Susulan pengumuman oleh Kerajaan mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri mulai 6 Mei dan 7 Mei 2021 lalu, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengumumkan akan terus komited untuk menyediakan perkhidmatan dan kemudahan yang selamat, bersih, senang dan selesa kepada semua pelanggan di kawasan rehat dan rawat (R&R) di sepanjang lebuh rayanya.
Sebanyak 600 premis perniagaan oleh pengusaha tempatan di R&R PLUS akan terus beroperasi (tertakluk kepada arahan Pihak Berkuasa Tempatan) agar pelanggan yang perlu melakukan perjalanan dalam tempoh ini dapat terus menikmati makanan dan minuman yang disediakan.
“Untuk keselesaan pelanggan, kini PLUS menawarkan khidmat beli dan bawa pulang makanan tanpa sentuh (contactless) dengan lebih mudah. Pelanggan hanya perlu membuat Pra-Pesanan melalui Aplikasi PLUS untuk menikmati pelbagai juadah makanan yang lazat daripada rakan niaga dan pengendali gerai di 21 R&R terpilih. Pra-Pesanan ini boleh dibuat melalui Aplikasi PLUS atau melalui pautan https://orderdisini.plus.com.my/.
“Pelanggan lebuh raya yang mencari masakan panas atau minuman disaran untuk menggunakan khidmat Pra-Pesanan yang sangat mudah dan selamat digunakan. Ini kerana pesanan makanan boleh dilakukan dengan lebih awal, sekaligus menjimatkan masa ketika menunggu makanan disediakan,” ujar PLUS menerusi kenyataannya.
Semua premis di R&R dan hentian sebelah yang terletak di negeri-negeri yang melaksanakan PKP dan PKPB beroperasi mulai jam 6 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari. Bagi R&R dan hentian sebelah di negeri-negeri yang melaksanakan PKP, hanya pembelian makanan dan minuman secara bungkusan sahaja dibenarkan.
Sementara itu, bagi R&R dan hentian sebelah di negeri-negeri di bawah PKPB, pelanggan dibenarkan untuk menikmati makanan di ruang makan di medan selera dengan mengikuti SOP yang ditetapkan dan mengamalkan penjarakan fizikal.
“Sehubungan itu, kami menasihatkan agar semua pelanggan sentiasa mematuhi standard SOP yang ditetapkan dengan memakai pelitup muka, mendaftar menggunakan Aplikasi MySejahtera, menjalani pemeriksaan suhu badan di tempat yang disediakan serta mengamalkan penjarakan fizikal apabila beratur untuk pembelian makanan atau menggunakan kemudahan awam ketika berada di lebuh raya dalam tempoh tersebut.
“PLUS sangat mementingkan keselamatan dan memahami keperluan pelanggan lebuh raya. Kami akan terus komited untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik serta akan terus menyokong rakan niaga dan pengusaha tempatan untuk mereka meneruskan kelangsungan perniagaan dalam keadaan norma baru,” sambung PLUS lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.