Setelah hampir setahun membuat kemunculan di peringkat global, Volkswagen facelift 2018 kini tiba di Malaysia. Bagi pasaran tempatan, Volkswagen Passengger Car Malaysia (VPCM) hadir dengan empat varian Golf, termasuk varian asas 1.4 TSI Sportsline dan R-Line.

Untuk model asas ini, pasaran Malaysia masih lagi dijana enjin 1.4 TSI berkuasa (150 PS/250 Nm) tanpa kehadiran enjin 1.5 TSI Evo baharu. Enjin berkenaan masih lagi dipadankan dengan kotak gear tujuh-kelajuan automatik klac berkembar DSG, memacu roda hadapan. Untuk model kemaskini ini, ia turut diberikan electronic differential lock Volkswagen XDS. Model ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 216 km/j.

Varian Sportline tidak hadir dengan lampu hadapan LED adaptif (ciri ini diberikan pada model R-Line), tetapi digantikan dengan unit halogen. Walau bagaimanapun, lampu nyalaan siang LED dan lampu belakang LED masih dibekalkan secara standard.

Kelengkapan standard lain yang turut dibekalkan pada model ini termasuk upholster fabrik Zoom, rim aloi 16-inci Hita, sistem penghawa dingin automatik dua-zon climatronic Air Care, paparan komputer on-board pelbagai-fungsi, lampu kabus hadapan dan belakang, lampu hadapan dan pengelap cermin automatik serta sistem start/stop enjin dengan regenarative braking.

Golf Sportline juga didatangkan dengan sistem infotaimen Composition Media dengan lapan-pembesar suara bersama App-Connect – iaitu sistem yang menghubungkan fungsi telefon pintar pada skrin utama menerusi Apple CarPlay, Andriod Auto atau Mirrorlink. Model ini turut dibekalkan dengan brek parkir elektromekanikal bersama fungsi Auto Hold, penunjuk tekanan angin tayar serta cermin pandang belakang anti-silau automatik.

Untuk keselamatan pula, Golf Sportline hadir dengan tujuh beg-udara, ESC dan Proactive Occupant Protection System, yang baharu sahaja diperkenalkan buat pertama kali pada Polo Mk6. Sistem ini menggunakan penderia untuk mengesan situasi seperti kemalangan yang akan berlakau dan bersedia untuk melindungi penumpang, contohnya mengetatkan tali pinggang keledar secara automatik serta menutup semua tingkap dan cermin suria.

Dengan semua ciri baharu ini, Volkswagen Golf 1.4 TSI Sportline dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM155,990. Model R-Line masih belum membuat penampilannya di sini, namun harga untuk model tersebut diumumkan pada RM169,990. Setiap pembelian model ini akan disertakan dengan waranti selama lima tahun bersama bantuan tepi jalan juga selama lima tahun, serta servis percuma 45,000km/tiga tahun. Untuk lebih perincian terhadap model ini, anda boleh lawati laman Carbase.my.