Susulan kes positif COVID-19 yang masih menunjukkan trend peningkatan dengan kadar positif di antara 20-40% dan menggusarkan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat keputusan untuk melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Kedua (PKP 2.0) untuk seluruh negara, kecuali Sarawak, sehingga 18 Februari 2021. Manakala Sarawak masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Kecuali untuk beberapa kawasan di negeri itu yang telah diisytihar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Namun PKP 2.0 sedikit berbeza berbanding PKP satu, yang kali pertama dilaksanakan dulu. Yang mana prosedur operasi standard (SOP) PKP pertama lebih ketat dan lebih kepada ‘total lockdown’. Tiada pergerakan keluar dari rumah. Hampir kesemua sektor ekonomi ditutup.

“Tapi kali ini kita lihat ada kelonggaran untuk sektor ekonomi dan perniagaan terutamanya yang melibatkan perniagaan mikro (penjaja kecil). Walau bagaimana pun SOP yang dikeluarkan adalah lebih ketat. Sebagai contoh, di pasaraya, orang bebas masuk ke pasaraya dan tiada jumlah had, (maka) selepas ini, akan balik ke cara lama dan jumlah pengunjung akan dihadkan,” ujar Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri yang mengumumkan perkara ini sebentar tadi.

Beliau turut menambah, SOP yang lebih ketat akan dikeluarkan dan diumumkan oleh MKN dalam masa terdekat ini.

“Antara SOP yang masih dikekalkan ialah aktiviti sosial dan rentas negeri adalah tidak dibenarkan. Ramai yang bertanya kenapa menyekat rentas negeri, saya ingin maklumkan, setiap keputusan yg dibuat adalah berdasarkan data yg dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Apabila kita membuka rentas negeri dulu, ia telah menyumbang peningkatan kes COVID-10. Buktinya, terdapat 31 kluster yang berkaitan dengan rentas negeri.

“Begitu juga dengan sekatan jalan raya (SJR), ramai yang bertanya kenapa perlu ada SJR walau pun di bandar. Dalam SOP PKP, pertama, jika keluar dari rumah adalah untuk membeli barangan rumah atau tujuan perubatan. Yang kedua pula, hanya dua orang dari satu rumah yang sama dibenarkan untuk tujuan tersebut. Jadi, SJR dilaksanakan kerana kita tidak mahu ada pergerakan yang banyak dan untuk pastikan kita dapat mengurangkan pergerakan rakyat,” katanya lagi.

Tambahnya, “Kita lihat hari ini, kes masih tinggi dan ia masih di sekitar kita. Patuhlah pada setiap SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan bagi menjaga kesihatan diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Jika tiada keperluan untuk keluar rumah, lebih baik terus berada di rumah.”