September lalu HKS telah menyiarkan imej digital projek GR Yaris mereka, dan ia kemudiannya muncul dalam versi nyata sebulan berikutnya. Namun perincian tentang apa yang dibuat pada kereta demo berkenaan masih belum diumumkan, kecuali apa yang didedahkan oleh pemandu ujinya, Nobuteru Taniguchi pada Oktober lalu menyatakan bahawa ia menghasilkan kuasa 340 PS.
Dan kini, segala perincian berkenaan GR Yaris tersebut telah didedahkan portal budaya automotif, Speedhunters. Rupanya, jumlah kuasa sebenar yang dihasilkan oleh GR Yaris dengan enjin asal G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder turbo lebih memeranjatkan – ia kini bernafas dengan 475 hp!
Jadi apa yang HKS buat bagi meningkatkan kuasa dari 272 PS sehingga ia bertambah lebih kurang 200 kuasa kuda ini? Menurut HKS, pengubahsuaian yang dilakukan pada GR Yaris berkenaan kini hanya berada pada peringkat permulaan yang mereka gelar sebagai ‘Step 1’, dan enjin tersebut masih lagi belum dileraikan dan segala isi didalamnya masih dalam keadaan standard.
Ya, 1.6 liter tiga-silinder standard tidak mempunyai masalah untuk didesak untuk mengekstrak hampir 500 hp! Apa yang HKS buat kali ini adalah memadankan pengecas turbo prototaip binaan mereka, menaikkan boost standard dari 1.4 bar kepada 2.7 bar.
Ia turut diberikan penapis udara HKS Super Power Flow yang disorokkan di dalam kotak udara asal, paip-paip aliran udara kemasukan yang dibina semula dan juga unit intercooler prototaip lebih besar. Kotak komputer enjin asal tidak lagi digunakan untuk memberi laluan kepada ECU stand alone Motec M150 bagi membolehkan ia ditala bagi disesuaikan dengan desakan turbo lebih besar ini.
Ubahsuai ini sahaja membolehkan enjin tersebut menghasilkan 375 HP, manakala 100 HP lagi kuasa kuda dibekalkan menerusi sistem suntikan nitrus oksida.
Walaupun kereta ini bukan dihasilkan untuk mencatatkan rekod lap terpantas di litar Tsukuba (buat masa sekarang) dan lebih kepada demo aksi drift, ia tetap menerima kit aero agresif dari Pandem, menampilkan pelbagai spliter dan spoiler pada bampar hadapan, setiap fender yang lebih lebar dan juga spoiler bumbung bersaiz gergasi di belakang.
Ia turut menerima set suspensi prototaip dari HKS bagi memberikan pengendalian dan juga stance lebih agresif, bersama lengan suspensi lebih panjang bagi memberikan trek roda lebih lebar. Ia turut digandingkan dengan set rim Yokohama Advan Racing R6s bersaiz 18×9.5 inci bersama tayar semi slick Yokohama Advan A052 265/35R18.
GR Yaris HKS ini masih menggunakan sistem transmisi dan juga pacuan semua roda GR-Four standard dari kilang; walaupun kuasa dari enjin kini sekitar 40% lebih tinggi dari asal dan Taniguchi ‘membelasah’ kereta ini dengan aksi drift yang agresif, sistem-sistem berkenaan tidak menimbulkan sebarang masalah. Apa nak heran, memang Toyota hasilkan kereta ini agar boleh terus dijadikan jentera rali!
Menurut laporan Speedhunters, HKS kini sedang dalam proses ubahsuai untuk tahap ‘Step 2’. Proses tersebut akan membabitkan enjin tersebut dibuka dan badan penala berkenaan akan menghasilkan peralatan prestasi lain bagi mengerah lagi kuasa dari enjin kecil berkenaan. Mungkin lepas ini kita boleh tengok GR Yaris dengan enjin G16 tersebut yang menghasilkan lebih dari 500 HP?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.