Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) telah menggantung pelumba Hyundai Motorsport, Ole Christian Veiby selama enam bulan dari Kejohanan Rali Dunia (WRC) dalam kategori WRC2 kerana didapati melanggar protokol Covid-19 pada pusingan keempat WRC 2021 iaitu di Rally Portugal hujung minggu lalu. Turut digantung selama tiga-bulan adalah juruarah Veiby iaitu Jonas Andersson.
FIA mendakwa bahawa Veiby tidak mengisytiharkan dia adalah kontak rapat kepada pesakit Covid-19 sebelum tiba di Portugal kemudian dia sendiri disahkan positif Covid-19 dalam ujian yang dibuat Khamis lalu, seterusnya menyebabkan dia terpaksa menarik diri dari memulakan rali berkenaan.
Manakala untuk Jonas Andersson pula didakwa kerana telah melanggar arahan kuarantin yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan selepas dia dan Veiby memandu antara Portugal dan Sepanyol untuk menyertai Targa Florio Rally pada 7 hingga 8 Mei lalu.
“Kejohanan Rali Dunia dan FIA menggunakan undang-undaing FIA ISC [International Sporting Code] Apendiks S dan prosedur bagi mengurangkan pendedahan terhadap pandemik secara sangat serius.
“En. Veiby tidak menyatakan dia mempunyai kontak raapt dengan kes positif sebelum acara di Portugal dan dia juga tidak mendapat atau memohon keizinan untuk meninggalkan Portugal untuk kembali ke Sepanyol ketika dia sepatutnya dikenakan kuarantin selama 10 hari di Portugal,” tulis laporan dari FIA terhadap kes ini dan menegaskan ini merupakan pelanggaran undang-undang yang serius.
Dengan hukuman ini Veiby tidak dibenarkan untuk menyertai mana-mana pusingan WRC selama enam bulan, efektif bermula 23 Mei sehingga 23 November. Ini bermakna peluang Veiby untuk merebut gelaran juara WRC2 untuk musim ini telah pun tertutup kerana dia hanya boleh untuk kembali berlumba pada pusingan terakhir di Rally Japan pada 11-14 November nanti.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.