Proton X50 – kenapa masih guna timing belt?

Proton X50 – kenapa masih guna <em>timing belt</em>?

Macam biasa, antara soalan yang ditanya oleh rakyat Malaysia untuk setiap model baharu yang dilancarkan oleh Proton akhir-akhir ini adalah “enjin pakai timing belt ke timing chain ni?” Begitu juga dengan produk terkini yang baharu sahaja diperkenalkan oleh Proton pada Oktober lalu iaitu Proton X50.

Seperti yang dah ramai tahu, X50 dijana oleh enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo yang bukan sahaja dikongsi dengan Geely, malah turut digunakan pada berberapa model baharu Volvo – dan enjin ini menggunakan sistem timing belt bagi menggerakkan aci sesondol yang mengawal pemasaan bukaan injap pada kepala silinder.

Jadi kenapa masih pakai timing belt yang dianggap sebahagian orang sebagai satu “teknologi lama” (yang sebenarnya timing chain juga anda boleh jumpa pada Toyota Corolla generasi pertama KE10 pada tahun 1966)? Perkara ini dijelaskan sendiri oleh Dr. Håkan Sandquist, pengarah strategi trenkuasa Geely di China Euro Vehicle Technology (CEVT) iaitu badan yang bertanggungjawab menghasilkan enjin berkenaan, dalam satu sesi temu ramah bersama media baru-baru ini.

Proton X50 – kenapa masih guna <em>timing belt</em>?

Menurut Dr. Håkan Sandquist, pelbagai kerja-kerja penilaian yang dibuat bagi memastikan tahap ketahanan dan prestasi enjin tiga-silinder ini. Ia termasuk ujian pada suhu dalam julat antara -40 darjah selsius sehingga 40 darjah selsius, altitud sehingga 4,000 meter dan juga ujian perjalanan dalam jarak berjuta-juta kilometer.

Enjin 1.5 liter tersebut adalah dihasilkan untuk pasaran global, dan implementasi oleh Proton pada pasaran Malaysia hanya sebahagian kecil darinya. Jadi CEVT bukan hanya mahu ia berfungsi dengan baik untuk aplikasi Proton, malah ia perlu terampil pada projek-projek Zhejiang Geely Holding yang lain termasuk untuk Volvo Cars dan Geely Auto

Sandquist turut menyatakan bahawa dia turut “mendengar soalan yang sama dari banyak tempat lain,” namun beliau menegaskan bahawa ada banyak perkara berkenaan kepakaran kejuruteraan dalam merancang rekaan satu-satu enjin itu sama ada mahu menggunakan timing belt atau timing chain. Beliau turut menyatakan ada pengeluar OEM (yang tidak dinyatakan nama) sebelum ini menggunakan timing chain kembali menggunakan timing belt kerana berberapa isu yang timbul.

Proton X50 – kenapa masih guna <em>timing belt</em>?

Pengarah CEVT tersebut menjelaskan bahawa Volvo sudah lama menggunakan teknologi timing belt ini, dan ia telah menjalani pelbagai ujian pengesahan sebelum diperkenalkan dalam pasaran, contohnya SUV kompak Volvo yang menggunakan enjin sama seperti X50 iaitu XC40 dalam varian T3, dan T5 Recharged.

Malah model-model lain Volvo yang lebih besar seperti S60, XC60 dan XC90 (menggunakan enjin 2.0 liter Drive-E) juga menggunakan sistem timing belt. “Jika ia cukup bagus untuk Volvo, ia cukup bagus untuk kami,” kata Sandquist.

Untuk aplikasi enjin 1.5 liter tiga-silinder ini di Malaysia, Proton tampil dalam dua variasi; model tertinggi Flagship menampilkan sistem suntikan terus (T-GDI) yang menghasilkan kuasa 177 PS/255 Nm, manakala untuk tiga varian lebih rendah menggunakan sistem suntikan pelbagai titik menjana kuasa lebih rendah iaitu 150 PS/226 Nm.

Proton X50 – kenapa masih guna <em>timing belt</em>?

Namun kedua-dua enjin ini menggunakan sistem timing belt yang sama, dan menurut jadual selenggara yang dikeluarkan oleh Proton, penukarannya perlu dibuat pada 110,000 km atau 66 bulan.

Set komponen untuk timing belt ini adalah RM195.16, dan dalam servis yang sama anda turut perlu untuk menukar tali sawat yang memusingkan alternator sekali berharga RM112.89. Kos upah untuk kedua-dua kerja ini disekalikan dengan harga RM150. Jika anda buat penukaran ini sekali dengan servis pada 110,000 km tersebut, kos keseluruhan untuk pakej adalah RM825.27.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required