Mitsubishi Xpander vs Honda BR-V 2020 — bandingan jumlah kos servis bagi tempoh lima-tahun/100,000 km

Mitsubishi Xpander vs Honda BR-V 2020 — bandingan jumlah kos servis bagi tempoh lima-tahun/100,000 km

Dari satu sudut, pasaran automotif tempatan tahun 2020 agak menarik kerana banyak penawaran model yang dijual pada harga di bawah RM100k ketika ini. Dengan bajet itu, pilihan juga terbentang luas; tidak hanya melibatkan kereta sedan segmen B terbaru – ada Honda City dan Nissan Almera sebagai contoh, tidak lupa juga Toyota Vios facelift. Dan satu lagi, kita ada Proton X50 juga.

Namun, bagi yang inginkan penggunaan untuk keluarga, kenderaan tujuh-tempat duduk memberikan banyak kelebihan. Pesaing terbaru bagi segmen ini juga ada dalam pasaran tempatan, apalagi kalau bukan Mitsubishi Xpander, sebuah MPV tiga baris tempat duduk dengan penggayaan SUV. Dan, bukan Mitsubishi yang pertama menawarkan kenderaan segmen ini; pada tahun 2017, Honda sudah terlebih dahulu menjual model BR-V.

Kedua-duanya berkongsi konsep yang sama. Enjin NA 1.5 liter empat-silinder menjadi nadi penggerak kedua-duanya – Xpander dengan DOHC MIVEC yang menghasilkan 105 PS dan 141 Nm, sementara BR-V dengan SOHC i-VTEC yang menjana 120 PS dan 145 Nm. Angka puncak bagi BR-V lebih tinggi, tetapi Xpander mempunyai kelebihan dalam julat rpm yang lebih rendah – yang lebih berguna sekiranya membawa banyak beban. Selain itu, Xpander menggunakan transmisi empat-kelajuan automatik torque converter, sementara BR-V dengan CVT.

Mitsubishi Xpander vs Honda BR-V 2020 — bandingan jumlah kos servis bagi tempoh lima-tahun/100,000 km

Rekaannya juga menjadikan Xpander sebuah kenderaan yang lebih besar; dengan 18 mm lebih panjang (4,475 mm), 15 mm lebih lebar (1,750 mm) dan 23 mm lebih tinggi (1,700 mm) berbanding BR-V, yang hadir dengan jarak antara roda yang 113 mm lebih panjang (2,775 mm). Dengan kerusi barisan ketiga dilipat, Xpander memberikan 781 liter kapasiti ruang barang berbanding BR-V yang cuma ada 539 liter.

Dari segi harga, tidak banyak beza antara keduanya; Xpander dijual pada harga RM91,369 atas jalan dengan pengecualian SST sedikit lebih murah berbanding BR-V yang dijual pada harga RM93,420 untuk varian V yang paling tinggi, dengan pengecualian SST juga.

Sebelum ini kami pernah membandingkan keduanya untuk melihat aspek penawaran spesifikasi. Tetapi kali ini kami ingin membawa perhatian anda kepada perbezaan kos servisnya pula, berdasarkan maklumat servis yang diperoleh daripada laman web rasmi Mitsubsihi Motors Malaysia dan juga Honda Malaysia.

Kedua-duanya datang dengan jaminan kilang selama lima-tahun tanpa had perbatuan, tetapi Honda turut menawarkan kos buruh percuma bagi lima kali servis berselang. Tempoh servisnya adalah setiap enam bulan atau 10,000 km, yang mana dulu. Servis 1,000 km pertama hanya untuk pemeriksaan. Jika untuk Honda ia diberikan percuma, Mitsubishi akan mengenakan caj RM37.10 untuk kos buruh.

Mitsubishi Xpander vs Honda BR-V 2020 — bandingan jumlah kos servis bagi tempoh lima-tahun/100,000 km

Anda juga akan perasan caj bagi minyak enjin dan drain plug washer bagi Mitsubishi – yang sememangnya perlu ditukar sepanjang tempoh hayat kenderaan – lebih tinggi berbanding Honda; RM140.46 vs RM114.46. Bagaimanapun, ambil maklum cadangan minyak enjin oleh Honda ialah dari jenis semi-sintetik. Kos bagi pilihan minyak sintetik penuh dengan drain plug washer ialah RM130.80, masih sedikit lebih murah.

Penapis minyak enjin juga ditukar pada setiap servis oleh Mitsubishi, sementara Honda akan menukarnya setiap servis yang berselang berikutnya untuk kos yang lebih rendah. Mitsubishi menimbal balik dengan penukaran penapis udara bagi setiap 40,000 km, berbanding Honda yang perlu ditukar setiap 30,000 km. Ini bermakna, dalam tempoh lima-tahun, Xpander memerlukan penukaran penapis udara sebanyak dua kali (RM80.10 setiap kali) berbanding BR-V tiga kali (RM92.04 setiap kali).

Satu lagi perkara yang lebih kos pada Honda BR-V ialah penapis habuk untuk kabin, yang perlu ditukar setiap 30,000 km dengan kos RM145.38. Penapis kabin untuk Xpander pula perlu ditukar dalam jarak yang sama, tetapi dengan kos yang lebih rendah; RM60.30 setiap kali.

Bagi pelincir transmisi pula, kedua-dua jenama ada pendekatan yang berbeza, kerana pilihan jenis kotak gear yang juga berbeza. Penukaran pelincir bagi transmisi 4AT Xpander hanyalah sekali dalam tempoh lima-tahun, pada servis 100,000 km. Penukaran pelincir CVT bagi BR-V pula perlu dilakukan setiap 40,000 km dan 80,000 km. Kos servis keseluruhan bagi transmisi ialah RM294.12 bagi Xpander dan RM258.48 bagi BR-V.

Kos paling besar yang dikenakan satu kali oleh Xpander ialah untuk penapis minyak (RM484.20 pada 60,000 km) dan palam pencucuh Iridium bagi BR-V (RM380.90 pada 100,000 km). Pemilik BR-V boleh menjangkakan bil servis yang lebih konsisten; hanya pada servis 100k km bil berkenaan akan melebihi angka RM500, disebabkan penukaran palam pencucuh tersebut. Bagi Xpander pula, agak ketara angkanya bagi setiap servis – dalam lima tahun, pemilik akan membayar sekitar RM200 sebanyak lima-kali (tidak termasuk caj buruh untuk servis 1,000 km), tetapi ada empat kali caj yang lebih mahal antara RM546.64 hingga RM911.41 (60k km) yang perlu diambil kira.

Akhir sekali, jumlah keseluruhannya. Servis dan penyelenggaraan bagi Xpander bagi jarak 100,000 km atau lima-tahun ialah RM4,215, sementara bagi BR-V pula ialah RM3,592 bagi jarak atau tempoh yang sama. Itu melibatkan perbezaan sebanyak RM623, yang akan menjadi RM463 sekiranya memilih pelincir enjin sintetik penuh untuk Honda (menjadi RM3,752 untuk lima-tahun). Perbezaan beberapa ratus ringgit yang diagihkan dalam tempoh lima-tahun mungkin tidak akan menjadi faktor penentu kepada pilihan anda (tambahan pula Xpander dijual pada harga yang sedikit lebih murah), cuma kami rasakan perkara ini patut anda tahu sebelum membuat pilihan. Selebihnya, terserah kepada anda sendiri.

Mitsubishi Xpander 2020 di Malaysia

Honda BR-V 2020 Gred V

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required