Pengeluar kereta dari Perancis, Renault mengumumkan bahawa mereka tidak lagi akan menghasilkan model-model prestasi dengan lencana RS (Renault Sport), di mana kesemua model prestasi mereka selepas ini akan dibuat di bawah jenama Alpine.
Menurut laporan Carscoops, ini adalah salah satu langkah yang diambil berdasarkan rancangan strategi baharu Renault Group yang telah pun diumumkan pada Januari lalu.
“Sebagai sebahagian dari penstrukturan semula Renault Group mengikut jenama, adalah perlu untuk berberapa entiti yang membentuk Unit Perniagaan menggunakan nama Alpine serta menjelmakan nilai dan cita-cita jenama tersebut,” kata CEO Alpine, Laurent Rossi.
“Alpine mensasarkan untuk menjadi jenama kereta sport premium dengan mengutamakan inovasi dan teknologi. Alpine Cars dengan kepakaran dan pengalamannya dalam kenderaan sport merupakan aspek paling penting untuk mencapai sasaran kami,” tambahnya lagi.
Alpine ditubuhkan pada 1955 oleh seorang juruterbang dan ahli perniagaan Perancis, Jean Rédélé. Bermula dengan menala semula Renault 4CV untuk berlumba, Rédélé kemudiannya menghasilkan kereta sport sendiri dengan jenama berkenaan tetapi masih menggunakan sistem mekanikal dan enjin dari Renault.
Namun, atas pelbagai krisis yang dihadapi, Alpine diambil alih sepenuhnya oleh Renault pada tahun 1973, kemudian syarikat berkenaan membawa nama Alpine dan A110 menyertai Kejohanan Rali Dunia (WRC) musim pertama pada tahun tersebut.
Jenama ini sekali menghadapi kesukaran dan ditutup dengan Alpine terakhir yang diproduksi adalah model A610 pada tahun 1995, serta berjaya menjual lebih dari 30,000 unit kereta sport sepanjang operasinya. Pada 2007, Renault membuat pengumuman untuk menghidupkan semula jenama Alpine, tetapi terpaksa dibekukan pada tahun 2009 kerana krisis yang dihadapi Renault sendiri.
Harapan untuk menghidupkan semula Alpine sekali lagi muncul pada 2012 apabila pembuat kereta sport British iaitu Caterham (ketika itu dimiliki oleh usahawan Malaysia, Tony Fernandes) telah membeli 50% kepentingan Alpine dari Renault dan projek baharu akan melibatkan kerjasama kedua-dua jenama berkenaan.
Walau bagaimanapun, Renault membeli semula keseluruhan kepentingan tersebut dari Caterham pada 2014, dan menjadi pemilik tunggal Alpine sehingga sekarang. Pada 2016, Renault mula membayangkan mereka akan menghasilkan model kelahiran semula Alpine A110 dengan mendedahkan model konsep yang digelar Alpine Vision – hasilnya, model produksi sebenar Alpine A110 muncul pada 2017.
Dengan langkah yang diambil oleh Renault ini, bermakna mereka tidak lagi akan menghasilkan hot-hatch dengan lencana RS, dan model Megane RS dan Clio RS sedia ada adalah yang terakhir. Namun individu-individu disebalik tabir model-model Renault Sport berkenaan akan terlibat dengan pembangunan model-model prestasi Alpine selepas ini.
Tetapi Alpine tidak akan menghasilkan model prestasi berkuasa petrol kerana ia telah dirancang untuk menjadi jenama prestasi berkuasa elektrik sepenuhnya, seperti apa yang telah dilakukan oleh Volvo dan Geely terhadap Polestar.
Alpine juga telah mengumumkan bahawa mereka bakal berkolobrasi dengan Lotus untuk menghasilkan kereta sport baharu, dan merancang untuk memperkenalkan hot-hatch elektrik sebagai model jelmaan semula pocket-rocket ikonik Renault 5, dimana model konsepnya telah didedahkan sebelum ini. Alpine juga merancang untuk menghasilkan model crossover.
Bermula tahun ini juga, Renault sudah tidak lagi menggunakan namanya dalam pasukan lumba Formula 1, dan ia digantikan dengan nama pasukan Alpine F1.
“Dengan menjadi Alpine Cars, pasukan kini memulakan projek baharu yang dinamik, kaya dengan sokongan dari pasukan Alpine Racing dan perniagaan-perniagaan Renault Group. Ini merupakan masa yang sangat mengujakan untuk jurutera-jurutera kami,” kata pengarah prestasi dan kejuruteraan produk Alpine, Robert Bonetto.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.