Cisco Racing & Karamjit Singh sertai Kejohanan Rali Nasional M’sia 2021 dengan Proton Gen2 2.0L 4WD

Cisco Racing & Karamjit Singh sertai Kejohanan Rali Nasional M’sia 2021 dengan Proton Gen2 2.0L 4WD

Cisco Security Academy hari ini secara rasmi mengumumkan pasukan lumba baharu mereka iaitu Cisco Racing bakal berlumba dalam musim pertama Kejohanan Rali Nasional Malaysia (MNRC 2021) yang bakal bermula Jun ini, serta menampilkan lagenda rali negara, Karamjit Singh sebagai pemandu utama.

Ini pastinya satu perkembangan yang sangat positif selepas berita yang tak ingin kita dengar pada akhir tahun lalu berkenaan juara dunia WRC Group N 2002 berkenaan yang terpaksa menjual Proton Waja kegunaan hariannya bagi kelangsungan hidup untuk membeli Proton Saga baharu, supaya boleh digunakan sebagai kenderaan perkhidmatan e-hailing.

Menurut Pengarah Urusan Cisco, Rabin Nijhar, pasukan ini ditubuhkan bagi mengembalikan kedudukan Karamjit sebagai Juara Rali Malaysia – beliau sendiri telah menghubungi Karamjit selepas mendengar berita yang tular disiarkan oleh media tahun lalu tersebut.

Cisco Racing & Karamjit Singh sertai Kejohanan Rali Nasional M’sia 2021 dengan Proton Gen2 2.0L 4WD

“Selepas tahun 2020, saya mencari peluang yang terbaik bagi Karamjit selepas mendengar kisahnya. Cisco juga berada dalam kedudukan yang serba unik untuk membantu beliau. Oleh kerana Pandemik Covid-19, Malaysia perlu sebuah cerita kebangkitan semula seorang Juara Rali, dan saya percaya bahawa cerita Karamjit Singh adalah cerita yang perlu didengari oleh seluruh rakyat Malaysia. Kami sangat gembira dan teruja untuk menyatukan Malaysia bersama-sama untuk menyokong ikon negara yang sejati,” kata Nijhar.

“Saya sangat bersemangat untuk berlumba semula, ianya sudah menjadi tugas saya selama hampir tiga puluh tahun. Saya memandu secara profesional sejak tahun 1988, hingga baru-baru ini di mana saya menghadapi masalah untuk mencari penaja. Tetapi hakikatnya, saya tidak dapat hidup tanpa bertanding di litar rali. Ini adalah semangat saya dan saya hanya mahu fokus dan bekerja keras sebanyak mungkin kerana saya benar-benar menantikan acara ini untuk kembali ikut rentak prelumbaan rali saya. Saya sangat rindu untuk berlumba semula,” kata Karamjit Singh.

Untuk kejohanan MNRC musim ini, Karam akan dibantu oleh juruarah yang sangat berpengalaman dan sudah bersamanya sejak sekian lama sama ada untuk rali tempatan atau antarabangsa iaitu Jagdev Singh.

Cisco Racing & Karamjit Singh sertai Kejohanan Rali Nasional M’sia 2021 dengan Proton Gen2 2.0L 4WD

“Saya sangat gembira kerana dapat kembali ke dunia permotoran rali dan juga dapat bekerjasama dengan Karam. Saya sangat berterima kasih kepada pihak Cisco kerana memberi kami peluang untuk kembali ke persaingan permotoran rali. Karam dan saya telah bekerja bersama sejak tahun 1997, mewakili Proton dan Malaysia di dalam Rali Asia Pasifik China. Sejak itu kami telah bersaing dalam perlumbaan rali bersama-sama di dalam dan luar negara, memenangi hampir setiap acara yang kami sertai. Saya pasti menantikan acara pertama pada bulan Jun dan akan berusaha 100 peratus untuk mendapatkan kemenangan untuk kami!” ujar Jagdev Singh.

Karamjit bakal mengemudi Proton Gen2 2.0L Turbo 4WD yang telah digunakan sejak 2017. Walaupun ia sebuah jentera lama, Gen2 berkenaan bukanlah kereta sebarangan. Jentera ini sebenarnya telah dihasilkan oleh Proton sendiri pada tahun 2007 sebagai rakan teknikal kepada Felda Rally Team.

Pasukan rali Felda tersebut diketuai oleh Brain Palmer (individu yang bertanggungjawab membina banyak jentera rali Proton termasuk Satria 1.6 Group A yang telah menyertai WRC Safari Rally 1997 serta menjadi juara untuk kategori Formula 2WD/A6), dan Gen2 berkenaan telah disumbat dengan enjin 4G63T bersama sistem pacuan semua roda dari Mitsubishi Lancer Evo VI, bagi digunakan oleh seorang lagi bintang rali negara yang pernah menyinar satu ketika dulu iaitu Saladin Mazlan bersama juruarahnya, Arish Qutb.

Cisco Racing & Karamjit Singh sertai Kejohanan Rali Nasional M’sia 2021 dengan Proton Gen2 2.0L 4WD

Tahun ini juga sebenarnya adalah tahun kebangkitan semula perlumbaan rali dalam negara, selepas Kejahonan Rali Malaysia (MRC) tidak lagi dianjurkan dan ditamatkan pada penghujung musim 2018. MNRC yang akan berlangsung kali ini merupakan kejohanan nasional tertinggi di Malaysia buat masa sekarang.

MNRC 2021 sepatutnya berlangsung dalam lima pusingan tahun ini, bermula pada bulan April. Walau bagaimanapun disebabkan pandemik Covid-19, pusingan pertama telah pun dibatalkan dan pelumba bakal mengharungi cabaran musim ini hanya dalam empat pusingan, dengan pusingan pertama akan berlangsung pada 26 hingga 27 Jun di Sepang.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required