Selepas Hyundai, kini Toyota pula menyiarkan video jentera WRC untuk musim hadapan yang mula menggunakan undang-undang WRCar sedia ada bagi kategori tertinggi. Dan seperti yang ditunggu-tunggu, jentera Rally1 berkenaan dihasilkan berasaskan hot-hatch terbaharu mereka, iaitu Toyota GR Yaris.

Undang-undang baharu ini menyaksikan perubahan besar dalam spesifikasi teknikal bagi jentera-jentera rali generasi baharu yang akan mula digunakan pada musim 2022. Selain dari struktur tubular baharu bagi meningkatkan keselamatan, jentera-jentera Rally1 juga perlu menggunakan unit rangkaian kuasa hybrid petrol-elektrik.

Walaupun masih dibalut pelekat penyamaran dengan tema warna merah-putih Gazoo Racing, GR Yaris Rally1 ini jelas diberikan kit aero yang jauh lebih agresif berbanding model standard jalan raya dengan fender hadapan dan belakang yang lebih lebar, serta sayap belakang yang jauh lebih besar.

Juga dapat dilihat, ia diberikan skup udara pada kedua-dua sisi belakang badan yang cukup besar. Ini berkemungkinan bagi menyalurkan udara bagi menyejukkan sistem hibrid dan juga motor elektrik yang berada pada gandar belakang GR Yaris Rally1 tersebut.

“Kami telah memulakan program ujian kami di Finland. Kami buat ujian shakedown dan pemeriksaan sistem di sana. Undang-undang Rally1 untuk 2022 menampilkan berberapa perubahan besar berbanding apa yang kita lihat pada berberapa tahun kebelakangan ini. Yang pasti apa yang paling penting adalah pengenalan sistem hibrid,” kata pengarah teknikal Toyota Gazoo Racing World Rally Team (TGR WRT), Tom Fowler.

“Jadi bersama enjin pembakaran dalaman kami juga mempunyai sistem hibrid bagi memberikan tujahan tork tambahan. Dan kedua kami mempunyai rekaan casis baharu sepenuhnya yang memperkenalkan undang-undang FIA yang maju kehadapan dari segi keselamatan terhadap kereta WRC dan kesemua perincian ini telah pun bersepadu dalam jentera Rally1 kami.

“Ini merupakan projek yang mengujakan kerana sangat banyak perkara telah berubah. Kami perlu kembali ke papan lukisan untuk hampir semua keseluruhan bahagian kereta, untuk semua sistem dan ini adalah keseronokan sebenar untuk bekerja dengan pasukan jurutera, pereka dan juruteknik kami yang cemerlang bagi menyiapkan kereta ini,” tambahnya lagi.

Dalam video yang disiarkan ini, jentara GR Yaris Rally1 2022 tersebut sedang diuji dalam laluan stage rali di Portugal, di atas jalan permukaan batu kelikir Eropah bagi mendapatkan data-data dan pengalaman sebenar apa yang perlu dihadapi sebuah jentera rali dunia dalam WRC.

Menurut Fowler, data-data berkenaan akan dibawa balik ke Finland di mana jurutera-jurutera dan pereka-pereka pasukannya akan meneliti semua maklumat tersebut bagi bersedia langkah seterusnya dalam pembangunan yang akan di buat di ibu pejabat mereka berkenaan, serta kawasan-kawasan ujian lain di Eropah sehingga penghujung tahun ini, dan kemudian membuat proses homologasi serta memastikan kereta tersebut bersedia untuk pusingan pertama WRC 2022 di Monte Carlo.

Tiada sebarang perincian lebih teliti diberikan berkenaan jentera GR Yaris Rally1 berkenaan. Namun menerusi perincian undang-undang yang telah diumumkan oleh FIA, pengeluar masih disyaratkan untuk menggunakan enjin 1.6 liter turbo bersama unit restrictor 36 mm sedia ada (menghasilkan sekitar sekitar 380 hp, nisbah berat kepada kuasa 3.1 hp/kg).

Apa yang berbeza, enjin berkenaan perlu digandingkan dengan motor elektrik serta bateri dan sistem pemulihan tenaga kinetik, yang bukan sahaja akan membekalkan kuasa tambahan (mod power boost) ketika sedang berlumba dalam Special Stage (SS), malah membolehkan jentera-jentera berkenaan bergerak dalam jalan raya awam/kawasan bandar dari service park ke SS, atau dari SS ke SS dengan menggunakan kuasa elektrik 100% yang lebih senyap serta mesra alam.