Proton Satria 1.6 Group A – pernah menjuarai WRC Rali Safari 1997, British Rally Championship 2000!

Proton Satria 1.6 Group A – pernah menjuarai WRC Rali Safari 1997, British Rally Championship 2000!

Bila kita bercerita tentang lagenda Proton Satria, tentu sahaja ramai yang memperkatakan kehebatan varian tertinggi yang pernah dihasilkan iaitu Satria GTi, bersama versi lebih hardcore Satria R3. Kalau kita berbual berkenaan perlumbaan rali pula, sudah tentu nama Proton Wira 1.8 EXI Limited “tiang gol” akan naik, kerana ia adalah model prestasi Proton yang turut dihomolagasikan kepada pihak FIA bagi membolehkan ia bertanding dalam mana-mana rali yang diselia badan sukan permotoran dunia berkenaan.

Namun penulis percaya, pasti ramai yang tidak sedar akan penampilan satu lagi varian Satria yang lebih rendah iaitu Satria 1.6 GLi dalam pentas sukan permotoran bukan? Buat pengetahuan anda, model ini juga sebenarnya telah melalui proses homologasi FIA, dan ia bukan sahaja pernah muncul sebagai kereta rali produksi Group N, malah pernah juga dihasilkan sebagai kereta rali Group A yang jauh lebih berkuasa, dan pernah menjuarai Kejohonan Rali British (BRC) satu ketika dahulu, malah ia juga sebenarnya telah menyertai Kejuaraan Rali Dunia (WRC)!

Tidak seperti kereta-kereta rali Proton PERT yang berasaskan Lancer Evolution yang dihomologasikan oleh Mitsubishi sendiri, atau Wira 1.8 EXi yang dihomologasikan oleh EON Motorsport, proses homologasi untuk Satria 1.6 ini mula-mula dibuat oleh satu lagi pengedar Proton (selain Edaran Otomobil Nasional atau EON) iaitu Usahasama Proton-DRB Sdn Bhd (USPD).

Ini kerana pada ketika itu Satria hanya boleh dibeli dibilik-bilik pameran USPD, jadi tanggungjawab untuk mempromosikan model berkenaan turut menjadi tugas mereka. Dan antara kaedah mempromosikan nama satu-satu jenama pada era 90’an sudah tentulah menerusi sukan permotoran, atau secara khususnya untuk Proton adalah dalam disiplin rali mengikut jejak langkah ‘sifu’ mereka iaitu Mitsubishi.

Dalam fail rekod FIA, homologasi untuk Proton Satria yang dibuat oleh USPD berkenaan adalah sah bermula pada 1 Januari 1996. Ketika itu Satria masih menampilkan bahagian belakang yang seiras dengan kembar JDMnya iaitu Mitsubishi Mirage Cyborg dengan lampu yang lebih panjang serta nombor pendaftaran berada pada bahagian bampar.

Dokumentasi pada Satria Group A peringkat awal ini menunjukkan ia menerima pengubahsuaian yang ekstensif pada bahagian casis termasuk suspensi, brek, rollcage dan berberapa perincian kecil seperti pedal box, brek tangan hidraulik, dan pelbagai lagi.

Proton Satria Group A untuk WRC Safari Rally 1997, gambar oleh Brian Palmer sendiri menerusi laman facebook syarikatnya, Inter Formula.

Pada peringkat ini juga, enjin 1.6 liter SOHC 16 injap 4G92 pada Satria tersebut tidak menampilkan ubahsuai yang besar. Ia masih menggunakan manifold kemasukan, ekzos, sistem suntikan bahan api dan lain-lain yang sama seperti model produksi. Tetapi dua pilihan kotak gear didaftarkan iaitu manual lima-kelajuan dan juga manual enam-kelajuan.

Dokumen tersebut kemudiannya dikemaskini pada 1 Mac 1997, di mana model produksi Satria disegarkan kembali dengan perubahan ketara pada bahagian belakang, menampilkan lampu lebih pendek serta perumah nombor pendaftaran dipindah dari bampar ke pintu tailgate.

Ketika ini, kebanyakkan Satria tersebut masih hanya digunakan dalam spesifikasi Group N dalam rali-rali domestik di Malaysia. Manakala untuk spesifikasi Group A, kereta tersebut telah membuat penampilannya pada salah satu pusingan WRC paling lasak, iaitu Safari Rally di Kenya pada tahun 1997 – ya, lima tahun sebelum Karamjit Singh bersama Proton PERT Evo VI menang kategori produksi Group N pada rali yang sama!

Satria 1.6 Group A tersebut berlumba di bawah pasukan Silverstone Proton USPD, dan dibangunkan oleh Brian Palmer, yang sebelum itu bersama EON Motorsport terlibat dalam menghasilkan kereta-kereta rali Proton PERT yang lulus homologasi FIA. Dalam rali Safari tersebut, dua buah Satria telah dibawa untuk bertanding; sebuah dengan spesifikasi Group A dan sebuah lagi adalah jentera Group N. Kereta Group A dengan nombor 41 di pandu oleh pelumba Australia, Rusell Palmer bersama juru arahnya Brian Harwood, manakala kereta Group N dengan nombor 52 dipandu pelumba Kenya Syan Satwinder.

Dari 61 kereta yang bermula, hanya 19 kereta yang berjaya menamatkan rali padang pasir yang begitu lasak tersebut. Secara keseluruhan, Rusell Palmer menamatkan rali yang dimenangi oleh Colin McRae berkenaan di tempat ke-11, dan yang paling manis mereka berjaya menjadi juara untuk kategori Formula 2WD/A6! Manakala Satwinder pula tidak berjaya menamatkan perlumbaan.

Pada tahun 2000, dokumentasi homologasi Satria 1.6 GLi (atau dikenali sebagai Proton Persona Compact di United Kingdom) ini sekali lagi dikemaskini menerusi versi Satria Group A yang paling berkuasa pernah dihasilkan. Kereta tersebut dibangunkan oleh Proton Motorsport UK, yang diselia oleh Harry Hockly Motorsport.

Kali ini, enjin 1.6 liter berkenaan diberi rombakan yang cukup menyeluruh. Isi perut enjin tersebut termasuk aci engkol, rod penghubung pada omboh, dan roda tenaga telah ditukar kepada komponen yang dihasilkan memang untuk perlumbaan.

Kemudian ia turut menerima manifold ekzos 4-1 yang cukup agresif, bersama sistem suntikan bahan api jenis stand alone dengan individual throttle body, menampilkan empat injap pendikit yang mengawal setiap satu silinder, lengkap dengan empat ‘trumpet’ velocity stack.

Hasilnya, enjin 4G92 berkenaan mampu menghasilkan sekitar 210 hp dan boleh menjerit sehingga 9,000 rpm! Selain dari untuk mempromosikan Proton dan berlumba dalam Kejohanan Rali British (BRC) dalam kategori Super 1600 (S1600), kereta ini juga turut dijual kepada pasukan-pasukan rali persendirian. Malah selepas itu Harry Hockley Motorsport turut menghasilkan Satria Group A ini dalam spesifikasi Super 1400 (S1400) dengan enjin berkuasa 185 hp.

Proton Satria 1.6 Group A – pernah menjuarai WRC Rali Safari 1997, British Rally Championship 2000!

Harry Hockley Motorsport juga turut menghasilkan kit badan baharu untuk Satria ini yang terdiri dari bampar hadapan dan belakang, serta overfender untuk kesemua ruang roda. Sekali tengok, kit badan untuk kereta rali berkenaan nampak seperti direka dengan inspirasi dari Satria GTi.

Menerusi pemandu Sweden, Mats Andersson, Proton Satria Group A ini menampilkan prestasi yang memberangsangkan. Andersson menampilkan keputusan terbaik dalam BRC ketika musim tahun 2000 – walaupun dengan kereta dengan spesifikasi S1600, dia memberikan saingan secara konsisten kepada pemandu-pemandu dalam kategori utama yang memandu jentera Group N 2.0L Turbo 4WD, dan juga Kit Car dengan enjin 2.0L NA yang jauh lebih berkuasa.

Mats Andersson berjaya meletakkan dirinya di tangga keenam secara keseluruhan dalam BRC tahun 2000, serta juara dalam kategori S1600. Malah dengan pungutan mata kesemua pemandu yang memandu Satria dalam BRC musim tersebut membolehkan Proton berada di tempat kedua keseluruhan dalam kategori pengeluar, satu mata lebih dari pasukan Peugeot.

Pada tahun yang sama, Mats Andersson turut menyertai Rally Malaysia, iaitu salah satu pusingan Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) musim 2000. Rali berkenaan adalah rali pertama Andersson di luar Eropah, dan dia berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kelima secara keseluruhan, serta menjadi juara untuk ketegori 2WD.


GALERI: Dokumentasi homologasi FIA untuk Proton Satria 1.6 GLi

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required