X Street Mania Tour – tampil perlumbaan supermoto dari MSF, siri Drift dari Tengku Djan dan McClubz

X Street Mania Tour – tampil perlumbaan supermoto dari MSF, siri Drift dari Tengku Djan dan McClubz

Siri perlumbaan peringkat akar umbi dalam negara, Malaysia Speed Festival (MSF) kini bergandingan dengan Prince of Drift Tengku Djan Ley dan juga jenama budaya automotif tempatan McClubz bagi menganjurkan X Street Mania Tour, iaitu siri jelajah sukan permotoran yang bakal berlangsung pada 2021.

Siri ini bakal menyajikan aksi-aksi lebih ‘liar’ untuk peminat sukan permotoran di Malaysia, dengan pusingan-pusingan yang akan diadakan di Subang Jaya, Melaka, Ipoh dan Terengganu, dengan perlumbaan seperti Supermoto dan juga drift. Setiap pusingan hujung minggu X Street Mania ini akan berlangsung selama dua hari, yang turut akan diserikan dengan persembahan lagak ngeri, pameran dan pertandingan-pertandingan seperti autoshow.

Untuk perlumbaan supermoto dan drift, ia pastinya bakal memberikan aksi-aksi gelangsar dengan asap tayar yang banyak di litar. Acara ini akan dikendalikan MSF dengan pengalaman kejayaan menganjurkan perlumbaan selama 10-tahun di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

“Sasaran kami adalah untuk menghidangkan siri sukan permotoran dengan tahap aksi yang lebih menarik dalam negara dan membawa ia lebih dekat kepada peminat, bagi menghasilkan satu acara yang akan memberikan wow kepada penonton. Sejak dari zaman kami di Proton R3, Tengku Djan dan saya sentiasa mahu mewujudkan acara sukan permotoran ekstrem yang difokuskan kepada hiburan. Ini masa yang tepat untuk dilangsungkan,” kata prinsipal MSF, Adian Yein.

X Street Mania Tour – tampil perlumbaan supermoto dari MSF, siri Drift dari Tengku Djan dan McClubz

Kejohanan drift pada X Street Mania ini adalah siri Drift McClubz Speed Junkies yang akan menampilkan kejohanan tahunan, disasarkan akan disertai oleh para drifter terbaik di Malaysia. “Kami mahu menaikkan tahap sukan drift di Malaysia dan membawa semula zaman kegemilangan Formula Drift Asia yang dilangsungkan dari 2009 hingga 2012 dulu,” kata Tengku Djan.

“Pertandingan drift tahap-tinggi akan mempromosikan serta meningkatkan kualiti drifter di Malaysia, dengan sasaran untuk menghasilkan wakil Malaysia yang berkualiti di kejohanan tahunan Piala FIA Intercontinental Drifting,” tambahnya lagi.

Siri Speed Junkies Drift ini akan dilangsungkan sebanyak dua pusingan untuk setiap acara hujung minggu X Street Mania Tour berkenaan, di mana setiap satu pusingan akan menawarkan pungutan mata untuk peserta bagi mengejar gelaran juara nasional.

Untuk perlumbaan Supermoto pula, ia akan diwakili oleh siri MSF SuperMoto. Ia akan menampilkan dua kategori utama iaitu SuperMoto dan HyperMoto. SuperMoto adalah kategoti untuk motosikal 450 cc, dan akan dibahagikan kepada tiga sub-kategori berdasarkan pengalaman penunggang. Manakala untuk HyperMoto pula adalah kategori untuk motosikal lebih dari 450 cc dan akan dibahagi kepada dua sub-kategori; satu-silinder dan dua-silinder.

“Ramai penunggang MotoGP menggunakan supermoto sebagai asas latihan bagi membina kemahiran menunggang mereka. MSF SuperMoto mensasarkan untuk menaikkan perlumbaan supermoto dengan meningkatkan pendedahan menerusi acara perlumbaan dalam Malaysia, dengan harapan ia akan mewujudkan kumpulan penunggang yang kompetitif dari Malaysia yang kemudiannya boleh berlumba pada peringkat rantau,” kata pengurus komunikasi MSF, Liew Chin Hooi.

Selain dari perlumbaan-perlumbaan ini, pengunjung yang datang ke setiap acara X Street Mania ini turut akan disajikan dengan hiburan-hiburan tambahan seperti pertunjukan kereta-kereta ubahsuai dari McClubz.

“Lebih dari 600 kereta hadir pada perhimpunan terakhir Speed Junkies Drift Competition pada 2019. Malangnya kami tak dapat mengadakan aktiviti pada 2020 kerana pandemik, tetapi kami sudahpun mendapat sokongan dari kelab-kelab kereta utama yang mampu untuk menambah warna dan getaran kepada X Street Mania,” kata pengasas McClubz Merlvyn Tan.

X Street Mania akan diadakan sebanyak lima pusingan pada 2021, dengan pusingan pembukaan di litar Elite Speedway Subang Jaya, Selangor pada 27-28 Februari 2021, diikuti pusingan kedua pada 10-11 April 2021 di Melaka International Motorsports Circuit (MIMC), Melaka.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required