Mitsubishi Xpander vs Honda BR-V — perbandingan spesifikasi antara pesaing MPV tujuh-tempat duduk

Mitsubishi Xpander vs Honda BR-V — perbandingan spesifikasi antara pesaing MPV tujuh-tempat duduk

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengesahkan bahawa model Xpander akhirnya akan tiba juga di Malaysia. MPV tujuh-tempat duduk itu akan dilancarkan tahun ini, dengan saingan utamanya dalam pasaran tidak lain ialah Honda BR-V. Jadi, menarik juga untuk melihat perbandingan antara kedua-dua model ini dari segi spesifikasi, sebelum pengenalan rasmi Mitsubishi Xpander di sini.

Namun, perlu diingatkan bahawa perincian berkaitan Xpander untuk pasaran tempatan masih belum diketahui. Jadi, angka-angka yang ditunjukkan ini adalah berdasarkan model yang dijual di Indonesia. Harga juga masih belum diketahui bagi Xpander, namun jangkaannya ia tidak lari jauh daripada harga Honda BR-V, yang dijual pada RM86,726 bagi varian 1.5 E dan RM93,420 bagi 1.5 V.

Sekiranya anda inginkan sebuah kenderaan yang besar, maka Xpander ada kelebihan tersebut. Dari segi ukuran dimensi, Xpander lebih luas berbanding BR-V dari segenap sudut – 18 mm lebih panjang (4,475 mm), 15 mm lebih lebar (1,750 mm) dan 23 mm lebih tinggi (1,700 mm) dengan jarak antara roda juga 113 mm lebih panjang (2,775 mm). Ini tentunya menjadikan ruang dalaman juga lebih luas dan selesa, begitu juga dengan ruang barangan Xpander yang lebih besar – dengan kerusi barisan ketiga direbahkan – dengan 781 liter berbanding 539 liter.

Mitsubishi Xpander vs Honda BR-V — perbandingan spesifikasi antara pesaing MPV tujuh-tempat duduk

Tentang lipatan kerusinya, Mitsubishi mendakwa Xpander adalah satu-satunya kenderaan dalam kelasnya yang mana kerusi barisan kedua dan ketiga boleh direbahkan mendatar sepenuhnya, manakala kerusi pada BR-V diposisikan di atas lantai dan perlu dilipat terlebih dahulu untuk mendapatkan ruang barangan sepenuhnya. Ini menjadikan Xpander memiliki ruang barang yang lebih mudah untuk memuatkan saiz yang lebih besar dan panjang.

Bagaimanapun, enjin Xpander kurang berkuasa berbanding BR-V, disebabkan saiz badannya lebih besar. Walaupun unit 1.5 liter MIVEC empat-silinder mempunyai DOHC berbanding SOHC pada unit i-VTEC Honda, ia menghasilkan kurang kuasa dan tork pada 105 PS dan 141 Nm, berbanding janaan BR-V 120 PS dan 145 Nm. Bagaimanapun, kuasa dan tork puncak bagi Xpander dicapai dalam keadaan rpm lebih rendah, masing-masing 6,000 rpm dan 4,000 rpm, yang menjadikan enjinnya kurang terbeban.

Xpander juga mempunyai jarak kelegaan tanah yang sedikit lebih tinggi pada 205 mm, serta radius belokan yang lebih ketat pada 5.2 meter berbanding 5.6 meter bagi BR-V. Senarai kelengkapan lain, Xpander mendahului dengan penggunaan lampu utama LED pada versi facelift, berbanding unit projektor halogen pada BR-V. Ia juga menerima latasan stereng teleskopik, berbanding hanya larasan tilt bagi BR-V.

Kedua-dua Xpander dan BR-V lengkap dengan sisten infotainmen skrin sentuh tujuh-inci, walaupun Mitsubishi mungkin akan menawarkan sekali ciri Apple CarPlay/Android Auto untuk dijadikan kelebihan untuknya. Bagi aspek keselamatan pula, kedua-dua model agak setara dengan kelengkapan dua beg udara, ABS dan EBD serta Brake Assist, kawalan kestabilan, bantuan mula mendaki dan ISOFIX pada barisan kedua. Xpander pula mungkin akan ditawarkan dengan ruang kabin warna hitam, walaupun di Indonesia ia juga datang dengan skim warna beige yang lebih cerah.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

 

Add a comment

required

required