Dalam masa beberapa bulan yang lepas, kekurangan bekalan cip semikonduktor telah memberi kesan yang besar kepada pengeluaran kenderaan global, dengan ada syarikat yang terpaksa menghentikan pengeluaran atau mengurangkan jumlahnya buat sementara. Antara jenama yang terjejas adalah seperti Toyota, Honda, Nissan, Mazda, Ford, FCA, General Motors, Stellantis, Audi dan Volkswagen.
Memandangkan keadaan ini semakin teruk sejak ia disuarakan buat pertama kali oleh Volkswagen pada bulan Disember lalu, anda pasti boleh menjangka ia juga akan memberi kesan kepada pengeluar tempatan. Ini memang benar kerana Perodua juga telah menerima kesannya. Pusat jualan jenama ini telah diberitahu tentang masalah tersebut oleh Perodua.
Dalam dokumen yang diberi, dan dilihat sendiri oleh kami, Perodua memberitahu bahawa ia turut menerima kesan daripada isu kekurangan cip ini, dan mengganggu pengeluaran Myvi, Aruz serta Alza. Ia menambah, bagi Myvi, masalah ini mungkin berlanjutan sehingga bulan Mac. Apa yang dilakukan oleh Perodua, sama ada memberhentikan atau mengurangkan pengeluaran sementara tidak diberitahu, tapi sumber kami memberitahu, mungkin ada pengedar yang tidak akan menerima Myvi langsung bulan hadapan.
Gangguan pengeluaran ini juga membawa makna penghantaran kepada pelanggan untuk semua model ini boleh tertangguh, dan model yang popular seperti Myvi akan menerima kesan yang jelas. Setakat ini, berapa lama masalah tersebut akan berlanjutan dan bagaimana kesannya kepada jumlah jualan kenderaan masih belum diketahui.
Perodua juga memberitahu bahawa “bahagian pengeluaran telah cuba membuat beberapa pilihan untuk mengatasi masalah tersebut” dan memberitahu pengedar bahawa tiada kesan yang terlalu besar kepada bekalan alat ganti untuk khidmat selepas jualan. Ia juga menambah bahawa komunikasi selanjutnya berkenaan topik ini akan diberikan sekiranya ada.
Ativa tidak dimaklumkan terlibat dalam masalah ini. Mungkin alat ganti yang digunakan untuk pengeluaran model ini sudah diperolehi lebih awal sebelum isu timbul, atau mungkin juga pengeluaran model lain dihentikan terlebih dahulu bagi memberi laluan kepada Ativa kerana bekalan cip yang terhad. Apa pun, sekiranya anda ada membuat tempahan untuk model Perodua dan diberitahu terdapat sedikit kelambatan, sekarang anda tahu apa penyebabnya. Jadi, bersabarlah ya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.