PANDU UJI: Volkswagen Arteon dan Tiguan Allspace R-Line — denyut nadi sama, tetapi tujuan berbeza

PANDU UJI: Volkswagen Arteon dan Tiguan Allspace R-Line — denyut nadi sama, tetapi tujuan berbeza

Untuk tahun 2020 yang akan melabuhkan tirainya tidak lama lagi, dengan segala macam cabaran dan situasi yang tidak menyebelahi kita, suasana perkembangan dunia automotif tetap menyaksikan beberapa pengenalan model baru yang signifikan untuk pasaran tempatan.

Walapun dengan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membantutkan banyak perkara, tak keterlaluan sekiranya kita menandai tahun ini sebagai sebuah tahun yang “rancak” juga dalam erti kata pengenalan model-model baru — mungkin bukan dari sudut jumlah, tetapi dari sudut kesannya terhadap pasaran massa. Membeli — apa saja, bukan hanya kenderaan — tak pernah menjadi lebih penting berbanding tahun ini, bertujuan untuk menggerakkan semula ekonomi kita kesan daripada penularan pandemik.

Volkswagen Malaysia tidak ketinggalan dalam “pertempuran” ini. Dan, seperti yang sudah kita sedia maklum, jenama ini pada Ogos lalu memperkenalkan dua model yang tak kalah menarik, sebuah coupe premium Volkswagen Arteon dan sebuah lagi SUV crossover keluarga dengan aspirasi sport, Tiguan AllSpace. Terbaru, awal bulan ini juga, versi Arteon R-Line 4Motion pula diperkenalkan secara rasmi di sini.

PANDU UJI: Volkswagen Arteon dan Tiguan Allspace R-Line — denyut nadi sama, tetapi tujuan berbeza

Apa yang ditawarkan oleh dua model berkenaan? Kami sempat ikut serta dalam satu sesi pandu uji ringkas dari Kuala Lumpur ke Genting Highlands sebelum ini untuk mendekati kedua-duanya, dan sedikit sebanyak memahami apa yang ada dan ditawarkan oleh model Arteon dan Tiguan Allspace R-Line ini.

Volkswagen Arteon 2.0L R-Line

Memang ada banyak kereta yang bagus dalam menjalankan fungsi rekaannya yang tersendiri, tetapi tak begitu banyak yang mampu memikat perhatian dan mempunyai “jiwa” serta “emosi” yang kuat dari aspek estetika dan ketika pemandu berada di belakang stereng. Untuk penumpang, jangkaan seperti ini mungkin lebih mudah untuk dipuaskan, kerana sisi kepuasan dan jangkaannya adalah dari set yang berbeza jika dibandingkan dengan pemandu.

Maka di sini Arteon berhasil menarik perhatian itu, walaupun sebelum anda masuk ke dalamnya; rekaan gaya coupe yang ditampilkan punyai cukup rencah untuk menjadikan kereta ini elegan dan sporty pada masa yang sama. Jika ada yang tertanya-tanya, kedudukan Arteon ini sebenarnya di mana dalam garis “keturunan” model-model Volkswagen, secara mudahnya ia bolehlah dirujuk seperti berikut: Arteon merupakan versi yang lebih premium bagi model sedan segmen D Passat, manakala dengan aspirasi sport-nya ia ingin menggantikan model CC yang pernah Volkswagen tawarkan sebelum ini.

Luarannya menampilkan imej yang sangat “kuat” dan menonjol. Selain bentuk coupe unik yang dinyatakan tadi, Arteon turut hadir dengan sentuhan rekaan lain yang membangun imejnya. Garis-garis tajam di sekeliling padan, rekaan lampu LED di depan dan belakang yang tirus dan nipis serta garis bahu yang tegap antara yang membentuk siluet agresif. Ini ditambah pula dengan kit R-Line yang ada padanya — antara lain melibatkan rekaan bampar yang lebih garang di depan dan belakang, serta saiz rim yang lebih besar — membentuk satu identiti tersendiri untuk model ini.

Berbanding Passat, kereta ini 100 mm lebih panjang, 40 mm lebih lebar dan 12 mm lebih rendah. Dan dengan segala elemen rekaan luaran yang ada ini, Arteon memisahkan dirinya agak jauh dari segi penampilan berbanding Passat yang bagi sesetengah orang, cenderung nampak lebih membosankan; ini bahkan terpakai jika dilihat daripada perbandingan antara Passat dengan calon-calon pesaing lain dalam segmen D yang sama. Maka, Arteon barangkali adalah jawapan Volkswagen terhadap perkara ini, tetapi dalam peringkat penawaran yang lebih premium.

Perlu juga dimaklumkan, Arteon yang anda lihat ini adalah daripada versi asalnya yang diperkenalkan untuk pasaran global pada 2017 dahulu, dan bukannya versi facelift yang mula ditunjuk pada bulan Jun lalu. Model versi facelift ini bagaimanapun sudah pernah dilihat sedang diuji di Malaysia Oktober lalu.

PANDU UJI: Volkswagen Arteon dan Tiguan Allspace R-Line — denyut nadi sama, tetapi tujuan berbeza

Terbalik daripada imej luarannya yang segar, sayangnya bahagian dalaman Arteon meminjam banyak daripada Passat. Misalnya bahagian rekaan papan pemuka yang digunakan adalah identikal. Selain itu, yang membezakan lagi antara keduanya adalah ciri seperti garis bumbung coupe yang lebih rendah pada Arteon, bahagian tingkap tanpa bingkai, kerusi balutan kulit Nappa dengan kemasan hiasan ala gentian karbon R-Line dan perincian-perincian lain yang bertujuan untuk menampilkannya sebagai sebuah model yang lebih premium.

Memandu Arteon terlebih dahulu sebelum beralih kepada Tiguan Allspace (yang akan dibincangkan juga selepas ini), model sporty coupe ini meninggalkan tanggapan yang agak berbekas terhadap perhatian saya. Selepas rekaan luarannya yang sangat memikat pada pandangan mata, hal kedua yang lebih penting yang membantu meletakkan kereta ini pada tahap yang tersendiri adalah aspek pengendalian dan prestasi yang ada padanya.

Arteon yang dipasang di Pekan, Pahang ini menggunakan enjin 2.0 liter turbocas empat-silinder TSI, menghasilkan sebanyak 190 PS dari 4,180 rpm hingga 6,000 rpm dan tork maksimum 320 Nm dari 1,500 rpm hingga 4,180 rpm. Kuasanya disalurkan ke roda depan menerusi kotak gear klac berkembar (DSG) jenis basah Direct Shift tujuh-kelajuan yang boleh juga dikawal melalui paddle shifter.

PANDU UJI: Volkswagen Arteon dan Tiguan Allspace R-Line — denyut nadi sama, tetapi tujuan berbeza

Ini merupakan enjin dengan kapasiti yang sama — tetapi dengan output yang sedikit lebih rendah sebenarnya — jika dibandingkan dengan unit yang digunakan pada Tiguan Allspace R-Line. Namun, aspek pemanduannya tentulah sama sekali berbeza. Pertama kali masuk dan duduk saja dikerusi pemandu, kita akan diingatkan bahawa kereta ini memang dibangunkan untuk dinikmati aspek pemanduannya. Posisi kerusinya yang paling rendah ke lantai membuatkan kita merasa seperti sedang di”telan” oleh kereta ini, dengan perhatian hanya perlu difokuskan ke jalan raya — sebuah suasana yang meyakinkan dan seronok untuk memandu.

Prestasi serta maklum balas yang disalurkan oleh Arteon terasa natural, dan tidak dipaksa-paksa. Lonjakkan kuasanya tidak keterlaluan, tetapi kendalian sterengnya tetap tajam. Saya membayangkan gambaran kereta ini sebagai sebuah kenderaan yang selalu bersedia untuk memberikan sensasi pemanduan, tetapi dalam masa yang sama tidak canggung untuk kekal selesa kepada semua penumpang yang lain. Sebaliknya, tumpuan rekaan bagi kebanyakan kereta segmen D pada kebiasaannya akan lebih mementingkan aspek keselesaan sehingga berkompromi dengan keseronokan pemandu di belakang stereng. Ini merupakan satu kelebihan Arteon.

Laluan mendaki ke Genting Highlands menambah tanggapan positif saya terhadap aspek pengendaliannya. Penukaran gear DSG yang melengkapinya juga cukup pantas tanpa sebarang lengah. Dan, walaupun kuasa enjin kurang berbanding Tiguan Allspace R-Line, itu bukanlah masalah. Kerana, kedudukannya yang rendah dari jalan dan juga kerana Arteon lebih ringan, maka nisbah antara berat dan kuasa lebih daripada memadai untuk membolehkannya membawa aspirasi sporty seperti yang ditayang pada imej visualnya. Tentang hal ini, Arteon agak cemerlang.

PANDU UJI: Volkswagen Arteon dan Tiguan Allspace R-Line — denyut nadi sama, tetapi tujuan berbeza

Bagi ruang barangan di belakang, ia menyediakan kapasiti 563 liter — cukup luas untuk rekabentuk coupe sepertinya. Di dalam, antara ciri yang mungkin perlu disebutkan ialah paparan instrumen digital 11.7-inci lengkap dengan sistem navigasi Discover Pro serta skrin sentuh. Satu lagi bonus, Apple CarPlay boleh disambung tanpa wayar sementara Android Auto dengan wayar adalah ciri yang datang standard. Sistem audionya pula terdiri daripada 11-pembesar suara dengan Dynaudio 700-watt.

Cuma, ada satu aspek yang agak “kurang” bagi model yang dijual pada harga RM221,065 (tidak termasuk insurans dan SST) ini. Jika dibandingkan dengan model-model premium dalam julat harga yang sama, kelengkapan ciri keselamatannya saya rasakan berada pada tahap sedikit di bawah yang sepatutnya. Memang, Arteon datang dengan tujuh beg udara, ABS dengan EBD dan Brake Assist, kawalan kestabilan, pemantau tekanan tayar serta Isofix, tetapi ia tidak dilengkapi sistem keselamatan aktif lain seperti brek kecemasan autonomous mahupun peninjau titik buta (yang kedua ini, ada pada Passat, misalnya, yang dijual pada harga lebih rendah, RM182,879 (Elegance)).

Jadi, adakah Arteon berbaloi? Itu bergantung kepada apa yang diinginkan. Jika penampilan dan prestasi pemanduan menjadi pertimbangan utama, serta mahukan sebuah Volkswagen yang lebih premium, maka Arteon lebih daripada sekadar penawaran biasa. Namun, untuk julat harga yang sama, anda juga mungkin ingin melihat dulu penawaran lain yang ada, misalnya daripada jenama premium seperti BMW atau Mercedes-Benz.

PANDU UJI: Volkswagen Arteon dan Tiguan Allspace R-Line — denyut nadi sama, tetapi tujuan berbeza

Volkswagen Tiguan AllSpace 2.0L 4Motion R-Line

Tiguan AllSpace, dalam bahasa mudah, merupakan versi yang sedikit lebih besar daripada Tiguan biasa dan mampu memuatkan tujuh-penumpang berbanding hanya lima. Dari segi ukuran, model baru ini 215 mm lebih panjang berbanding Tiguan biasa dengan ukuran 4,701 mm, 106 mm tambahan bagi jarak antara rodanya yang kini 2,787 mm. Ia juga 26 mm lebih tinggi dengan ukuran 1,674 mm, tetapi kelebaran antara keduanya kekal sama 1,839 mm. Versi R-Line ini pula 220 kg lebih berat daripada versi 1.4 TSI dengan angka 1,680 kg — ini disebabkan oleh sistem pacuan semua roda dan enjin yang lebih besar.

Penampilan R-Line yang ada padanya sama juga mencerminkan imej yang ada pada Arteon; Tiguan Allspace hadir dengan visual yang lebih sporty yang dibezakan oleh rekaan bampar depan dan belakang yang lebih agresif, kit sisi badannya serta penggunaan rim 19-inci yang lebih agresif dan besar berbanding Tiguan biasa.

Untuk versi R-Line ini, Tiguan Allspace datang dengan enjin 2.0L turbocas yang sama seperti Arteon, tetapi dengan angka janaan yang lebih tinggi. Unitnya menghasilkan 220 PS dari 4,500 hingga 6,200 epm dan 350 Nm tork dari 1,500 hingga 4,400 rpm. Angka kuasa ini jika diteliti adalah hampir menyamai dengan output enjin sama yang turut digunakan pada Golf GTI Mk7.5, manakala tork adalah sama.

PANDU UJI: Volkswagen Arteon dan Tiguan Allspace R-Line — denyut nadi sama, tetapi tujuan berbeza

Ini kemudiannya digandingkan dengan transmisi klac berkebar (DCT) tujuh-kelajuan, serta kehadiran sistem pacuan semua roda 4Motion berserta penyerap hentak Dynamic Chassis Control (DCC). Sistem AWD yang ada juga lebih cenderung kepada pemanduan off-road, dengan pilihan mod yang tersedia terdiri daripada Snow, Off-Road dan Off-Road Individual. Penting juga untuk disebut, walaupun merupakan sebuah SUV crossover, Tiguan Allspace R-Line ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.8 saat. Selain daripada itu, Tiguan Allspace ini juga ada ditawarkan dalam versi 1.4 TSI Highline.

Memang betul, versi R-Line ini sarat dengan prestasi, tetapi itu perlulah diadili dalam konteksnya sebagai sebuah SUV atau crossover. Maksudnya, keberadaan rekaannya adalah lebih berat dengan tujuan fungsi yang berbeza sebagai sebuah kenderaan — jika dibandingkan dengan Arteon dan Golf GTi Mk7.5 yang berkongsi enjin sama — dan itu membuatkan karekter pemanduannya juga berbeza.

Ia sebuah kereta yang lebih cocok menjalankan tugasan untuk urusan keluarga, tetapi dengan kelebihan prestasi dan tenaga serta pengendalian yang mampu diberikan, semua ini menandai Tiguan Allspace dengan satu kelebihan yang tidak ada pada banyak pesaing lain. Tetapi, ini juga menyebabkan ia datang dengan tanda harga yang lebih tinggi. Tiguan Allspace 2.0L 4Motion R-Line ini dijual pada harga RM209,637, kira-kira RM40,000 lebih mahal berbanding versi 1.4 TSI Highline-nya yang dijual pada harga RM165,031.

PANDU UJI: Volkswagen Arteon dan Tiguan Allspace R-Line — denyut nadi sama, tetapi tujuan berbeza

Dan tentulah kelebihannya berbanding Tiguan biasa adalah ruang. Dengan kerusi barisan kedua boleh laras termasuk bahagian penyandar, versi ini datang dengan tambahan 60 mm untuk ruang kaki barisan kedua serta tambahan 85 liter ruang barangan dengan kerusi barisan ketiga yang dilipat, menjadikan keseluruhannya 700 liter. Jika kerusi barisan ketiga digunakan, ruang yang tersedia hanya 230 liter. Namun, dengan kerusi barisan kedua dan ketiga direbahkan, anda akan mempunyai ruang barangan berkapasiti 1,775 liter.

Bercakap tentang tempat duduk, bagi barisan ketiganya, ia sebenarnya agak terhad untuk menampung saiz tubuh penumpang dewasa. Mungkin ia lebih sesuai untuk kanak-kanak atau mereka yang mempunyai saiz tubuh kecil. Pun begitu, ruang kaki juga agak sedikit terhad. Barisan ketiga memang boleh digunakan, dengan tempat duduk sebenar, tetapi ia mungkin lebih sesuai dilihat sebagai ruang atau kerusi tambahan sekiranya diperlukan dalam perjalanan.

Bagi sistem infotainmen, versi R-Line ini menerima paparan 9.2-inci, dengan kawalan sentuhan serta pergerakan tangan. Sambungan Apple Carplay dan Android Auto juga adalah standard, dengan R-Line turut menerima sistem tunjuk arah. Oleh kerana ini versi R-Line, ia turut menerima stereng dengan bahagian bawahnya rata, sistem tanpa kunci, butang Start, kawalan pendingin tiga-zon, lapan pembesar suara, tailgate kuasa elektrik dan kerusi depan larasan elektrik 12-hala dengan fungsi memori.

PANDU UJI: Volkswagen Arteon dan Tiguan Allspace R-Line — denyut nadi sama, tetapi tujuan berbeza

Aspek keselamatan pula, Tiguan Allspace R-Line datang dengan enam-beg udara, ABS dengan EBD dan Brake Assist, kawalan kestabilan, bantuan mula mendaki dan Isofix di barisan kedua serta kawalan menuruni curam. Dan, sama juga seperti Arteon, ia tidak datang dengan ciri brek kecemasan autonomous (AEB).

Adakah Tiguan Allspace R-Line ini punya banyak kelebihan sebagai sebuah kenderaan keluarga? Jika mengambil kira aspek keluasan, mungkin tidak terlalu ketara. Tetapi jika mahukan lebih desakan kuasa untuk pemanduan yang lebih lancar dan bertenaga (tentu saja bagi sebuah SUV/crossover), maka ia memiliki semua itu. Cumanya, kenalah bayar harga yang lebih premium juga.

Volkswagen Arteon R-Line 2020

Volkswagen Tiguan Allspace 2.0L R-Line 2020

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required