Penyedia perkhidmatan langganan kereta baharu, GoCar Subscription, kini menawarkan pilihan luar biasa dalam barisan servis mereka – anda bukan sahaja ditawarkan dengan langganan kereta-kereta biasa, menerusi program GoCar Sports yang baru diumumkan hari ini, pelanggan turut ditawarkan dengan pilihan barisan kereta sport!

Buat permulaan, GoCar Sports akan menawarkan dua buah kereta sport kepada pelanggan iaitu model pacuan roda belakang Subaru BRZ berkuasa 200 hp, atau jentera rali jalan raya Subaru WRX berkuasa 264 hp yang memacu semua roda. Seperti program GoCar Sub biasa, anda hanya perlu membayar yuran langganan bulanan, manakala cukai jalan, insuran, segala servis penyelenggaraan termasuk komponen haus dan lusuh akan diuruskan oleh pihak Gocar.

Anda boleh memilih tiga pakej program langganan kereta-kereta sport ini iaitu sama ada setahun, dua tahun atau tiga tahun. Untuk langganan setahun, bayaran bulanannya adalah RM3,299 sebulan, langganan dua tahun adalah RM2,999 sebulan manakala pelan tiga tahun pula ditawarkan dengan bayaran RM2,699 sebulan.

Walau bagaimanapun, kesemua pelan langganan ini memerlukan anda membayar deposit sekuriti yang sama nilai dengan dua bulan bayaran pakej yang anda pilih (akan dipulangkan semula setelah tamat langganan), dan kereta berkenaan hanya boleh bergerak sejauh 1,650 km sebulan.

GoCar turut menawarkan opsyen tambahan perbatuan untuk bergerak lebih jauh dengan bayaran tambahan. Anda boleh menambah jarak perbatuan sejauh 2,500 km dengan bayaran RM300 sebulan, atau tambahan perbatuan tanpa had dengan bayaran tambahan RM800 sebulan.

Opsyen lain yang turut ditawarkan termasuk filem penapis haba (RM47 sebulan untuk pelan 36 bulan), akses ke Singapura dengan yuran RM8 sebulan serta tambahan perlindungan insuran.

Dengan tambahan GoCar Sports yang baru ini, garaj GoCar Subs kini telah berkembang menjadi enam kategori untuk memenuhi keperluan pelbagai gaya hidup pelanggan. Setiap kategori menawarkan struktur ‘Satu Harga’ yang bersepadu bermula RM799/sebulan untuk kategori Econ sehingga RM2,299/sebulan bagi kategori Luxe dan RM2,699/sebulan untuk kategori Sports. Kadar yang disenaraikan itu adalah untuk pelan 12 hingga 36 bulan.

Selain dari membolehkan anda membuat perancangan kewangan lebih baik tanpa perlu risau kos pemilikan seperti servis penyelenggaraan, cukai jalan dan insuran, program langganan seperti GoCar ini juga boleh mengelakkan masalah susut nilai dan juga terikat dengan tempoh pembiayaan yang lama.