Hyundai telah disahkan akan mengurangkan pengeluarkan kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman mereka, dalam masa yang sama meningkatkan pelaburan bagi membangunkan kenderaan elektrik sepenuhnya (EV). Perkara ini diberitahu oleh dua orang yang rapat dengan jenama berkenaan kepada Reuters, di mana lembaga syarikat telah bersetuju untuk mengurangkan model yang dijana oleh bahan api fosil sebanyak 50%.

“Ia merupakan langkah peniagaan yang penting, yang mana akan mengutamakan pengeluaran untuk sumber terhadap R&D bagi menumpukan kepada perkara berikut: motor elektrik, bateri, sel bahan api,” kata sumber berkenaan tanpa memberikan garis masa.

Hyundai kemudiannya menyatakan dalam email bahawa mereka kini sedang memperkasakan adaptasi terhadap teknologi permotoran yang lebih mesra alam seperti kenderaan sel bahan api hidrogen dan kenderaan elektrik bateri.

Namun rancangan halatuju elektrifikasi Hyundai masih tidak agresif seperti pesaing-pesaingnya lain yang rata-rata menyasarkan untuk menjadi jenama elektrik sepenuhnya menjelang 2030. Sumber tersebut memberitahu bahawa Hyundai mensasarkan tahun 2040 bagi peralihan penuh kepada teknologi elektrik, namun akan mula mengembangkan model-model sifar pencemaran pada pasaran penting seperti Amerika Syarikat, Eropah dan China.

Manakala rancangan jangkamasa pendek Hyundai adalah untuk menjual sebanyak sejuta kenderaan elektrik secara global menjelang 2025, atau 10% dari bahagian pasaran EV global. April lalu Hyundai menyatakan bahawa mereka akan mengurangkan satu pertiga model petrol mereka di China pada 2025, dari 21 model sekarang, kepada hanya 14 model sahaja kelak. Pada masa yang sama mereka akan melancarkan model elektrik baharu setiap tahun di negara berkenaan bermula 2022.

“Hyundai telah menghentikan pembangunan rangkaian kuasa baharu untuk kereta dengan enjin pembakaran dalaman,” kata salah satu sumber berkenaan, dan menambah bahawa syarikat tersebut akan memuktamadkan strategi elektrifikasi dalam masa enam bulan akan datang.

Sementara itu, Hyundai Nexo baru sahaja mencatatkan rekod dunia bagi perjalanan dalam jarak paling jauh bagi kenderaan berkuasa hidrogen siri produksi. Rekod tersebut dibuat oleh pemandu rali Australia, Brendan Reeves yang memandu Nexo tersebut dari Essendon Fields di Melbourne sehingga ke Broken Hill, meliputi jarak sejauh 887.5 km selama lebih 13 jam, dengan kelajuan purata 66.9 km/j.