Selepas negara diisytiharkan berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac tahun lalu bagi mengekang penularan wabak Covid-19, tiada langsung acara-acara berkaitan permotoran dapat dilangsungkan di seluruh negara. Namun dengan idea kreatif bagi membolehkan acara sedemikian berjalan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan jangkitan coronavirus berkenaan, Retro Havoc telah berjaya melengkapkan Retro Havoc e-Showcase 2021 semalam.

Ia adalah acara hibrid yang dianjurkan oleh Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) dan diselia oleh Retro Havoc Malaysia diketuai oleh Rosli Mohamad Said (Alie Kuoppa) serta sokongan dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS) – menggabungkan acara atas talian dan bersemuka.

Ia dimulakan dengan pembukaan penyertaan secara maya sejak Januari lalu, dan menarik minat hampir 400 penyertaan dari seluruh semenanjung Malaysia. Dari keseluruhan penyertaan berkenaan, hanya 24 jentera yang layak ke peringkat akhir mengikut lapan kategori berbeza; American Retro, American Future Retro, Malaysian Retro, Malaysian Future Retro, Euro Retro, Euro Future Retro, JDM Retro dan JDM Future Retro.

Jentera-jentera yang layak sebagai finalis berkenaan dipilih berdasarkan dua penjurian iaitu undi juri awam sebanyak 30% yang diambil berdasarkan jumlah ‘likes’ pada laman Facebook, manakala 70% lagi adalah markah dari juri profesional.

Kemuncak acara ini telah pun berlangsung semalam (24 Mac 2021) di perkarangan Menara KBS Putrajaya, menyaksikan kesemua finalis memenuhi sekeliling bangunan berkenaan dengan barisan jentera seperti Nissan Skyline GT-R R34, Nissan Skyline C210, Honda City Turbo II, kereta kit dari casis VW Beetle Nova Sterling, Toyota 86, Mazda RX3 dan RX7, pelbagai Ford Mustang serta banyak lagi.

Pada peringkat akhir ini, kereta-kereta berkenaan sekali lagi diadili oleh juri-juri profesional bagi memilih kereta terbaik dari kategori masing-masing, dan satu anugerah juara untuk kereta terbaik keseluruhan. Dan bagi berkongsi kemeriahannya bersama pengunjung-pengunjung tetap Retro Havoc saban tahun, acara akhir ini juga turut disiarkan secara langsung menerusi FB live.

Siapa kata anda memerlukan kereta mahal dan rare untuk memenangi anugerah keseluruhan terbaik? Ini kerana, anugerah berkenaan dirangkul oleh sebuah Proton Saga Magma 1989 (diberi rupa seakan Saga Orion) milik Hafiz Mohtar, tanpa sebarang pengubahsuaian, tetapi telah direstorasi sehingga ke tahap seperti baru keluar dari kilang.

Setiap kereta yang bertanding ini juga telah ‘dibelek’ oleh menteri belia dan sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican diiringi oleh timbalannya YB Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal serta presiden MAM Tan Sri Mokhzani Mahathir. Ketiga-tiga VIP ini juga telah diberi penghormatan untuk menyampai hadiah untuk setiap pemenang diakhir acara.

Bagi memberikan kemeriahan Retro Havoc e-Showcase ini sama seperti acara tahunan Retro Havoc, penganjur juga sebenarnya turut membuat acara cabutan bertuah yang dilangsungkan secara maya pada 20 dan 23 Mac lalu. Sebanyak 50 hadiah berupa pelbagai aksesori kereta, voucher serta barangan lain disumbangkan oleh penaja-penaja seperti Bateriku.com, Atara Racing, FTuned Suspension, Exquisite Motorsport dan BZR Racing.