Geran padanan baru RM10 juta untuk pemandu teksi – potongan hingga RM4k untuk Proton S70 Teksi Madani

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan geran padanan baru berjumlah RM10 juta bagi menggalakkan pemilik teksi lama menukar kenderaan mereka kepada model baru menerusi program tukar beli dan pelupusan teksi.

Pengumuman itu dibuat ketika majlis pelancaran Program Pembaharuan Teksi Madani Nasional. Inisiatif tersebut menggunakan konsep yang sama seperti skim tukar beli dan pelupusan kenderaan persendirian lama yang diumumkan semasa Belanjawan 2026.

Sebagai imbasan, Kementerian Pengangkutan pada Januari lalu memperkenalkan program yang menyasarkan kira-kira 5,000 pemilik kenderaan persendirian berusia 20 tahun dan ke atas untuk beralih kepada kenderaan baru yang lebih selamat, cekap serta mesra alam daripada Proton dan Perodua.

Geran padanan baru RM10 juta untuk pemandu teksi – potongan hingga RM4k untuk Proton S70 Teksi Madani

Menerusi skim itu, pengeluar kenderaan menawarkan insentif tukar beli sehingga RM2,000 yang akan dipadankan oleh kerajaan dengan jumlah yang sama. Ini bermakna pembeli boleh menikmati insentif keseluruhan sehingga RM4,000.

Tidak lama selepas itu, Proton mengumumkan Saga dan eMas 5 layak menerima insentif tukar beli sehingga RM1,000 yang dipadankan kerajaan dengan tambahan RM1,000 lagi. Bagi model-model Proton yang lain, insentif sehingga RM2,000 turut ditawarkan, dengan kerajaan turut menyediakan geran padanan RM2,000, menjadikan jumlah keseluruhan insentif mencecah RM4,000.

Bagi program yang diumumkan hari ini, kerajaan menyasarkan kira-kira 5,000 pemilik teksi lama untuk menukar kenderaan mereka kepada Proton S70 versi teksi. Skim tersebut turut menawarkan geran padanan yang sama, iaitu sehingga RM2,000 daripada Proton dan tambahan RM2,000 daripada kerajaan.

Menurut maklumat yang dikongsikan, Proton S70 versi teksi yang dikecualikan daripada duti eksais dan cukai jualan dijangka ditawarkan pada harga sekitar RM64,500 atas jalan tanpa insurans. Sebagai perbandingan, Proton S70 Premium ketika ini dijual pada harga RM74,800 termasuk rebat pelancaran sebanyak RM5,000.

Ini bermakna, dengan mengambil kira insentif tukar beli maksimum RM4,000, pemilik teksi lama berpeluang memiliki Proton S70 baru pada harga serendah kira-kira RM60,500.

Satu lagi perubahan penting menerusi program ini ialah pemansuhan sistem pajakan teksi. Selepas amalan pemberian permit teksi kepada pihak tertentu ditamatkan, pemandu kini boleh memiliki sendiri kenderaan yang dipandu tanpa perlu menyewa atau memajak daripada syarikat atau pemegang permit, sekaligus memberi pemilikan penuh kepada mereka.