PANDU UJI: Volkswagen Golf Mk 7.5 – antara Sportline, R-Line, GTI dan R, yang mana satu pilihan anda?

PANDU UJI: Volkswagen Golf Mk 7.5 – antara Sportline, R-Line, GTI dan R, yang mana satu pilihan anda?

Setelah enam tahun diperkenalkan pada peringkat global, dan lima tahun berada dalam pasaran tempatan, Volkswagen Passengger Car Malaysia (VPCM) telah pun memperkenalkan versi facelift bagi hatchback ikonik generasi ketujuh Volkswagen Golf pada Mac tahun ini, dan ia lebih dikenali sebagai Golf Mk7.5.

Ketika diperkenalkan, VPCM membawa terus Golf dengan tiga unit penjana berbeza iaitu enjin 1.4 TSI untuk versi asas Sportline dan R-Line, versi berprestasi tinggi Golf GTI, dan model paling berkuasa Golf R. Kalau anda berminat dengan Golf facelift ini, ‘perisa’ yang mana satu jadi pilihan? Artikel sesi pandu uji media dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru yang kami sertai ini mungkin boleh dijadikan panduan untuk anda.

Kita mulakan dari segi rupa. Bagi model asas Sportline, perubahan dilihat pada bampar hadapan dengan rekaan baharu dan lampu belakang LED bersama fungsi lampu isyarat membelok dinamik (seperti pada model-model Audi terkini). Namun untuk sesi pandu uji ini, model asas berkenaan tidak turut serta dimana versi 1.4 TSI hanya diwakili dari versi R-Line.

Model R-Line ini menampilkan rupa luaran yang seiras seperti model R sebenar – terdiri dari bampar hadapan dengan liang udara sisi agresif dan lampu hadapan LED dan rim aloi ‘Singapore’ 17-inci, bersama tayar 225/45R17 berbanding rim 16-inci Hita pada model Sportline.

Masuk ke kabin, model facelift ini disertakan dengan skrin infotainmen 8.0-inci Composition Media dengan fungsi App-Connect yang menyokong Apple CarPlay, Android Auto serta MirrorLink – perubahan ini sahaja sebenarnya sudah cukup untuk menyegarkan kembali papan pemuka secara keseluruhan.

Untuk model R-Line, anda akan mendapat lebih kerana panel instrumen konvensional seperti pada Sportline digantikan dengan instrumen digital sepenuhnya Active Info Display binaan skrin bersaiz 12.3-inci yang benar-benar menaikkan lagi ‘rasa’ premium pada kabin kereta ini. Tambahan lagi, ia turut menerima tempat duduk dengan balutan kulit Vienna bersama sulaman logo R-Line pada perehat kepala bahagian hadapan.

Bagi GTI pula, ia seperti biasa menerima penggayaan tersendiri terutamanya pada bampar hadapan. Secara tradisi juga, GTI perlu diberikan serlahan jalur merah pada gril hadapan, dan versi terbaharu ini menyaksikan ia bersambung dengan jalur pada bahagian dalam lampu hadapan. Angkup brek kereta ini juga diwarnakan merah menyerlah di sebalik rim 18-inci ‘Milton Keynes’ dibaluti tayar 225/40R18.

Kabin hot-hatch ini masih diberikan paparan Active Info Display dan skrin 8.0-inci Composition Media, manakala upholsteri kulit Vienna digabungkan dengan serlahan jahitan benang dan tiub merah. Jahitan sama turut diberikan pada balutan kulit stereng dan juga kemasan pada tombol penukar gear.

Apa pula perbezaan rupa antara model R-Line dan R sebenar? Apa yang membuatkan R kelihatan benar-benar ganas adalah pada set rodanya – diberikan rim Pretoria 19-inci berwarna hitam, dibaluti tayar Continental SportContact bersaiz 235/35R19 bersama angkup brek yang juga berwarna hitam – namun ia tetap menyerlah kerana saiznya yang lebih besar bersama logo R yang disertakan. Bampar belakang pula turut menempatkan dua tip ekzos oval berkembar yang begitu garang.

Bahagian dalaman pula, ia juga tampil hampir sama dengan versi lain tetapi diberikan skrin infotainmen lebih besar 9.2-inci Discover Pro (dengan fungsi kawalan gestur), upholsteri balutan kulit Vienna R, stereng sport R bersama pedal penukar gear, scuff plate bernyala serta pedal-pedal aloi brushed stainless steel.

Saya sebenarnya hanya berpeluang untuk memegang stereng dalam sesi ini ketika konvoi tiba di Bukit Putus, Negeri Sembilan. Apa yang lebih bertuah, di laluan ‘touge‘ terkenal tersebut saya berada pada kokpit Golf GTI – masa yang paling sesuai untuk menikmati pengendalian hot-hatch ikonik ini.

Nyata, senyuman sentiasa terukir dari kawasan ‘tengkolok’ sehingga ke kaki Bukit Putus berkenaan. Kesemua selekoh dapat diratah dengan kelajuan tinggi memandangkan dinamik casis yang ditala begitu baik dan begitu tajam. Walaupun tidak dilengkapi dengan LSD mekanikal, sistem differential lock elektronik Volkswagen XDS (turut diberikan pada model 1.4 TSI Sportsline dan R-Line) sudah cukup untuk membuatkan kedua-dua roda hadapan ‘mengigit’ permukaan jalan dengan lebih kuat, mengelakkan dari berlakunya understeer, serta memudahkan bahagian belakang ‘dilibas’ setiap kali input stereng agresif diberikan.

PANDU UJI: Volkswagen Golf Mk 7.5 – antara Sportline, R-Line, GTI dan R, yang mana satu pilihan anda?

Sepanjang sesi touge ini juga saya menggunakan mod Sport -selain mod Eco, Comfort, Normal dan Individual pada sistem Adaptive Chassis Control (ACC)– yang menjadikan suspensi lebih keras bagi mengurangkan olengan badan ketika meredah selekoh pada kelajuan tinggi. Walaupun lebih keras, talaan suspensi pada mod ini masih tidak menyebabkan badan kereta terlalu melantun-lantun pada permukaan yang tidak rata.

Mod Sport ini turut menjadikan stereng lebih berat membolehkan anda memberikan input yang lebih baik ketika pemanduan bercorak agresif. Sekiranya anda lebih selesa menggunakan sistem transmisi secara automatik sepenuhnya, gear rendah juga akan ‘ditahan’ lebih lama pada mod ini – saya lebih suka menggunakan pedal penukar gear ketika sesi seperti ini, yang mana mod sport turut memberikan tukaran gear yang lebih cepat dan agresif.

Keluar semula ke Lebuhraya, Golf GTI kemudiannya memberikan keseronokan untuk memecut di laluan lurus. Untuk versi 7.5 ini, enjin EA 288 2.0 liter TSI berkenaan kini mengekstrak 230 PS dan tork maksima 350 Nm – 10 PS lebih berkuasa dari model Mk7 GTI asal dan sama dengan versi yang hadir dengan Performance Pack pada model pre-facelift.

Kotak gear klac berkembar jenis basah DSG enam-kelajuan pada GTI ini juga tidak perlu dijelaskan dengan lebih panjang lebar, rata-rata ramai yang sudah tahu bagaimana pantas dan lancarnya operasi transmisi tersebut. Ini membolehkan kereta berkenaan memecut dari kedudukan pegun hingga 100 km/j dalam masa hanya 6.4 saat. Kelajuan 110 km/j terasa seakan sangat perlahan ketika memandu GTI, manakala untuk mencapai 200 km/j bukan sesuatu yang sukar. Menurut spesifikasi di atas kertas, Golf GTI mampu mencatatkan kelajuan maksima 248 km/j.

Tiba di Melaka, setiap wakil media diberi peluang untuk bertukar model – yang memandu GTI akan memandu 1.4 TSI R-Line, begitu juga sebaliknya. Saya ingat lagi ketika pertama kali memandu uji Golf Mk7 1.4 TSI pada tahun 2013 dahulu, di mana saya begitu terpana dengan kuasa dan tork yang dihasilkan oleh enjin empat silinder dengan kapasiti hanya 1.4 liter tersebut.

Tetapi itu ketika lima tahun yang lalu. Kini pencabar-pencabar Golf dalam segmen yang sama turut hadir dengan penjana dengan konsep hampir sama, contohnya Ford Focus dengan enjin 1.5 liter EcoBoost berkuasa 180 hp/240 Nm dan Honda Civic dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo berkuasa 171 hp/220 Nm. Ini membuatkan faktor ‘wow’ pada enjin TSI yang berkuasa 150 PS dan tork maksima 250 Nm tersebut sedikit berkurangan.

PANDU UJI: Volkswagen Golf Mk 7.5 – antara Sportline, R-Line, GTI dan R, yang mana satu pilihan anda?

Namun itu tidak bermaksud model R-Line berkenaan tidak seronok untuk dipandu. Enjin bersama padanan kotak gear DSG automatik tujuh-kelajuan ini mampu mencatatkan 8.2 saat untuk pecutan dari 0-100 km/j sebelum mencapai kelajuan maksima 216 km/j.

Kereta ini dibina sebagai sebuah hatchback normal untuk pemanduan harian. Jadi, sekiranya anda menggunakan mod pemanduan Sport sekalipun, suspensi kereta ini masih lagi terasa lembut, dan daya olengan badannya sudah tentu tidak secemerlang GTI. Namun sekiranya ia dibandingkan dengan lawan sekelas dari jenama lain, Golf 1.4 TSI ini tidak boleh dinafikan mempunyai pengendalian antara yang terbaik.

Saya turut menguji mod Eco pada model R-Line ini. Pada mod ini, talaan enjin dan kotak gear diberikan pada kadar paling efisien, sehinggakan sekiranya anda cuba meluncur menggunakan momentum dan melepaskan pedal pendikit, kotak gear akan memutuskan aliran kuasa dari enjin, seolah-olah anda meletakkan gear neutral ketika menggunakan kotak gear manual konvensional.

Bagaimana pula untuk versi paling berkuasa Golf R? Sebenarnya kami hanya diberi peluang untuk memandu kereta ini pada keesokan hari, itu pun pada litar Gymkhana yang disediakan di tempat letak kereta Puteri Harbour, Johor Bahru.

Golf R masih dijana enjin 2.0 liter TSI, tetapi dengan talaan lebih berkuasa membolehkan sejumlah 290 PS bersama tork maksima 380 Nm diekstrak dari unit empat silinder tersebut, digandingkan dengan kotak gear DSG automatik tujuh-kelajuan. Berbanding GTI yang hanya memacu roda hadapan, Golf R pula berupaya mengalirkan kuasanya ke keempat-empat roda menerusi sistem AWD 4Motion.

Padanan kesemua sistem berkenaan membolehkan Golf R memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa hanya 5.1 saat, manakala kelajuan maksimanya pula dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.

PANDU UJI: Volkswagen Golf Mk 7.5 – antara Sportline, R-Line, GTI dan R, yang mana satu pilihan anda?

Dengan kuasa yang begitu besar ‘dihenyak’ pada badan bersaiz tidak terlalu besar, saya membayangkan Golf R sebuah jentera yang menakutkan. Tambahan pula, pada pagi hari sesi pandu uji tersebut, hujan turun begitu lebat dan seolah-olah tidak mahu berhenti membuatkan saya gusar untuk membelasah kereta ini pada litar kecil tersebut.

Namun sebaik sahaja melepasi selekoh 90 darjah pertama, sistem stereng, sistem suspensi, sistem dan juga casis kereta ini seolah-olah memberitahu saya bahawa “jangan takut untuk menekan pedal pendikit semahunya dan redahlah selekoh seagresif yang mungkin.”

Stereng hatchback ini begitu pantas dan memberikan respon apa yang berlaku pada permukaan jalan, breknya pula berfungsi dengan begitu cemerlang, sementara dinamik casis dan juga talaan suspensi yang keras bersama sistem AWD menyakinkan saya untuk tidak segan silu memandu secara agresif dalam keadaan cuaca buruk tersebut.

Namun hukum fizik dan fitrah kejadian Tuhan masih tidak boleh dilawan, di mana kereta ini bersifat understeer dalam keadaan terkawal dengan bantuan sistem ESC ketika tayar tidak lagi mampu memberikan cengkaman pada permukaan basah. Satu perkara lagi yang saya perasan, suspensi Golf R yang lebih keras dari GTI menyebabkan ia lebih melantun pada permukaan tidak rata, namun ia masih dapat dikawal dengan kemas.

Ketika GST pada kadar sifar, Volkswagen 1.4 TSI Sportsline dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM146,888, manakala 1.4 TSI R-Line pula berharga RM157,488. Untuk hot-hatch ikonik Golf GTI, ia boleh dimiliki dengan harga RM225,888, sementara versi paling power Golf R dijual pada harga RM278,888.

Jadi mana satu Golf pilihan anda? Jika anda tanya soalan ini kepada saya sendiri, Golf R-Line sudah memadai. Enjin turbo 1.4 liter tersebut sebenarnya lebih dari cukup untuk digunakan seharian, manakala pengendaliannya pula sudah ok untuk sekali-sekala bagi melepaskan geram di Ulu Yam. Rupa R-Line ini juga cukup mengelirukan orang ramai sehinggakan ramai yang bertanya ‘apahal Golf R ni murah sangat?’ ketika ia dilancarkan tempoh hari kerana ramai yang menyangka ia adalah sebuah Golf R sebenar. Tapi nak sedap mata sikit lagi, rim nak kena la tukar bagi 18-inci kan?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required