MINI telah mendedahkan model edisi terbaharu bagi Cooper SE facelift, yang dijangka akan mula dijual di beberapa pasaran terpilih mulai Mac tahun ini. Dikenali sebagai MINI Electric Collection, ia menerima ciri rekaan tambahan dan lebih banyak kelengkapan standard untuk memberikannya penampilan yang lebih eksklusif.

Bermula dengan luarannya, ia diberikan kemasan Island Blue metalik yang pertama kali ditawarkan untuk Cooper SE. Pilihan lain termasuk kemasan Rooftop Grey baharu, dan ia juga boleh dipilih dengan Multitone Roof dengan imbasan warna dari San Marino Blue ke Pearly Aqua ke Jet Black, dari bingkai cermin hadapan hingga ke belakang.

Bahagian bonet dan sisi MINI Electric Collection juga diberikan hiasan jaluran eksklusif, dengan padanan perumah cermin sisi hitam serta roda aloi-ringan MINI Electric Collection Spoke 17-inci.

Untuk melengkapkan lagi gayanya, elemen luaran hitam berkilat turut kelihatan pada gril, lampu utama dan sekeliling lampu belakang, logo MINI, perkataan model di belakang, pemegang pintu dan scuttles sisi. Lampu utama LED adaptif diberikan secara standard, dengan fungsi matrix untuk lampu tinggi.

Apabila pintu dibuka, kelihatan kemasan ambang pintu dengan logo cetakan MINI Electric, juga bersama kemasan tempat duduk sport dalam material fabrik kelabu cerah dan tali kulit, kemasan MINI Yours Aluminium, anthracite headliner dan roda stereng sport dengan balutan kulit Nappa bersama logo MINI Electric.

Pakej bagi keselesaan, ketersambungan dan bantuan pemandu ditawarkan secara pilihan, termasuk roda stereng dengan fungsi haba buat pertama kalinya. Ciri standard lain termasuklah pakej Connected Navigation yang boleh dinaiktaraf kepada pakej Connected Navigation Plus dengan paparan utama, pengecas tanpa wayar, Concierge Service dan MINI Connected XL.

Bagi aspek keselamatan, Amaran Ketibaan Lorong kini ditambah dalam Pakej Bantuan Pemandu, dengan ciri yang lebih termaju bagi Driver Assistance Package Plus termasuk Kawalan Kelajuan Aktif, yang kini ditampilkan dengan fungsi stop/go untuk buat pertama kalinya.

Untuk penjana kuasanya, ia masih dikekalkan dengan kombinasi motor elektrik berkuasa 184 PS (181 hp)/270 Nm dan bateri lithium-ion 32.6-kWh seperti sebelum ini, dengan mendakwa anggaran jarak yang boleh dicapai adalah antara 203 dan 234 km mengikut kitaran WLTP.