Imej pertama Geely Borui 2021 dah mula muncul di Internet. Sedan yang diperkemas itu kini antara lain menggunakan rekaan gril ala Volvo, meninggalkan rekaan “Expanding Cosmos” yang digunakan sebelum ini.

Lagi sentuhan baru adalah pada rekaan bampar yang diberikan rekaan semula, yang sekali imbas, nampak seperti mengambil ilham daripada rekaan Volvo, misalnya model S60. Naik taraf penampilan lainnya termasuk rim aloi lima-jejari hitam rekaan baru, kemasan hitam berkilat keliling kenderaan serta rekaab bampar belakang yang diperkemas. Rekaan dua ekzos kekal dalam bentuk trapezoidal.

Selebihnya, belum diperincikan perubahan lain yang akan turut terlibat, terutamanya pada bahagia dalam kabin dan sistem janaan kuasa. Borui GC9 sudah berada dalam pasaran sejak 2015, jadi ini mungkin facelift terakhir untuknya.

Setakat ini, Borui pernah ditawarkan dengan beberapa jenis enjin, antaranya dari 1.8 liter turbocas empat-silinder hinggalah 2.4L NA, dan juga 3.5L V6. Pada pertengahan 2018, Geely memperkenalkan pula Borui GE, yang memanfaatkan unit 1.5 liter (versi mild-hybrid dan plug-in hybrid) yang dibangunkan bersama Volvo.

Antara kelengkapan lain Borui termasuk panel instrumen 12.3-inci, serta paparan infotainmen dengan skrin sentuh di tengah bersaiz hingga 12.3 inci. Head unit ini merangkumi beberapa servis termasuk capaian 4G, eko-sistem pintar GKUI, pengesanan suara pintar, sistem tunjuk arah Garmin serta perpustakaan media dalam talian yang komprehensif. Varian lebih tinggi turut didatangkan dengan sistem bunyi Harman Kardon dengan 14-pembesar suara.

Untuk keselamatan, ia lengkap antaranya dengan ciri kawalan melayar adaptif, brek kecemasan autonomous, bantuan mengekalkan lorong, kawalan lampu tinggi automatik pintar, peninjau titik buta, pengesan papan tanda had laju, head-up display dan bantuan parkir. Jadi ke model ini untuk Proton Perdana?