Zanita ketuai pasukan pastikan Proton X50 capai NCAP 5 bintang, libatkan pelbagai kejuruteraan semula

Zanita ketuai pasukan pastikan Proton X50 capai NCAP 5 bintang, libatkan pelbagai kejuruteraan semula

Seperti yang semua tahu, Proton X50 adalah produk rebadge dari Geely Binyue. Namun proses berkenaan tidak semudah hanya menukar gril, tetapi ia melibatkan kejuruteraan semula kerana Geely Binyue hanya dihasilkan dalam versi pemanduan sebelah kiri, dan Proton akan menjual SUV segmen-B ini dalam pasaran pemanduan sebelah kanan secara global.

Proses penukaran posisi pemanduan ini juga bukan tugas yang senang, terutamanya apabila berkaitan dengan keselamatan kerana hasil ujian pelanggaran untuk dua versi ini tidak akan sama. Malah Binyue hanya diuji dalam ujian pelanggaran C-NCAP di China, manakala Proton X50 perlu melalui ujian ASEAN NCAP yang menyenaraikan penilaian berbeza untuk mencapai keputusan lima-bintang.

Dan tahukah anda, bagi memastikan Proton X50 turut mencapai keputusan lima-bintang dalam ujian ASEAN NCAP seperti Geely Binyue memperolehi keputusan lima-bintang dalam C-NCAP, Proton mempunyai pasukan jurutera yang diketuai oleh seorang wanita? Individu berkenaan adalah Zanita Zainudin, Ketua Keselamatan dan Pemanduan Pintar Proton yang tidak lokek untuk memperincikan apa yang pasukannya buat untuk mencapai sasaran berkenaan.

“Proton sentiasa menekankan aspek keselamatan sebagai salah satu kelebihan yang unik berbanding pesaing tanpa mengira ia dihasilkan untuk negara atau platform mana sekalipun. Jadi tidak hairan, bahawa kami terus mencabar diri sendiri bagi membolehkan DNA tersebut diteruskan menerusi barisan model kami, sama ada kereta yang dihasilkan secara tempatan atau dengan kerjasama bersama rakan kami Geely,” kata Zanita.

Zanita ketuai pasukan pastikan Proton X50 capai NCAP 5 bintang, libatkan pelbagai kejuruteraan semula

Menurut Zanita, ketika ujian pelanggaran awalan yang dibuat pada Proton X50 dengan kedudukan pemandu sebelah kanan, mereka mendapati bahawa lantai hadapan SUV tersebut akan koyak dan perkara ini sudah tentu akan menyebabkan X50 gagal dalam ujian ASEAN NCAP kelak.

Jadi, jurutera Proton perlu melakukan proses kejuruteraan semula dengan membuat semula rekaan bagi menggunakan logam ultra kuat untuk membolehkan tenaga dari impak tersebut dialirkan ke bahagian lain badan kereta berkenaan yang tidak akan mencederakan penumpang. Secara keseluruhan, 40% dari badan termasuk bahagian hadapan, sisi dan belakang Proton X50 ini dibina dari kombinasi pelbagai jenis logam berkekuatan tinggi.

Tak kira dalam versi pemanduan sebelah mana sekalipun, kedudukan enjin pada kerangka Binyue dan X50 ini adalah kekal pada sebelah kanan. Jadi sudah tentu untuk X50, ada aspek yang tentu akan menjejaskan pemandu kerana faktor ini. Antara yang pasukan jurutera Proton temui adalah bahagian perehat kaki yang mungkin akan menyebabkan kecederaan sekiranya ia hanya semata-mata dipindahkan tanpa membuat sebarang perubahan pada rekaan.

Justeru, perehat kaki yang terletak pada sebelah kiri pedal brek berkenaan telah dibuat pengubahsuaian bagi memastikan ia kekal ditempatnya ketika pelanggaran berlaku dan tidak mencederakan kaki pemandu.

Zanita ketuai pasukan pastikan Proton X50 capai NCAP 5 bintang, libatkan pelbagai kejuruteraan semula

Mungkin ramai yang menyangka semua kriteria yang disyaratkan oleh C-NCAP adalah lebih ketat dari ASEAN NCAP bukan? Namun menurut Zanita, untuk beg udara tirai (pada bahagian tingkap sisi), ASEAN NCAP bukan hanya mensyaratkan ia hanya perlu ada, malah badan untuk rantau Asia Tenggara tersebut turut mahukan beg udara berkenaan untuk melindungi bahagian-bahagian tertentu pada badan penumpang/pemandu.

Oleh itu, Proton perlu mengubah kedudakan beg udara tirai berkenaan berlainan dari apa yang dibuat oleh jurutera Geely pada Binyue. Secara keseluruhan, rekaan semula yang dibuat oleh Proton tersebut menghasilkan keputusan ujian yang lebih baik dan ia akan digunakan oleh Geely dalam produk-produk mereka pada masa depan.

Satu lagi aspek penilaian yang ada pada ASEAN-NCAP dan tiada pada C-NCAP adalah penilaian Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP). Disebabkan adanya penilaian ini, aspek untuk perlindungan kanak-kanak juga perlu dikaji semula untuk mentransformasikan Geely Binyue kepada Proton X50.

Hasilnya, Proton X50 menampilkan rekaan cangkuk Isofix tempat duduk keselamatan yang lebih panjang bagi memudahkan ia dipasang, serta sudut kedudukan tempat duduk tersebut juga diubah bagi memastikan ia lebih selamat dan lulus penilaian COP dengan markah lebih baik.

Apa yang menarik, C-NCAP mungkin akan memperkenalkan penilaian COP yang sama pada 2021, dan rekaan semula yang dibuat oleh Proton ini akan turut digunakan oleh Geely Binyue di China.

Walau bagaimanapun, Zanita menerangkan bahawa ada satu fungsi keselamatan dari Geely Binyue tidak dapat diadaptasi kepada Proton X50. Ia adalah salah satu fungsi pada sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS), iaitu Fungsi Informasi Had Kelajuan (SLIF). Sistem ini berfungsi untuk memberitahu had laju yang ditetapkan pada satu-satu jalan kepada pemandu berdasarkan papan tanda trafik yang dipacak di tepi jalan.

Ia tidak dapat dipadankan terus kepada X50 kerana sistem tersebut dihasilkan untuk membaca papan tanda di China yang sememangnya berbeza dengan papan tanda dan bahasa di Malaysia. Proton tidak dapat menawarkan fungsi ini yang disesuaikan untuk kegunaan di Malaysia kerana kekangan masa memandangkan X50 perlu segera dilancarkan dalam pasaran tempatan.

Walau bagaimanapun, fungsi ini tidak akan dibiarkan begitu sahaja kerana Proton akan membuat adaptasi tersebut dan akan menggunakannya pada model-model akan datang.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required