Proton X50 ditunjuk secara rasmi – tempahan dibuka, TGDi 1.5L 3-silinder, ciri semi autonomous Tahap 2

Proton X50 ditunjuk secara rasmi – tempahan dibuka, TGDi 1.5L 3-silinder, ciri semi autonomous Tahap 2

Sejak diumumkan, Proton X50 serta-merta menjadi sebuah model yang ditunggu-tunggu. Oleh kerana ia keluaran Proton, ramai juga yang berharap tanda harganya nanti menjadi betul-betul kompetitif bagi segmennya. Tambahan pula, ini segmen yang belum pernah ada penawaran daripada Proton; SUV kompak atau crossover segmen B – sama seperti ketika X70 diperkenalkan, ia menjadi yang pertama untuk Proton bagi SUV.

Dan kini, bukan lagi rahsia yang model ini akan diperkenalkan secara rasmi dalam masa terdekat. Beberapa kali sebelum ini Proton X50 telah dilihat sedang diuji di jalanraya Malaysia, dan sempena Hari Merdeka tempohari, X50 sekali lagi diacah dalam video iklan Proton di mana model berkenaan turut membuat cameo. Kemudian, hujung minggu lalu, Proton tidak lagi mahu berselindung dengan model terbaru ini dengan menunjukkan gambar-gambar terawal X50 secara rasmi kepada umum.

Hari ini mungkin hari yang dinantikan oleh mereka yang telah lama memendam rasa terhadap model ini – Proton X50 dipertontonkan dalam satu majlis di fasiliti Tanjung Malim – jangan salah faham, ini bukan pelancaran rasmi, sebaliknya sesi preview awal dengan sebahagian pendedahan perincian dan penawaran berkaitan model berkenaan.

Faktanya, walaupun telah lama disebut-sebut, telah digunakan dan bukan lagi kejutan, hari ini secara rasmi Proton sendiri mengumumkan bahawa crossover segmen B ini sah akan menggunakan nama Proton X50. Dan, seperti yang telah kita lihat di dalam pendedahan rasmi Proton sebelum ini, X50 masih mengekalkan iras yang hampir sama dengan model ia diasaskan, iaitu Geely Binyue.

Proton X50 ditunjuk secara rasmi – tempahan dibuka, TGDi 1.5L 3-silinder, ciri semi autonomous Tahap 2

Menurut Proton lagi, untuk transformasi dari Binyue ke X50, kerja-kerja kejuruteraan semula yang dibuat melibat rombakan dilakukan pada 406 komponen dihasilkan unik untuk model pasaran Malaysia ini.

Dari segi penawaran pula, Proton X50 akan hadir dalam empat varian; Standard, Executive, Premium dan Flagship. Gambar-gambar sebenar yang mengiringi laporan ini menunjukkan varian paling tinggi, Flagship. Kesemua varian X50 diberikan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo, namun tiga versi paling rendah hadir dengan sistem suntikan bahan api pelbagai-titik (MPI), manakala varian Flagship menerima sistem suntikan bahan api terus (GDI).

Jadi, untuk model Turbo-GDI, kuasa yang dihasilkan adalah sama seperti Geely Binyue 1.5 T-GDI iaitu 177 PS dan tork maksima 255 Nm. Manakala untuk tiga varian lebih rendah dengan enjin Turbo-MPI pula, ia menjana kuasa lebih rendah iaitu 150 PS dan tork maksima 226 Nm.

Proton menjelaskan bahawa enjin 1.5 turbo MPI ini hanya dihasilkan khas untuk X50 di Malaysia dan belum digunakan oleh mana-mana jenama lain di bawah kumpulan Geely. Di China, selain dari enjin 1.5 liter T-GDI ini, Binyue ditawarkan dalam versi lebih rendah 1.0 liter T-GDI dan 1.4 liter empat-slinder turbo – anda boleh bayangkan rakyat Malaysia yang akan tak henti-henti bertanya sama ada SUV ini boleh ‘panjat Genting’ atau tidak sekiranya ia ditawarkan sebagai varian lebih rendah di sini.

Walaupun enjin dengan sistem MPI tersebut menghasilkan kuasa 27 PS/29 Nm kurang dari versi GDI, ia masih lagi antara model yang paling berkuasa dalam kelas SUV segmen-B. Sebagai perbandingan, Honda HR-V 1.8L i-VTEC menghasilkan 140 hp/172 Nm dan Toyota C-HR 1.8 Dual VVT-i menghasilkan 138 hp/171 Nm.

Proton X50 ditunjuk secara rasmi – tempahan dibuka, TGDi 1.5L 3-silinder, ciri semi autonomous Tahap 2

Walau bagaimanapun, kedua-dua enjin berkenaan menerima hanya menerima satu jenis kotak gear yang sama iaitu transmisi klac-berkembar automatik tujuh-kelajuan yang dibangunkan bersama Geely-Volvo. Juga, ia hanya memacu roda hadapan tanpa pilihan sistem pacuan semua roda.

Proton X50 ini diasaskan dari platform B-segment Modular Architecture (BMA) Geely-Volvo yang menampilkan suspensi Topang McPherson di hadapan dan juga Torsion Beam di belakang. Ia dihasilkan dalam dengan dimensi 4,330 mm panjang, 1,800 mm lebar dan 1,609 mm tinggi, bersama jarak roda 2,600 mm.

Sebagai perbandingan, dimensi X70 pula adalah 4,519 mm panjang, 1,831 mm lebar dan 1,694 mm tinggi, dengan jarak roda 2,670 mm. Manakala berbanding pesaing utamanya Honda HR-V, X50 adalah 4 mm lebih pendek, 10 mm lebih lebar, 4 mm lebih tinggi serta jarak roda yang 10 mm lebih pendek.

Dari wajah depan, X50 dilengkapi dengan rekaan jeriji infinite weave dengan jalur bingkai warna merah. Tidak lupa juga, X50 menggunakan logo baru Proton di tengahnya, dengan saiz yang sedikit lebih besar. Bahagian ini diapit oleh penggunaan lampu utama LED dengan dua jalur DRL di dalamnya, yang menyumbang kepada rupa khusus model ini. Semua varian X50 akan dibekalkan dengan lampu hadapan LED, manakala varian Executive ke atas diberikan fungsi lampu automatik dan juga lampu kabus LED.

Proton X50 ini nyata nampak lebih mendebarkan jika diperhatikan dengan teliti. Anda boleh lihat ‘otot-otot’ yang bermula pada penutup bonet hadapan bersambung pada fender sisi, dan kemudian ia mengalir ke pintu, mewujudkan satu garis bahu yang cukup jelas dan memberikan imej lebih teguh. Cermin sisi paling belakang diberikan garisan bawah seperti X70, manakala tiang-D menerima kemasan hitam bagi membuatkan bumbung nampak seakan terapung.

Berita baik, semua varian X50 menerima kit badan agresif seperti Binyue varian Sport di China dengan ciri seperti bampar hadapan lebih garang dengan gril lebih besar, skirt sisi lebih menyerlah dan diffuser bawah bampar belakang yang juga lebih besar dengan kemasan seakan gentian karbon. Tetapi X50 tidak diberikan spoiler bumbung bersaiz besar seperti Binyue kerana Proton merasa ia terlalu ‘melebih-lebih’, namun ia tetap diberikan spoiler dengan rekaan dua slot.

Untuk tiga varian lebih rendah, tiada skema warna dua-tona yang diberikan. Untuk roda pula, dua varian bawah X50 ini tampil dengan rim aloi bersaiz 17-inci, manakala bagi model Premium dan Flagship menerima rim aloi bersaiz 18-inci dalam kemasan dua-tona, bersama angkup brek yang diwarnakan merah.

Kesemua varian Proton X50 ini menerima dua tip ekzos berkembar atau empat corong logam yang diserlahkan pada setiap sisi diffuser – berbeza dengan pengeluar lain khususnya dari Eropah yang cenderung memberikan tip palsu pada diffuser, tip logam berkembar pada Proton X50 ini adalah tip ekzos sebenar.

Emblem ‘T-GDI’ diberikan pada bahagian bawah pintu model Flagship, manakala model lain dibiarkan kosong. Sebanyak enam pilihan warna badan ditawarkan untuk Proton X50 ini iaitu Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Ocean Blue, Citric Orange dan Passion Red. Model Flagship juga tampil dengan skema warna dua-tona, dengan kemasan cat hitam pada bumbung.

Di dalam, rekaan yang sama seperti yang pernah dilihat pada Binyue masih dikekalkan. Ia direka dengan menampilkan kemasan aluminium brushed serta corong pendingin hawa yang kelihatan seperti bahagian belakang enjin jet, bersama ruang storan terlindung di bahagian belakang konsol tengah persis rekaan-rekaan dari Volvo, serta hendal pemegang untuk penumpang hadapan pada konsol terowong.

Pemandu menerima paparan panel instrumen digital dengan skrin LCD bersaiz tujuh-inci. Untuk sistem infotainmen pula, model Premium dan Flagship menerima skrin beresolusi 1920×720 dengan saiz 10.25-inci, manakala varian lebih rendah diberikan skrin beresolusi 1024×600 dengan saiz hanya 8-inci.

Kedua-dua skrin tersebut dikuasakan dengan sistem Geely Key User Interface (GKUI) 19 sama seperti Binyue Pro. Namun untuk hubungan 4G, versi lebih rendah menampilkan slot kad eSIM pada pemain utama, manakala versi tertinggi diberikan eSIM yang terletak di dalam kotak telemetik.

Sistem ini dikatakan lebih responsif dengan pemproses quad-core dan unit pemproses grafik (GPU) khas untuknya, serta hadir dengan lebih banyak fungsi. Ini merupakan antaramuka baru jika dibandingkan dengan apa yang ada pada X70, tetapi kekal menampilkan aplikasi yang sama – antaranya ialah navigasi atas talian baharu (tidak lagi menggunakan aplikasi Baidu) dan aplikasi streaming muzik Joox.

Apple CarPlay dan Android Auto masih tidak disediakan dalam kedua-dua sistem tersebut, namun ia hadir dengan fungsi mirroring QDLink, yang membolehkan aplikasi telefon pintar anda tidak kira iOS atau Android dapat digunakan pada skrin infotainmen X50 ini.

Semua varian X50 dilengkapi dengan sistem arahan suara “Hi,Proton”. Namun untuk varian Standard dan Executive, kawalan sistem berkenaan hanya terhad kepada sistem infotainmen sahaja seperti sistem pada Persona dan Iriz. Manakala pada varian Premium dan Flagship, ia menampilkan kawalan untuk sistem elektronik lain seperti sistem pendingin hawa, tingkap berkuasa dan lain-lain sama dengan sistem pada X70.

Dua model tertinggi X50 ini juga menerima sistem kawalan jauh menggunakan telefon pintar menerusi aplikasi Proton Link seperti X70. Dengan sistem ini, anda boleh menghidupkan enjin terlebih dahulu sebelum masuk ke kereta untuk tujuan memanaskan enjin. Jika anda tidak masuk ke kereta dalam masa 10 minit, enjin akan dimatikan secara automatik.

Namun, versi pada X50 ini telah ditambah baik di mana selain menghidupkan enjin, ia juga boleh mengawal tetapan sistem pendingin hawa seperti suhu dan tempoh masa operasi dari jarak jauh. Dan jika anda malas mahu menggunakan aplikasi telefon pintar, kunci kawalan jauh X50 ini juga turut disertakan dengan suis penghidup enjin, sama seperti Honda Civic FC dan Honda Accord 1.5 Turbo.

Proton X50 juga nampaknya diberikan elemen infinite weave pada kabin di mana rekaan yang diinspirasikan dari ukiran kayu pada rumah tradisional melayu tersebut boleh dilihat pada kemasan penutup tweeter dan juga gril pembesar suara pada pintu. Namun pada suis larasan ketinggian lampu hadapan dan pemalap instrumen serta pada kemasan panel suis/lampu pada bumbung masih kelihatan elemen rekaan tembok besar China sama seperti Binyue.

Untuk membezakan setiap varian, versi asas standard menerima upholsteri fabrik dan paparan dari kamera undur pada skrin infotainmen, manakala untuk versi Executive menerima roda stereng yang dibalut kulit bersama tempat duduk dengan upholsteri kulit sintetik. Kedua-dua varian permulaan ini diberikan tema dalaman berwarna hitam sepenuhnya.

Manakala untuk versi Premium, ia ditambah dengan tempat duduk pemandu larasan kuasa enam-hala, kamera pemantau 360 darjah dan juga sistem pemantau tekanan tayar. Untuk varian tertinggi Flagship pula hadir dengan tambahan bumbung panaromik.

Varian tertinggi ini turut menampilkan upholsteri kulit dengan tema warna merah-hitam pada bahagian kabin. Balutan-balutan kulit tersebut bukan hanya pada tempat duduk, malah turut diberikan pada papan pemuka dan juga panel pintu yang juga menggunakan material sentuhan lembut.

Sebagai model yang dikaitkan dengan Volvo, sudah tentu aspek keselamatan antara faktor yang menggusarkan saingan lain dalam kelasnya. Model asas diberikan empat beg-udara, sistem brek ABS, EBD bersama BA, kawalan kestabilan elektronik, bantuan mula mendaki, serta cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX di belakang. Model Executive ke atas pula diberikan enam-beg udara.

Manakala untuk model Flagship, ia menampilkan fungsi pemanduan sendiri (autonomous) tahap 2, terdiri dari cruise control adaptif dengan fungsi stop & go, bantuan kekal tengah di lorong, bantuan kekal lorong dan juga sistem bantuan parkir yang membolehkan ia diparkir sendiri oleh komputer pada kedudukan selari dan berserenjang.

Jadi, berapa harga jualan untuk semua varian Proton X50 ini? Malangnya, Proton masih belum membuka mulut tentang perkara ini dan kita masih perlu menunggu sehingga pelancaran rasminya nanti. Walau bagaimanapun, bermula esok, 16 September 2020, serentak dengan sambutan Hari Malaysia, SUV ini sudahpun boleh ditempah dengan bayaran sebanyak RM500.

Proton memberitahu bahawa mereka berupaya untuk menghasilkan sebanyak 8,000 unit X50 untuk sepanjang tahun 2020. Jadi sebelum tempoh pengecualian cukai jualan yang diberikan kerajaan dalam insentif PENJANA, mereka akan berusaha untuk menghantar seberapa banyak unit dari 8,000 unit tersebut kepada pelanggan bagi membolehkan pembeli menikmati potongan harga tanpa cukai SST.

Namun sekiranya ada unit-unit yang tidak sempat untuk dihantar sebelum 31 Disember, Proton mengarahkan semua pengedarnya agar memberikan tarikh sebenar kereta tersebut akan diberikan, dan menerangkan kepada pelanggan sama ada mereka dapat atau tidak pengecualian cukai jualan berkenaan.

Untuk melihat dengan jelas perincian setiap spesifikasi Proton X50 ini, anda boleh bacanya pada PAUTAN INI.

GALERI: Proton X50 1.5 T-GDI Flagship 2020

GALERI: Pilihan warna Proton X50 2020

Gambar rasmi Proton X50

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Baharudin bin abdul karim on Sep 16, 2020 at 9:43 am

    Nice car with a good price.

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
  • Owen Chen on Sep 17, 2020 at 11:31 am

    It will be a crying shame if the infotainment unit does not support Android or Apple. Its like all dressed but missing out on the shoes.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • Ruhaida Razali on Sep 17, 2020 at 6:44 pm

    Excellent

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required