Honda Eropah telah menyiarkan imej dan perincian baharu mengenai HR-V generasi ketiga yang bakal mula dijual di benua berkenaan pada hujung tahun ini. Crossover segmen-B ini ditampilkan dengan rupa yang lebih dinamik tanpa berkompromi tentang ruang dalamannya.
Pengeluar kereta Jepan itu akan terus menggunakan frasa “Man-Maximum, Machine-Minimum” dalam membangunkan modelnya namun dengan peningkatan dari semasa ke semasa.
Untuk luarannya, Honda telah menyerapkan rekaan ala coupe untuk menambahkan pemandangan menerusi cermin belakang. Malahan imej yang dipertaruhkan lebih minimalis, berbanding fender yang menonjol dan garis bahu yang melunjur ke atas hingga ke hadapan dan belakang HR-V sebelum ini.
Krom pada bahagian palang hadapan juga telah disingkirkan, digantikan dengan gril yang sama warna dengan badan, bersambung ke hujung hadapan bersama lampu utama trapezoidal yang lebih nipis.
Perekanya juga telah mengurangkan dan mengimbangi semula segala garisan pada keseluruhan kereta, sementara pemegang pintu juga diberikan sentuhan baharu. Namun pemegang pintu belakang yang tersembunyi masih dikekalkan. Pada bahagian belakang, tailgate lebar-penuh baharu bersambung dengan lencana Honda ditampilkan.
Honda berkata, ia memfokuskan keluasan dan keselesaan pada ruang dalaman, termasuk menambah baik pandangan dengan menggunakan cermin tingkap yang lebih besar, rekaan papan pemuka melintang dan bonet yang rata. Corong udara sudut berbentuk-L yang menarik (dengan tombol tengah yang besar) turut memberikan kesan terhadap pengaliran udara, terus ke cermin hadapan dan tingkap sisi ke bahagian bumbung.
Posisi kawalan juga telah dioptima, dengan suis pendingin hawa dan infotainmen telah ditempatkan berdekatan dengan pandangan pemandu. Pada bahagian belakang, tempat duduknya boleh dibaringkan untuk menambah keselesaan dan ruang, dimensinya lebih kurang sama seperti sebelum ini, namun HR-V baharu telah ditambah ruang kaki dan ruang bahu. Ruang kargo juga boleh dikonfigurasi untuk menambah kapasiti penyimpanan barangan termasuk basikal dan sebagainya.
Buat masa ini tiada perincian teknikal dikongsikan, namun telah disahkan hanya Eropah yang bakal menerima model e:HEV hibrid. Ia mampu memberikan 109 PS/253 Nm menerusi motor elektrik dan juga enjin 1.5 liter kitaran Atkinson dengan 98 PS/127 Nm yang memberikan kuasa keseluruhan mencecah 126 PS.
Dijangkakan HR-V ini akan sedikit berat, seperti model Insight yang lebih besar yang menerima motor elektrik 131 PS/267 Nm dan enjin 108 PS/134 Nm dengan kuasa keseluruhan cecah 151 PS. HR-V baharu ini juga akan dijual di pasaran Jepun mulai bulan hadapan (di sana, ia lebih dikenali sebagai Vezel), jadi kita bakal mengetahui lebih banyak informasi mengenainya.
- Honda HR-V e:HEV 2021
Agak2 bila msk malaysia?