Selain trak pikap Frontier 2022 yang baru saja didedahkan, Nissan untuk memperkenalkan SUV Pathfinder generasi kelima dalam satu acara maya hari ini. SUV dengan kerangka monocoque flagship Nissan ini meminjam banyak kemaskini reka bentuk yang pernah dilihat pada model Patrol/Armada.

Pathfinder menggunakan pendekatan rekaan terbaru Nissan untuk SUV, antaranya dengan gril V-motion dengan tiga jalur di bahagian atas dan rekaan lampu utama dalam bentuk C yang tersendiri. Lengkung bahagian fender depan dan belakang yang ketara menjadikan SUV ini nampak berotot dan teguh.

Terus dengan tema ranggi dan perkasa, tiang C padanya diberikan warna badan untuk mendapatkan kesan visual bumbung terapung dalam warna hitam, pertama kali diberikan pada model ini. Di belakang, lampu LED trapezoidal disertai dengan jalur hitam, serta lencana nama model berkenaan. Bahagian nombor plat kini diposisikan lebih rendah pada kawasan skid plate bampar.

Nissan menawarkan 14 kombinasi warna, termasuk dalam skim dua tona. Antara warna baru termasuklah Sacrlet Ember yang dilihat ini, dan Obsidian Green Pearl, tampil menyerlah dengan rim aloi rekaan segar dalam saiz 20-inci.

Rekaan bersegi dan imej ranggi yang sama turut dilanjutkan ke bahagian dalamnya. Permukaan yang ada nampak kukuh, dengan rekaan pada corong udara dan penyudah pada pintu memberikan kesan visual yang teguh untuk SUV ini. Konsol tengah yang diangkat lebih tinggi pula membolehkan lebih ruang tersedia di bahagian bawahnya.

Kelengkapan lain termasuk paparan instrumen digital 12.3-inci dan head-up display 10.8-inci, juga pertama kali ditawarkan oleh Pathfinder. Sisten infotainmen NissanConnect dengan skrin sentuh serta ciri Apple CarPlay dan Android Auto datang standard, sementara unit dipertingkat dengan skrin sembilan-inci lengkap dengan Apple CarPlay/Android Auto tanpa wayar, hotspot WiFi, pengecas Qi tanpa wayar, sistem bunyi Bose dengan 13-pembesar suara, NissanConnect Services, sistem tunjuk arah terperinci dan sistem kamera 360-darjah resolusi tinggi.

Pembeli boleh memilih kemasan fabrik, kulit atau kombinasi kulit untuk balutan kerusinya, dengan pilihan warna dan material baru. Terdapat tujuh “suasana” dalaman disediakan, termasuk dengan perincian gangsa dengan sistem pencahayaan ambient yang baru.

Tiga barisan tempat duduk tersedia padanya, menjadikannya SUV dengan lapan-tempat duduk dengan barisan ketiga. Untuk pertama kali, barisan kedua pada Pathfinder ini datang dengan kerusi kapten dengan konsol tengahnya boleh dialih dengan mudah. Kerusi standard barisan kedua juga lengkap dengan fungsi EZ-Flex untuk memudahkannya dilipat.

Dengan semua kerusi dinaikkan, ruang but yang tersedia ialah 470 liter, yang menurut Nissan cukup untuk menempatkan kotak beku 114 liter atau empat beg golf. Peningkatan lain termasuk penggunaan cermin utama dengan akustik yang lebih baik, cermin barisan kedua yang lebih tebal, serta penebat bunyi pada lantai untuk menjadikan kabin lebih senyap dan selesa. Kerusi pemandu datang dengan ciri larasan elektrik 10-hala, kerusi berliang dengan pemanas di depan serta kawalan pendingin tiga-zon juga boleh dipilih untuk kerusi belakang.

Enjinnya menggunakan unit sama, 3.5 liter NA V6, menghasilkan 284 hp dan 351 Nm tork. Bagaimanapun, transmisi CVT sebelum ini telah digantikan dengan kotak gear automatik ZF sembilan-kelajuan. Sistem Intelligent 4WD pula menampilkan tujuh mod pemanduan dan permukaan berbeza; Standard, Sport, Eco, Snow, Sand, Mud/Rut dan Tow.

Nissan mendakwa pemanduannya kini lebih sporty dan stabil melalui penggunaan sistem stereng kuasa elektrik dual-pinion baru dan lebar tayar 255 mm. SUV ini boleh juga menunda beban sehingga 2,700 kg, angka yang disifatkan terbaik dalam kelasnya, dibantu dengan ciri Trailer Sway Control.

Pathfinder baru ini juga lengkap dengan ciri keselamatan Nissan Safety Shield 360, termasuk brek kecemasan autonomous dengan pengesan pejalan kaki dan brek undur, amaran penukaran lorong, peninjau titik buta, amaran lintasan trafik di belakang dan lampu tinggi automatik antaranya lainnya.

Varian lebih tinggi turut dilengkapi dengan ProPilot Assist, dengan tambahan ciri kawalan melayar adaptif, sementara varian Platinum yang paling lengkap turut datang dengan fungsi Navi-link yang bertindak memperlahan kenderaan ketika selekoh di lebuhraya, susur keluar atau simpang. Selain itu, 10 beg udara datang sebagai ciri standard.