PANDU UJI: Mercedes-AMG A35 4Matic Edition 1 2020 tangkas, bergaya – ledakan adrenalin yang menguja

PANDU UJI: Mercedes-AMG A35 4Matic Edition 1 2020 tangkas, bergaya – ledakan adrenalin yang menguja

Anda berangan untuk memiliki Mercedes-AMG A45 S 4Matic+, tetapi bajet untuk membeli sebuah jentera premium sport sebegitu lebih kurang di bawah RM400,000. Jangan risau, anda ada pilihan lain yang tak kurang hebatnya juga, kiranya ‘saudara sepusat sepusingnya’ juga iaitu Mercedes-AMG A35 4Matic, hatchback yang berharga RM379,888. Kurang RM80,000 daripada A45.

Tapi adakah A35 ini boleh meledakkan adrenalin anda? Dalam masa yang sama, mungkin boleh membuatkan anda jadi perhatian kerana kekacakan jentera ini yang mudah mencuri tumpuan ramai. Apatah lagi bila kedengaran deruman enjin dan ekzosnya.

A35 yang didatangkan dengan varian tunggal Edition 1 ini dipadankan dengan enjin yang sama dengan model standard Mercedes-Benz A 250 iaitu unit M260 petrol 2.0 liter turbo empat-silinder, namun diberikan talaan yang berbeza iaitu dengan lonjakan kuasa 306 hp pada 5,800 rpm dan 400 Nm tork dari 3,000 hingga 4,000 rpm. Iaitu lebih 84 hp dan 50 Nm berbanding A 250 (224 hp/350 Nm).

PANDU UJI: Mercedes-AMG A35 4Matic Edition 1 2020 tangkas, bergaya – ledakan adrenalin yang menguja

Penjana kuasa ini turut digandingkan dengan transmisi AMG Speedshift 7G tujuh-kelajuan bersama sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic. Ia mampu menghantar 50% tork ke roda belakang melalui klac multi-plat elektro-mekanikal.

Menurut Mercedes-Benz, penggunaan bahan api untuk hatchback A35 ini dianggarkan sekitar 7.6 liter bagi setiap 100 km, berbanding 7.4L/100 km pada versi sedan yang ternyata lebih menjimatkan.

Jadi bagaimana dengan ledakan kuasa dan prestasinya? Walau pun tidak pernah memandu A45, namun bagi penulis, prestasi yang dilampiaskan menerusi A35 cukup menguja dan sesuai dengan penampilannya sebagai jentera premium prestasi.

Penulis berkesempatan melenjannya di lebuhraya Utara-Selatan dan jalan biasa termasuk jalan luar bandar dengan corak laluan berliku di Kuala Kubu Bharu. Sememangnya A35 ini memberikan prestasi yang diingini mengikut corak pemanduan.

PANDU UJI: Mercedes-AMG A35 4Matic Edition 1 2020 tangkas, bergaya – ledakan adrenalin yang menguja

Bagi pemanduan normal, tanpa kerahan enjin yang berlebihan, boleh dikatakan jentera ini memang cukup mudah serasi dengan penulis. Ia mudah ‘membaca’ pemanduan yang bagaimana hendak dicorakkan. Dengan sedikit tekanan pada pedal pendikit dan kemudiannya menginjak ke kelajuan yang lebih tinggi, jentera meluncur begitu lancar, tanpa teragak-agak untuk memuntahkan hamburan kuasa yang diingini.

Cuma adakalanya bunyi bising sedikit membingit, puncanya daripada tayar, bukannya enjin. Kalau pedal pendikitan diberikan tekanan secara maksima, deruman ekzos seakan irama, menambah ledakan adrenalin penulis untuk terus menikmati pemanduan yang lebih menguja.

Selain bunyi bising tayar, adakalanya turbo lag sedikit dirasai. Tetapi ia tidak merundumkan fokus pemanduan. Bagi penulis, kerjasama antara enjin turbo dan transmisinya memang cukup senada. Transmisinya cukup responsif, pantas dan jika menggunakan mod manual, lebih menyeronokkan. Tetapi jika kelajuan di tahap rendah, terasa sedikit ‘jerking’ pula.

PANDU UJI: Mercedes-AMG A35 4Matic Edition 1 2020 tangkas, bergaya – ledakan adrenalin yang menguja

Jadi, kalau hendak menikmati transmisi secara manual, pilih saja mod pemanduan Sport+, dengan keadaan jalan yang lengang, maka bolehlah bereksprementasi dan mengeksplorasi pemanduan yang lebih bersesuaian dengan kudrat A35 ini. Malah rev enjin mudah mencapai 6,000 rpm apabila mod Sport+ digunakan. Selain Comfort dan Sport+, ada dua lagi pilihan mod iaitu Sport dan Individual yang boleh dipilih menerusi AMG Dynamic Select.

Jika memilih mod Comfort, pastikan anda memilih pemanduan yang berskala sederhana. Ini kerana jika sedang dalam kelajuan yang rendah atau sederhana, dan tiba-tiba anda mahu memecut, kuasanya seakan “pause” sejenak sebelum memberikan sedikit momentum tambahan yang terdorong dengan kerahan pada pedal pendikit. Jadi, anda kena tahu memilih mod pemanduan dengan prestasi yang diingini.

Anda juga boleh melaras Adaptive Dampers di mana sistem ini boleh dipilih sama ada dalam mod Comfort, Sport dan Sport+. Pemilihan mod suspensi ini boleh dilakukan menerusi butang dail yang terletak pada roda stereng dan juga konsol tengah.

PANDU UJI: Mercedes-AMG A35 4Matic Edition 1 2020 tangkas, bergaya – ledakan adrenalin yang menguja

Yang pastinya untuk mod Sport+, suspensi akan terasa lebih keras dan tegar, lebih sesuai jika jentera dipandu dalam kelajuan yang tinggi. Tetapi pastinya penumpang terutamanya yang duduk di belakang akan terasa olengan yang lebih ketara. Silap haribulan boleh kena motion sickness!

Namun sebenarnya ada kegunaannya olengan badan ini, kerana ia dapat ‘memaklumkan’ kepada pemandu berapa kelajuan yang sedang dikerah apabila berada di selekoh. Semakin tinggi kelajuan, maka olengan badan akan kian terasa bila berada di selekoh, malah boleh mendorong berlakunya understeer. Jadi, bila sedang melalui selekoh, kenalah mengurangkan kelajuan demi keselamatan bersama.

Sistem kawalan stereng juga sama seperti A45, tetapi dengan versi yang dipertingkatkan berbanding model terdahulu. Nisbah kawalannya lebih pantas, ini membuatkan stereng A35 lebih ‘direct’ , tepat dan terasa sedikit berat bila mod pemanduan bertukar dari Comfort ke Sport+.

Kalau anda seorang yang berhati kering, dan hendak melenjan A35 ini pada tahap maksima, ia diserta dengan fungsi Race Start, yang membolehkan hatchback ini dipecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat, iaitu 0.1 saat lebih pantas berbanding versi sedan. Dan fungsi ini sebenarnya lebih sesuai diuji di litar lumba, bukan di jalan raya biasa. Penulis tidak mengambil kesempatan untuk menguji fungsi ini kerana lebih mementingkan keselamatan diri, penumpang dan juga pengguna jalan raya yang lain.

Untuk bahagian brek, A35 ini menggunakan angkup empat piston serta cakera berliang 350 mm di hadapan, manakala di belakang pula menggunakan angkup satu piston dengan cakera 330 mm.

Secara konklusinya, pengendalian A35 ini memang cukup mengujakan, malah boleh meledakkan adrenalin ke tahap maksima. Ia stabil dan tangkas mengikut gaya pemanduan yang diingini dan corak jalan yang dilalui. Pengendaliannya juga boleh dikatakan agak selesa dan menyenangkan.

Namun jika anda melalui speed bump, haruslah memperlahankan jentera, andai tidak, ia akan membuahkan rasa annoying kerana jentera ini agak rendah (lowered) dan hati boleh tersentap jika terdengar ia bergeser dengan speed bump.

Melihat imej luarannya pula, tidak jauh berbezanya dengan model A250 AMG Line. Apa yang membezakannya cuma A35 dilengkapi dwi palang gril, diffuser belakang dan paip ekzos berkembar, sekaligus menjadikan hatchback prestasi kelihatan lebih sporty dan menyerlah.

Ia juga didatangkan dengan splitter hadapan yang besar, corner flics yang merupakan pakej aerodinamik serta dipadankan bersama roda aloi pelbagai-jejari keemasan 19-inci yang dibaluti tayar Pirelli P Zero 235/35R19. Pada bahagian bawah sisi dan perumah cermin sisinya, dipadankan dengan kemasan jaluran keemasan yang memberikannya sentuhan lebih mewah dan sporty.

Melewati bahagian belakangnya, ia dihiasi rooftop wing yang besar, dengan sepasang paip ekzos. Selebihnya ia memang mirip dengan A 250 AMG Line. Dan warna Denim Blue yang menjadi satu-satunya pilihan rona memang cukup bersesuaian dengan imej luarannya. Cukup maskulin.

Secara keseluruhannya, A35 berukuran 4,436 mm panjang, 1,796 mm lebar, 1,405 mm tinggi dan jarak roda pula 2,729 mm. Ia juga memiliki ruang kapasiti but mencecah 370 liter dengan kedudukan tempat duduk belakang tegak seperti biasa.

PANDU UJI: Mercedes-AMG A35 4Matic Edition 1 2020 tangkas, bergaya – ledakan adrenalin yang menguja

Menjengah bahagian kokpitnya, ia mirip dengan apa yang diberikan pada model A45, ini termasuklah roda stereng AMG Performance balutan kulit Nappa dan juga diberikan lencana AMG Edition 1 pada bahagian bawahnya. Konsol tengah A35 juga mirip ciri yang ada pada A45 termasuk dengan kemasan berwarna perak, pad pengecasan tanpa wayar dan juga butang kawalan bagi Performance Setting. Papan pemuka juga dihamparkan material sentuhan lembut.

Manakala ciri yang ada pada A35 hatchback tetapi tidak pada versi sedan ialah paparan utama yang turut memaparkan rev counter.

A35 turut diberikan ciri kabin berteknologi tinggi yang ada pada setiap model terkini A-Class. Ini termasuklah pedal penukar gear di belakang roda stereng, skrin paparan 10.25-inci bagi sistem multimedia MBUX dengan Mercedes me connect, yang turut merangkumi kluster instrumen, dua rev caounter dan dua speedometer.

Malah MBUX turut didatangkan dengan ketersambungan Android Auto, Apple CarPlay, berserta kawalan Touchpad. Selain itu, sistem tersebut juga membolehkan pemandu ‘berkomunikasi’ dengan jentera dengan menyebut “Hey Mercedes”, termasuk untuk mengetahui arah navigasi, cuaca destinasi atau pun mahukannya memainkan lagu kesukaan anda. Tapi terus terang dikatakan, penulis tidak begitu senang ‘berkomunikasi’ dengan ‘si dia’ ni, masing-masing sukar untuk memahami apa yang disampaikan biarpun berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Kena ada slang Jerman gamaknya.

Bila masuk ke dalam kabin, terasa keselesaannya walau duduk di bangku penumpang. Di bahagian penumpang belakang, ruang kaki agak luas, malah turut diberikan dua corong pendingin hawa dan dua port USB untuk kabel USB C.

Namun lebih selesa jika berada di tempat duduk pemandu mahu pun penumpang hadapan. Ia diberikan tempat duduk kulit Lugano dua-tona dengan larasan elektronik dan fungsi pemanas untuk tempat duduk hadapan secara standard.

Selain itu, A35 turut menerima pelbagai aksesori AMG, termasuk kemasan warna hitam dan perak, plat tepi pintu, alas kaki, lampu suasana dan kawalan suhu automatik. Sekaligus memberikannya imej yang lebih sporty, premium dan sofistikated.

Bagi aspek keselamatannya, sebagai model permulaan kepada siri AMG, A35 dilengkapi dengan
tujuh brek udara, ABS dengan EBD, kawalan kestabilan, Bantuan Mula Mendaki Bukit, ISOFIX, Bantuan Brek Aktif, Bantuan Kekal Lorong, Bantuan Parkir Aktif, Bantuan Titik Buta, kamera undur, sistem PRE-SAFE serta pemerhati tekanan angin tayar.

Sekali lagi, dengan harga RM379,888 iaitu kurang RM80,000 daripada A45, A35 dilihat berpadanan dengan imej luaran dan dalaman serta prestasi penjana kuasa serta sistem mekanikalnya yang lain. Sukar untuk ditebak apa yang kekurangan untuk model ini, melainkan ia boleh dipertingkatkan lagi segala ciri dan prestasinya pada model yang akan datang.

Namun untuk versi A35 kali ini, ia bukanlah dilihat serba sempurna atau pun mencukupi, tetapi bolehlah dikatakan memadai, dengan harga dan ciri penawarannya. Paling penting, bukan setakat imej yang bergaya (tidak keterlaluan atau ‘semak’ dengan pelbagai ciri yang kononnya futuristik), prestasi dan pengenaliannya cukup penting; memang puas hati, padu dan mampu meledakkan adrenalin dengan impak yang maksima.

Nota kaki: Salam takziah untuk keluarga besar Mercedes-Benz Malaysia (MBM) kerana baru kehilangan seorang kakitangannya, mendiang Amanda Goh, akibat kemalangan jalan raya awal Oktober lalu. Atas rasa kehilangan ini, penulis sering kali mengalami sindrom writer’s block untuk menyudahkan ulasan ini kerana model pandu uji inilah yang terakhir penulis berurusan dengan mendiang. We will miss you, Nyonya-girl!

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required