Nissan Frontier 2022 diperkenal di US – pengganti Navara D40, platform sama, kelengkapan lebih moden

Nissan Frontier 2022 diperkenal di US – pengganti Navara D40, platform sama, kelengkapan lebih moden

Nissan telah mendedahkan Frontier 2022, yang merupakan sebuah trak saiz sederhana untuk menggantikan Frontier D40 (dikenali di negara kita sebagai Navara “Mother Trucker”) dalam pasaran Amerika Syarikat (AS). Navara NP300 D23 yang dipasarkan di negara kita sekarang tidak dijual di AS, dan Frontier D40 itu sudah dipasarkan sejak tahun 2005 lagi.

Platform bagi Frontier 2022 ini masih lagi sama tetapi badannya semua adalah baru. Seperti kebanyakan trak lain, bahagian muka hadapan memainkan peranan penting dan di sini, ia menggunakan banyak rekaan berpetak berserta gril yang besar dan dua jalur lampu DRL di setiap penjuru.

Varian Pro-4X dan Pro-X mendapat penampilan lebih agresif, dengan penambahan lampu utama jenis LED, DRL LED, lampu kabus LED dan juga kemasan pada gril yang berwarna merah. Model yang anda lihat dalam gambar ini adalah varian Pro-4X yang menggunakan warna Boulder Grey Pearl.

Nissan Frontier 2022 diperkenal di US – pengganti Navara D40, platform sama, kelengkapan lebih moden

Meskipun bahagian platform tidak diubah, Nissan memberitahu mereka telah membuat talaan semula kepada enjin, transmisi, stereng serta suspensi dengan fokus kepada keperluan pemilik trak di AS. Enjin V6 direct injection 3.8 liter berkuasa 310 hp/381 Nm yang diberikan sebagai peningkatan pada model tahun 2020 masih dikekalkan.

Enjin petrol ini dipadankan bersama transmisi automatik sembilan kelajuan serta bahagian lock-up yang lebih luas, sistem electro-hydraulic respon tinggi baru, syaf input panjang serta julat gear yang 99% lebih luas. Melalui peningkatan ini, transmisi tersebut dikatakan lebih pantas dan memberikan penukaran yang rasa lebih terus sepanjang gearnya.

Untuk bahagian stereng, unit rack-and-pinion hidraulik ditala semula untuk memberikan rasa lebih baik dan mengurangkan rasa penat kepada pemandu waktu perjalanan jarak jauh. Nisbah gear stereng juga ditingkatkan 16%, yang bermakna maklum balasnya menjadi lebih pantas dengan setiap pusingan.

Pergi kepada suspensi, tapak jenis hidraulik baru dapat mengurangkan gegaran daripada jalan sebanyak 80% sementara getah jenis urethane memberikan serapan yang lebih lancar. Stabiliser bar hadapan dijadikan lebih besar, dan di belakang juga ia dipasang dengan stabiliser bar untuk mengurangkan olengan badan dan meningkatkan cengkaman.

Varian 4WD menggunakan sistem shift-on-the-fly, dengan mod 2WD/4HI/4LO dikawal oleh transfer case separa elektronik. Model 4WD juga boleh didapati dengan sistem limited slip pada semua roda, yang dapat membantu mengagihkan kuasa kepada roda yang memerlukan waktu kurang cengkaman. Hill Start Assist diberikan secara standard manakala Hill Descent Control pula cuma untuk model 4WD.

Varian paling atas, Pro 4-X juga mendapat kelengkapan tambahan lain yang termasuk electronic locking differential, penyerap hentak offroad jenama Bilstein dan plet pelindung pada bahagian bawah kenderaan.

Nissan Frontier 2022 diperkenal di US – pengganti Navara D40, platform sama, kelengkapan lebih moden

Di bahagian dalam, Frontier 2022 ini datang dengan pelbagai kelengkapan moden yang termasuk skrin sesentuh berwarna 9.0 inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, panel instrumen Advanced Driver Assist Display 7.0 inci, serta rekaan dan kemasan yang serba baru berbanding model sebelumnya.

Ada banyak ruang simpanan di bahagian kabin, termasuklah empat liter di konsol tengah (hampir dua kali ganda berbanding saiz yang biasanya terdapat pada pikap saiz sederhana), 5.7 liter pada poket pintu belakang dan 6.5 liter pada poket pintu hadapan. Di atas papan pemuka juga ada lagi ruang simpanan kecil.

Bagi mengurangkan bunyi bising daripada jalan, bahagian kabin turut ditambah dengan penebat, struktur pelapik lantai belakang yang diperbaiki serta tingkat hadapan jenis akustik. Tempat duduk “Zero Gravity” diberikan secara standard. Ada beberapa tema untuk kemasan dalaman termasuk Charcoal, Sandstone dan yang di dalam gambar ini adalah Lava Red.

Nissan Frontier 2022 diperkenal di US – pengganti Navara D40, platform sama, kelengkapan lebih moden

Untuk kelengkapan lain, semuanya ada pada model baru ini, termasuk pengecas tanpa wayar, NissanConnect dengan sambungan WiFi Hotspot, dua soket USB di hadapan (Type A dan Type C), dua soket 12V di hadapan, Siri Eyes Free, dua soket 110V dengan kemampuan 400 watt (satu di tempat duduk belakang dan satu lagi di bahagian simpanan belakang) serta sistem audio Fender dengan sembilan pembesar suara.

Frontier 2022 ini juga datang dengan Intelligent Around View Monitor dengan pengesan objek bergerak dan mod offroad. Apabila digunakan dalam fungsi Off-Road Mode waktu bergerak perlahan dalam kedudukan 4Lo, kamera ini akan memaparkan pandangan sekeliling, memudahkan pemandu untuk mengatasi secara halangan.

Pada bahagian keselamatan, ia dilengkapi dengan Nissan Safety Shield 360, yang termasuk Automatic Emergency Braking dengan Pedestrian Detection, Blind Spot Warning, Rear Cross Traffic Alert, Lane Departure Warning, High Beam Assist dan Rear Automatic Braking. Satu lagi ciri istimewa untuk kelasnya adalah Intelligent Forward Collision Warning dan Tire Pressure Monitoring System dengan Easy Fill Tire Alert.

Ciri lain adalah seperti Intelligent Cruise Control, Traffic Sign Recognition dan Intelligent Driver Alertness, Rear Door Alert serta lapan beg udara yang diberikan secara standard untuk semua varian.

Untuk varian, pembeli boleh memilih King Cab atau Crew Cab. Bahagian barangan berukuran lima kaki adalah standard untuk semua model Crew Cab, dengan unit enam kaki disediakan sebagai pilihan pada Crew Cab SV Long Wheelbase. Bahagian barangan berukuran enam kaki datang secara standard untuk model King Cab. Jenis badan ini boleh dipadankan dengan pilihan jenis pacuan 2WD atau 4WD.

Selain daripada keadaan standardnya, Nissan juga turut menyediakan pelbagai aksesori tambahan untuk Frontier baru ini, termasuk daripada Nismo. Ini seperti bar belakang, pemijak kaki, suspensi Nismo, lampu tambahan, tangga serta khemah. Jadi, apa pendapat anda dengan Frontier 2022 ini? Adakah ia lebih menarik berbanding Navara facelift yang diperkenalkan untuk negara ASEAN?

GALERI: Nissan Frontier 2022 pasaran US

GALERI: Nissan Navara facelift pasaran ASEAN

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 

Comments

 

Add a comment

required

required