Selepas beberapa teaser dan gambar yang bocor lebih awal, Nissan akhirnya telah mendedahkan Navara generasi ketiga yang dipertingkat pada bahagian penampilan, teknologi serta sistem keselamatan, untuk kembali memberi saingan hebat dalam segmennya.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2014, ini adalah kali pertama Navara D23 diberikan perubahan besar. Nissan juga tidak lagi menggunakan nama NP300 bagi Navara ini, seperti yang dibuat pada beberapa pasaran lain sebelum ini.

Perubahan bahagian luar Navara banyak mendapat inspirasi daripada trak Nissan yang lebih besar iaitu Titan, dan ia boleh dilihat terutamanya pada gril yang menonjol di hadapan. Logo Nissan dengan tulisan merah diletakkan pada bahagian tengah gril ini sementara di atasnya pula tertulis Navara dengan saiz besar. Lampu utama menggunakan empat projector LED pada setiap bahagian, dan di atasnya terletak lampu DRL.

Bampar juga turut diubah, dengan terdapat lekuk berbentuk C di bucu dan menempatkan lampu kabus. Bahagian bawah mempunyai skid plate yang besar bersama penutup tempat cangkuk penarik. Bonet dijadikan lebih tinggi, dengan bonjolan di bahagian tengah, sementara kemasan pada pemijak tepi pula dikatakan dapat meningkatkan ciri aeodinamik, mengurangkan bunyi dan membantu kecekapan bahan api.

Lampu LED di bahagian belakang juga menggunakan pencahayaan berbentuk C, dan penutup ruang barangan direka semula dengan tulisan Navara di bawahnya, serta logo di tengah. Bampar dijadikan lebih tegap dan datang sekali dengan pemijak untuk memudahkan pengguna. Bergantung kepada pasaran, ruang barangan ini boleh datang dengan saiz yang besar serta cangkuk pengikat barang.

Nissan juga memperkenalkan gred Pro-4X yang memberikan pelbagai barangan tambahan seperti kemasan tambahan pada keliling lengkuk roda, serta lencana, gril, pemegang pintu, cermin sisi, rel bumbung dan pemijak tepi yang semuanya berwarna hitam. Rimnya yang bersaiz 17 inci adalah lebih kecil berbanding varian lain yang lebih tinggi, tetapi dibalut dengan tayar all-terrain.

Anda juga akan menemui tulisan merah pada lencana, penutup cangkuk penarik serta kemasan keliling lengkuk rodanya, bersama pilihan warna kelabu metalik. Versi ini bagaimanapun tidak mempunyai naik taraf casis yang lebih kepada prestasi offroad seperti Frontier Pro-4X di Amerika Utara.

Bahagian dalam tidak banyak berubah, kecuali beberapa peningkatan teknologi. Paparan di dalam panel instrumen kini mempunyai skrin tujuh inci yang lebih besar, dengan resolusi lebih tinggi, sementara sistem infotainmen pula kini menggunakan unit Nissan Connect dengan skrin sesentuh lapan inci dan sambungan Apple CarPlay. Jumlah soket USB juga ditambah, berserta satu soket USB-C di hadapan.

Bagi meningkatkan keselesaan pengguna, penebat bunyi di dalam trak ini telah ditambah, bersama kaca akustik yang digunakan pada cermin hadapan dan tepi. Tempat duduk belakang dibentuk semula supaya lebih selesa, dan perehat tangan mempunyai tempat letak cawan. Ciri baru lain adalah pengelap cermin dengan pengesan hujan, cermin sisi boleh lipat sendiri serta pengunci pintu yang peka kepada kelajuan.

Pada bahagian keselamatan, Navara 2021 datang dengan pelbagai sistem aktif baru, termasuk Autonomous Emergency Braking, Lane Departure Warning dengan pengaktif brek, Blind Spot Monitoring dan Driver Attention Alert. Model ini juga datang dengan sistem kamera 360 darjah yang boleh mengesan objek bergerak, serta mod offroad yang dapat membantu pemandu meletakkan kereta di kawasan sempit dengan lebih mudah.

Navara baru ini terus menggunakan suspensi multilink di belakang, tetapi mendapat gandar belakang yang diperkuat untuk meningkatkan kemampuan membawa barang. Nissan juga memberitahu trak ini boleh membawa barangan dengan berat maksimum yang lebih tinggi tetapi jumlah sebenarnya tidak diberitahu. Sistem stereng juga adalah baru, untuk meningkatkan maklum balas dan pengendalian pada kelajuan rendah.

Pilihan enjin tidak diberitahu, jadi berkemungkinan Navara akan terus menggunakan unit empat silinder turbo 2.3 liter yang sama, dengan kuasa 188 hp dan 450 Nm bagi varian paling tinggi. Setakat ini juga kita tidak mengetahui sama ada pasaran ASEAN seperti negara kita akan mendapat enjin baru atau masih akan menggunakan enjin 2.5 liter turbo sama.