pelbagai-titik (MPI), tiga-silinder pengecas turbo
  • 150 PS (atau 147 hp) pada 5,500 rpm
  • 226 Nm dari 1,500 hingga 4,000 rpm
  • Transmisi automatik dwi-klac (basah) tujuh-kelajuan dengan mod manual (tanpa pedal penukar gear
  • Tiga mod pemanduan (Normal, Eco dan Sport)
  • Pacuan roda-hadapan
  • Cakera brek Ventilated (hadapan), cekara solid (belakang)
  • Brek parkir elektronik dengan fungsi menahan brek auto
  • Suspensi dengan topang MacPherson (front), torsion beam (belakang)
  • Kapasiti tangki bahan api 45 liter
  • Berat 1,325 kg

Luaran

  • Roda aloi (perak) 17-inci dengan tayar profil 215/60
  • Lampu utama projektor LED
  • Lampu nyalaan siang LED
  • Lampu belakang LED
  • Gril hitam berkilat dengan garisan luar merah
  • Splitter bawah hadapan dengan cetakan gentian karbon
  • Spoiler belakang
  • Dua pasang paip ekzos, diffuser belakang dengan cetakan gentian karbon

Dalaman

  • Upholstery fabrik hitam dengan jahitan kontras kelabu
  • Headliner kelabu
  • Tempat duduk hadapan larasan manual
  • Pendingin hawa manual
  • Roda stereng Urethane dengan suis kawalan
  • Kluster instrumen meter standard
  • Kawalan kelajuan dengan pengehad kelajuan
  • Kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin
  • Remote engine start
  • Corong udara di belakang
  • Sistem infotainmen skrin sesentuh lapan-inci dengan GKUI 19
  • Kawalan suara, navigasi, ramalan cuaca dalam talian dan strim muzik Joox
  • 4G dan WiFi, ketersambungan Bluetooth dan telefon pintar
  • Empat pembesar suara
  • Tiga port USB (satu data, dua pengecas)
  • Penuras kabin N95
  • Ruang but berkapasiti 330 liter

Keselamatan

  • Empat beg udara (hadapan dan sisi)
  • Kawalan Kestabilan elektronik (ESC) dan kawalan cengkaman
  • ABS, EBD, bantuan brek
  • Bantuan mula mendaki, dan kawalan turun bukit
  • Kamera undur
  • Empat penderia parkir belakang

Warna

  • Snow White, Armour Silver, Ocean Blue

Proton X50 1.5T Executive 2020 (RM84,800)

Proton X50 2020 – spesifikasi lengkap mengikut varian

Ditambah:

Mekanikal

  • Berat 1,345 kg

Luaran

  • Lampu utama automatik
  • Lampu kabus hadapan LED

Dalaman

  • Uphosltery kulit tiruan rona hitam dengan jahitan kontras kelabu
  • Roda stereng balutan kulit dengan fungsi suis kawalan

Keselamatan

  • Enam beg udara (hadapan, sisi, tirai)
  • Dua penderian parkir hadapan

Warna

  • Seperti di atas dengan tambahan Jet Grey dan Citric Orange

Proton X50 1.5T Premium 2020 (RM93,200)

Proton X50 2020 – spesifikasi lengkap mengikut varian

Ditambah:

Mekanikal

  • Berat 1,350 kg

Luaran

  • Roda aloi 18-inci dengan tayar profil 215/55
  • Kaliper brek warna merah
  • Rel bumbung (perak)

Dalaman

  • Upholstery kulit tiruan dengan rona hitam dan merah bersama jahitan kontras merah
  • Headliner hitam
  • Dalaman dengan dwi-warna hitam dan merah
  • Tempat duduk pemandu larasan kuasa dengan enam-hala
  • Pendingin hawa auto zon-tunggal
  • Kluster instrumen digital LED warna sepenuhnya
  • Lampu ‘welcome’ yang dipancarkan menerusi cermin sisi
  • Unit infotainment skrin sesentuuh 10.25-inci
  • Fungsi suara untuk antara muka GKUI 19
  • Enam pembesar suara
  • Ketersambungan Proton Link App (status kenderaan, kawalan jauh)

Keselamatan

  • Sistem pemantauan tekanan tayar
  • Kemera 360-darjah

Warna

  • Kesemua di atas, ditambah Passion Red

Proton X50 1.5 TGDi Flagship 2020 (RM103,300)

Proton X50 2020 – spesifikasi lengkap mengikut varian

Ditambah:

Mekanikal

  • Enjin 1.5 TDI
  • 1,477 cc suntikan-terus, pengecas turbo tiga-silinder
  • 177 PS (atau 174 hp) pada 5,500 rpm
  • 255 Nm dari 1,500 hingga 4,000 rpm
  • Berat 1,370 kg

Luaran

  • Dua-tona (tiang dan bumbung hitam)
  • Bilah pengelap cermin automatik dengan pengesan hujan

Dalaman

  • Bumbung matahari panoramik
  • Cermin pandang belakang auto-kelam

Keselamatan

  • Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW) dengan Brek Kecemasan Sendiri(AEB)
  • Kawalan Kelajuan Adaptif (ACC) dengan fungsi Stop & Go
  • Kawalan Kelajuan Pintar (ICC)
  • Bantuan Kekal Lorong (LKA)
  • Amaran Ketibaan Lorong(LDW)
  • Sistem Informasi Titik Buta (BLIS)
  • Kawalan Lampu Tinggi Pintar
  • Bantuan Parkir Auto
  • Empat Penderia Parkir Hadapan

GALERI:Proton X50 1.5T Flagship 2020

GALERI:Proton X50 1.5T Premium 2020

GALERI:Proton X50 1.5T Executive 2020

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required