Porsche Taycan Cross Turismo diperkenal – ruang lebih luas, boleh offroad ringan, kuasa hingga 761 PS

Porsche Taycan Cross Turismo diperkenal – ruang lebih luas, boleh offroad ringan, kuasa hingga 761 PS

Lebih kurang tiga tahun selepas model konsepnya ditunjuk, kini Porsche akhirnya mendedahkan Taycan Cross Turismo. Model GT elektrik baru ini boleh dikenali melalui bumbung menjunam di belakang, dan Porsche memanggilnya sebagai “flyline“.

Model ini juga mendapat kemasan plastik hitam di sekeliling bahagian bawah badannya bagi menguatkan lagi identiti lasaknya. Malah, sebelum ia dikeluarkan, Porsche telah melakukan banyak ujian atas jalan kasar untuk Taycan Cross Turismo dan ia juga boleh dilihat dalam gambar di bawah.

Sekiranya anda adalah jenis yang menggunakan kenderaan ini untuk aktiviti luar, anda boleh memilih pakej Off-Road Design, yang memberikan penghadang khas pada bahagian bucu bampar serta tepi, untuk melindungi badan kenderaan daripada percikan pasir atau batu. Rel bumbung disediakan sebagai pilihan tambahan dan rekaan rim adalah serba baru.

Porsche Taycan Cross Turismo diperkenal – ruang lebih luas, boleh offroad ringan, kuasa hingga 761 PS

Masuk ke dalam, keadaannya sama sahaja seperti Taycan biasa, dengan terdapat tiga skrin atas papan pemuka, sementara satu lagi skrin di hadapan penumpang depan disediakan sebagai pilihan tambahan. Mereka yang memilih pakej Off-Road Design akan mendapat kompas di atas papan pemuka ini.

Hasil daripada garis bumbung yang diubah, Porsche memberitahu, terdapat tambahan 47 mm bagi ruang kepala penumpang, sementara bukaan pintu but pula adalah lebih besar berbanding model sedan. Ruang barangan di belakang yang disediakan adalah 446 liter (406 liter pada model biasa), dan boleh pergi sehingga 1,212 liter apabila tempat duduk belakang dilipat rata. Di bawah bonet hadapan pula terdapat 84 liter ruang simpanan tambahan.

Dalam keadaan standard, Taycan Cross Turismo datang dengan balutan separa kulit di bahagian dalam, tetapi ia boleh dinaik taraf kepada kulit klasik atau Club Leather OLEA yang menggunakan daun zaitun untuk proses penggelapan. Untuk pilihan lain, pelanggan juga boleh mendapatkan kabin yang tidak menggunakan kulit, diganti dengan bahan gentian mikro yang dipanggil sebagai Race-Tex. Pelapik lantai pula menggunakan jaring menangkap ikan yang dikitar semula.

Porsche Taycan Cross Turismo diperkenal – ruang lebih luas, boleh offroad ringan, kuasa hingga 761 PS

Semasa dilancarkan, Taycan Cross Turismo akan didatangkan dalam pilihan empat varian, dan kesemuanya menggunakan dua motor elektrik dan sistem pacuan semua roda. Memandangkan ia berkongsi penggerak yang sama seperti Taycan, kuasa yang dihasilkan, serta prestasinya juga adalah sama.

Melihat pertamanya kepada Taycan 4 Cross Turismo, varian permulaan ini menyediakan 380 PS secara standard, atau 476 PS dan 500 Nm tork dalam mod overboost atau Launch Control. Ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat, mencapai kelajuan maksimum 220 km/j dan memberikan jarak gerak antara 389 km hingga 456 km.

Atas daripadanya adalah varian 4S, yang mampu menghasilkan 490 PS (571 PS dan 650 Nm tork waktu overboost), 0-100 km/j dalam masa 4.1 saat, laju maksimum 240 km/j dan jarak gerak antara 388 km hingga 452 km dengan sekali cas penuh.

Porsche Taycan Cross Turismo diperkenal – ruang lebih luas, boleh offroad ringan, kuasa hingga 761 PS

Seterusnya adalah Taycan Turbo Cross Turismo. Varian ini mampu menghasilkan kuasa 625 PS (680 PS dan 850 Nm tork dalam mod overboost), sekaligus membenarkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 3.3 saat, mencapai kelajuan maksimum 250 km/j dan menyediakan jarak gerak 395 km hingga 452 km.

Varian paling tinggi iaitu Turbo S juga menyediakan kuasa 625 PS, tetapi dalam mod overboost, ia boleh mencecah 761 PS dan 1,050 Nm tork. Kuasa ini cukup untuk memacu kereta seberat 2,320 kg ini untuk melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 2.9 saat, tetapi jarak geraknya berkurang sedikit menjadi antara 388 km hingga 419 km untuk sekali cas penuh. Motor di hadapan menggunakan transmisi satu kelajuan sementara motor di belakang mempunyai transmisi dua kelajuan.

Semua varian ini dipasang dengan Performance Battery Plus 93.4 kWh (beroperasi pada voltan sistem standard 800 V), dan diberikan dengan pengecas 11 kW (boleh dinaik taraf kepada unit 22 kWh). Sama seperti Taycan biasa, ada dua soket pengecas pada kereta, iaitu satu untuk AC dan satu lagi untuk DC.

Porsche Taycan Cross Turismo diperkenal – ruang lebih luas, boleh offroad ringan, kuasa hingga 761 PS

Jika menggunakan pengecas 11 kW, baterinya akan mengambil masa sembilan jam untuk penuh, tetapi sekiranya mempunyai akses kepada pengecas DC 50 kW, anda cuma perlu mengambil masa mengecas 30 minit untuk mendapatkan jarak gerak 100 km. Taycan juga boleh dicas menggunakan pengecas pantas, yang mengambil masa cuma 23 minit untuk menaikkan tahap baterinya daripada 5% ke 80% (di bawah keadaan paling optimum).

Satu ciri baru bagi Cross Turismo adalah pilihan mod pemanduan kelima yang dilabelkan sebagai Gravel. Ia membuat penetapan yang lebih baik untuk pemanduan offroad ringan, seperti jalan tidak berturap. Penyampaian kuasa dikawal secara tepat melalui transmisi dua kelajuan di belakang, dan ia mengagihkan tork demi memberikan cengkaman yang optima.

Varian Turbo dan Turbo S mendapat differential gandar belakang secara standard, dan ini memberikan lebih banyak tork mengunci dan cengkaman. Mod Gravel juga memberi input kepada tetapan spring serta penyerap Porsche Stability Management (PSM), Porsche Torque Vectoring Plus (PTV Plus) serta Porsche Traction Management (PTM). Empat mod lain yang disediakan adalah Range, Normal, Sport dan Sport Plus – sama seperti Taycan biasa.

Porsche Taycan Cross Turismo diperkenal – ruang lebih luas, boleh offroad ringan, kuasa hingga 761 PS

Sebagai sebuah kenderaan elektrik mewah, Taycan Cross Turismo datang dengan pelbagai sistem bantuan serta keselesaan. Sistem Porsche InnoDrive antaranya, termasuk Active Lane Keep Assist, Adaptive Cruise Control, Swerve Assist dan Intersection Assist (dengan amaran bunyi dan bantuan brek).

Sistem ini juga menggunakan data yang diperolehi daripada GPS, radar, kamera, had laju serta topologi jalan (gradien serta lengkung selekoh) untuk memadankannya dengan kelajuan kenderaan. Ia boleh boleh menjangka keadaan sehingga jarak tiga kilometer, serta mengoptimakan strategi pemanduan mengikut masa sebenar. Antara contohnya, bila mendekati selekoh atau bulatan, kenderaan akan diperlahankan secara sendiri.

GALERI: Porsche Taycan Cross Turismo Turbo S 2021

GALERI: Porsche Taycan Cross Turismo 4S 2021

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required