Nissan rancakkan pembangunan teknologi elektrifikasi di China — Sylphy e-Power tahun ini, X-Trail menyusul

Nissan rancakkan pembangunan teknologi elektrifikasi di China — Sylphy e-Power tahun ini, X-Trail menyusul

Melihat perkembangan dan gerak langkah terbaru Nissan, syarikat itu seperti sedang dalam persiapan untuk memperkenalkan lebih banyak model dengan teknologi e-Power janaan elektrik dalam tempoh beberapa tahun mendatang. Ini didorong oleh dorongan rancak yang dilakukan Nissan di China, sebagai sebahagian strategi baru syarikat itu.

Nissan dilaporkan sedang mempersiap sebuah kilang yang akan digunakan untuk mempercepat pengeluaran kenderaan dengan teknologi elektrifikasi di pasaran automotif paling besar dunia itu, bagi kedua-dua jenamanya sendiri dan juga jenama tempatan di sana, Venucia, lapor Reuters.

Sumber memaklumkan agensi berita berkenaan, strategi baru ini yang dijangka akan diperkenalkan ketika Auto Shanghai April nanti, tidak hanya akan merangkumi kenderaan tetapi juga alatan dan teknologi, yang membolehkan syarikat itu mengurangkan kos dan jadi lebih kompetitif.

Nissan rancakkan pembangunan teknologi elektrifikasi di China — Sylphy e-Power tahun ini, X-Trail menyusul

Khabarnya pengeluar itu akan melancarkan tiga model kenderaan di China tahun ini. Selain daripada crossover elektrik Ariya dan X-Trail generasi keempat yang direka semula, Nissan turut akan memperkenalkan versi hibrid bagi Sylphy generasi keempat, memanfaatkan sistem janaan e-Power. Model selepas itu yang akan diperkenalkan dengan teknologi yang sama ialah X-Trail, kemungkinan akan sama seperti model Qashqai di Eropah.

Sistem berkenaan menggunakan enjin petrol 1.5 liter nisbah mampatan boleh ubah dengan janaan 157 PS dan diganding bersama generator kuasa, inverter dan motor elektrik. Kombinasi ini memberikan output akhir 187 PS. Sama seperti sistem e-Power lainnya, enjin petrol digunakan hanya untuk menjana elektrik, dengan kuasa elektrik memacu roda.

Nissan mensasarkan untuk memperkenal sekurang-kurangnya satu model di China setiap tahun sehingga 2025, dengan hampir semuanya kereta elektrik sepenuhnya atau hibrid dengan teknologi autonomous dan pemanduan pintar.

Nissan rancakkan pembangunan teknologi elektrifikasi di China — Sylphy e-Power tahun ini, X-Trail menyusul

Salah satu sumber memaklumkan, fokus baru terhadap kereta yang khusus untuk China adalah bertujuan untuk menarik perhatian dan selera pembeli tempatan terhadap model-model elektrik. Ini juga mungkin akan melibatkan pembaharuan rekaan, untuk menjadikan bahagian gril lebih besar, lampu utama tajam serta rekaan dalaman yang lebih “kaya”.

Namun, cabaran utama dengan model khusus untuk pasaran China itu adalah untuk membangunkan kenderaan dengan alatan dan tenologi yang diambil dari dalam negara itu sendiri untuk mengurangkan kosnya. Menurut sumber lagi, itu akan melibatkan lebih daripada sekadar mendapatkan bampar, tempat duduk dan lampu. Ia sebaliknya dijangka akan melibatkan juga sistem sensor dan inverter kuasa elektrik.

Selebihnya, bateri untuk model e-Power akan dibangunkan di China oleh Sunwoda Electric Vehicle Battery. Berdasarkan rancangan, ini termasuk menukar arah tuju jenama Venucia dan menjadikannya sebagai jenama EV yang lebih mampu milik.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required