Singapura akan mengharamkan pendaftaran kereta dan teksi baru yang dikuasakan enjin diesel bermula pada 2025, atau lima tahun lebih awal berbanding jadual asal, lapor Bloomberg. Ketika ini, sejumlah 2.9% kenderaan penumpang dan 41.5% teksi menggunakan enjin diesel di sana, mengikut perangkaan Land Transport Authority negara itu.
Peraturan baru akan datang ini bagaimanapun tidak akan dikenakan ke atas kenderaan komersial penghantaran dan bas. Singapura juga merancang untuk pemasang 60,000 pengecas EV menjelang 2030. Dua pertiga daripadanya akan diletakkan di ruang parkir umum dan bakinya di premis persendirian.
Menurut laporan berkenaan lagi, sebuah badan kerajaan baru akan diperkenalkan untuk menerajui dasar berkaitan kenderaan elektrik di sana, dengan rundingan bagi penyertaan sektor swasta akan diadakan hujung bulan ini.
“Langkah ini akan menyokong sasaran Singapura untuk menamatkan pendaftaran baru bagi kereta dan teksi diesel bermula 2025, dan memerlukan semua pendaftaran kereta serta teksi baru dari model dan teknologi lebih bersih bermula 2030. Menjelang 2040, semua kenderaan yang ada akan menggunakan tenaga lebih bersih,” jelas LTA.
Sebahagian daripada rancangannya melibatkan pembangunan perumahan baru di negara itu mempunyai 15% parkir untuk pengecas EV. Kerajaan Singapura juga telah mengumumkan langkah untuk mengurangkan pembebasan karbon, termasuk fokus utama terhadap tenaga solar, menanam sejuta pokok, lanjutan rangkaian landasan dan laluan basikal serta pengurangan 20% sisa buangan yang dihantar ke tapak pelupusan dalam tempoh lima tahun.
Tahun lalu, kerajaan Singapura mengumumkan akan membeli bas hibrid dan kuasa elektrik, dan telah mula menggunakan 50 bas diesel-elektrik setahun sebelum itu. 60 buah lagi bas elektrik telah dibeli thaun lalu untuk digunakan secara berperingkat.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.