Honda HR-V 2022 rasmi dilancarkan di Jepun – bermula RM87k, pilihan enjin 1.5L NA dan hibrid e:HEV

Honda HR-V 2022 rasmi dilancarkan di Jepun – bermula RM87k, pilihan enjin 1.5L NA dan hibrid e:HEV

Selepas pendedahan sulungnya untuk peringkat global Februari lalu, Honda HR-V generasi ketiga kini sudah pun dilancarkan secara rasmi di Jepun. SUV segmen-B ini masih dikenali sebagai Honda Vezel di pasaran berkenaan, dan ia ditawarkan dalam versi janaan petrol sepenuhnya dan juga hibrid petrol-elektrik e:HEV dengan dua motor.

Bagi model petrol penuh, ia hanya dijana oleh enjin L15Z 1.5 liter i-VTEC tanpa turbo, kini dengan sistem dua aci sesondol (DOHC). Walau bagaimanapun enjin tersebut tidak lagi diberikan sistem suntikan bahan api terus, dan menghasilkan kuasa lebih kecil dari versi sebelumnya iaitu 118 PS (-14 PS) pada 6,600 rpm dan tork maksima 142 Nm (-13 Nm) pada takat 4,300 rpm.

Enjin berkenaan dipadankan dengan kotak gear CVT automatik, dan ia ditala dengan nisbah yang lebih pendek dari nisbah yang diberikan pada kotak gear Honda Jazz (atau Fit di sana) bagi disesuaikan dengan badannya yang lebih berat.

Manakala untuk varian hibrid e:HEV, ia masih menggunakan sistem i-MMD sports Hybrid yang sama dengan Jazz dan City, tetapi ditala bagi menghasilkan kuasa lebih besar, namun tork masih kekal sama dengan jumlah keseluruhan 253 Nm.

Honda HR-V 2022 rasmi dilancarkan di Jepun – bermula RM87k, pilihan enjin 1.5L NA dan hibrid e:HEV

Enjin petrol yang digandingkan dengan dua motor elektrik pada sistem ini adalah unit 1.5 liter kitaran Atkinson yang menjana 106 PS – 8 PS lebih berkuasa dari sebelumnya – dengan tork maksima kekal 127 Nm.

Motor elektrik untuk sistem e:HEV ini menerima kuasa dari bateri lithium-ion Intelligent Power Unit (IPU) yang lebih besar dari sebelumnya, menampilkan 60 sel berbanding 48 sebelum ini. Ia boleh dibuat kerana Power Control Unit (PCU) bagi sistem berkenaan kini sudah dialih ke ruang enjin hadapan.

Menurut Honda, bagi model petrol sepenuhnya, ia mampu untuk mencatatkan penggunaan bahan api serendah 17 km untuk setiap satu liter petrol, manakala versi e:HEV mencapai bacaan 25 km/l. Kedua-dua varian ini rangkaian kuasa ini memacu roda hadapan secara standard, serta diberikan opsyen sistem pacuan semua roda.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, HR-V masih dihasilkan dari platform yang sama dengan hatchback Honda Jazz. Bagi model generasi terkini ini, ia sebenarnya lebih pendek (1,330 mm) tetapi 20 mm lebih lebar (1,790 mm) serta lebih rendah (1,590 mm).

Ia menerapkan rekaan lebih ringkas dari model generasi kedua, dan dengan bumbung lebih rendah, cermin belakang lebih besar, serta pembuka pintu belakang yang masih disorokkan pada cermin tingkap, membuatkan ia lebih kelihatan seperti sebuah coupe.

Aerodinamik bagi model generasi ketiga ini juga lebih baik dari sebelumnya, dihasilkan di fasiliti R&D mereka di Sakura, iaitu fasiliti sama yang membangunkan enjin Formula 1 digunakan oleh pasukan Red Bull Racing dan Scuderia Alpha Tauri. Ia diberikan tirai udara pada bampar hadapan, skirt sisi yang menghadap keluar, serta spoiler dan lampu belakang rekaan baharu bagi memberikan keberkesanan aerodinamik lebih bagus.

Dalam kabin, HR-V generasi ketiga ini tampil dengan papan pemuka baharu yang direka lebih melintang dan ringkas, menampilkan skrin sesentuh infotainmen berdiri sendiri di tengah bersama corong pendingin hawa merentangi dari kiri ke kanan.

Bumbung HR-V ini juga menerima bumbung panaromik yang lebih besar – ia tidak boleh dibuka tetapi menerima cermin istimewa Low-E bagi mengurangkan jumlah cahaya infra merah dan ultraviolet melaluinya. Perincian unik lain yang turut dipadankan termasuk pelindung matahari hadapan boleh gelangsar, lampu peta kawalan sentuhan dan juga pintu tailgate belakang berkuasa tanpa sentuhan.

Walaupun dengan dimensi lebih pendek, HR-V masih dikekalkan dengan ukuran jarak roda sejauh 2,610 mm. Malah dengan falsafah rekaan “Man-Maximum, Machine-Minimum”, ruang kaki untuk penumpang belakang dapat diluaskan lagi dengan tambahan 35 mm, serta tempat duduk belakang dapat diserengkan 2 darjah lebih ke belakang untuk meningkatkan keselesaannya.

Di Jepun, Vezel menerima sistem Honda Connect yang terdiri dari sistem infotaimen bersama skrin sesentuh sembilan-inci dan pelbagai servis terhubung Honda Total Care Premium. Ia termasuk sistem hotspot WiFi dalam kereta (pertama kali untuk Honda), pusat aplikasi, kemaskini peta automatik, kunci digital menggunakan telefon pintar, dan juga hubungan kenderaan-kepada-infrastruktur (V2I) yang akan memberikan maklumat seperti adakah anda akan sempat untuk melepasi lampu hijau di hadapan.

Model e:HEV juga ditawarkan dengan paparan instrumen digital bersaiz tujuh-inci dan juga sistem bunyi dengan sepuluh pembesar suara.

Vezel JDM ini juga menerima sistem bantuan pemanduan keselamatan Honda Sensing secara standard. Ia termasuk brek kecemasan automatik (kini dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal serta pengelak dengan bantuan stereng), cruise control adaptif dengan fungsi stop & go, bantuan kekal lorong, pemantau titik buta, lampu tinggi automatik, amaran pergerakan kehadapan, dan juga kawalan salah pedal yang turut berfungsi ketika mengundur. Honda turut memberikan sistem kawalan menurun bukit pada Vezel ini, buat pertama kali untuk model pasaran domestik.

Honda HR-V 2022 rasmi dilancarkan di Jepun – bermula RM87k, pilihan enjin 1.5L NA dan hibrid e:HEV

Casis untuk HR-V baharu ini juga telah dipertingkat bagi memberikan pemanduan dan pengendalian lebih baik. Badannya direka lebih kuat dan lebih ringan. Kemudian suspensi ditala bersama pemadanan bushing bagi memberikan lebih keselesaan dengan menyisihkan pergerakan yang tidak diingini, serta komponen suspensi dihasilkan dengan kurang geseran bersama kolum stereng lebih keras untuk memberikan belokan lebih dinamik.

Cagak enjin HR-V ini juga menerima rekaan struktur baharu dan dihasilkan bagi mengurangkan bunyi pada frekuensi tertentu, serta secara tidak langsung mengurangkan bunyi enjin yang turut naik, dakwa Honda.

Honda HR-V pasaran Jepun ini dijual pada harga bermula 2,279,200 yen (RM86,600) untuk varian asas petrol G, meningkat kepada 2,658,700 yen (RM101,000) untuk model asas e:HEV X Hybrid. Model pertengahan e:HEV Z pula dijual pada harga 2,898,500 yen (RM110,100), manakala model tertinggi e:HEV Play boleh dimilik dengan harga 3,298,900 yen (RM125,300).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Chow Bing Yee on Apr 25, 2021 at 10:24 am

    Hope it come to Msia with 1.5T engine. Same as Civic

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
  • Shahrul on Oct 26, 2021 at 4:18 pm

    Berharap sangat akan masuk malaysia..saya dengan wife tak sabar tunggu masuk malaysia terus nak apply loan..

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required