Hyundai i20 N WRC Rally1 Hybrid 2022 – video dan imej teaser didedahkan, bunyi masih kekal agresif!

Hyundai i20 N WRC Rally1 Hybrid 2022 – video dan imej  <em>teaser</em> didedahkan, bunyi masih kekal agresif!

Seperti yang telah diputuskan oleh FIA pada penghujung 2019, bermula musim 2022, kategori tertinggi Kejohanan Rali Dunia (WRC) akan beralih kepada undang-undang Rally1 bagi menggantikan undang-undang WRCar sedia ada. Selain dari kebenaran menggunakan casis dengan struktur tubular, perubahan paling ketara untuk jentera Rally1 berbanding WRCar adalah penggunaan sistem hibrid elektrik.

Dan ini dia – Hyundai secara rasmi telah mendedahkan jentera mereka untuk WRC musim hadapan iaitu Hyundai i20 N WRC Rally1 2022, tetapi keseluruhan badan kereta ini masih dibalut dengan pelekat penyamaran.

Berbanding jentera sedia ada yang diasaskan dari Hyundai i20 Coupe dari versi standard, jentera WRC terkini ini diasaskan dari hot-hatch sebenar Hyundai i20 N yang telah pun dilancarkan pada tahun lalu. Namun disebabkan kesemua varian i20 generasi ketiga tampil dengan bentuk badan lima pintu, jentera Rally1 ini juga tampil dengan bentuk badan sama, berbeza dengan jentera i20 WRC sedia ada yang diasaskan dari badan tiga pintu.

Walaupun masih berselindung di sebalik pelekat penyamaran, i20 N Rally1 ini jelas diberikan kit aero yang jauh lebih agresif berbanding i20 N Rally2 (menggantikan kategori R5 sedia ada) yang telah didedahkan tahun lalu dengan fender hadapan dan belakang yang lebih lebar, serta sayap belakang yang jauh lebih besar.

Tiada sebarang perincian teknikal didedahkan oleh Hyundai Motorsport berkenaan jentera Rally1 ini, tetapi menerusi perincian undang-undang yang telah diumumkan oleh FIA, pengeluar masih disyaratkan untuk menggunakan enjin 1.6 liter turbo bersama unit restrictor 36 mm sedia ada (menghasilkan sekitar sekitar 380 hp, nisbah berat kepada kuasa 3.1 hp/kg).

Apa yang berbeza, enjin berkenaan perlu digandingkan dengan motor elektrik serta bateri dan sistem pemulihan tenaga kinetik, yang bukan sahaja akan membekalkan kuasa tambahan (mod power boost) ketika sedang berlumba dalam Special Stage (SS), malah membolehkan jentera-jentera berkenaan bergerak dalam jalan raya awam/kawasan bandar dari service park ke SS, atau dari SS ke SS dengan menggunakan kuasa elektrik 100% yang lebih senyap serta mesra alam.

Menerusi video ujian pertama jentera i20 N Rally1 yang dijalankan di selatan Perancis ini, kombinasi sistem hybrid elektrik pada jentera WRC generasi baharu tersebut tidak akan membuatkan penonton bosan – ia masih menampilkan bunyi bersiul dan dan meletup-letup ketika kereta berkenaan beraksi, sama seperti jentera WRCar sedia ada.

“Ia merupakan saat yang istimewa apabila anda membawa kereta tersebut ke jalan buat kali pertama dan seperti biasa pasti akan ada cabaran yang perlu dihadapi. Dalam kes pencabar Rally1 2022 kami ini, kami bermula dari asas dengan undang-undang baharu, konsep berbeza dan juga asas model baharu – i20 N. Sangat mendebarkan untuk mula menguji dan bermula dengan pengembaraan baharu yang mengujakan ini,” kata prinsipal pasukan Hyundai Motorsport, Andrea Adamo.

Hyundai Motorsport turut menyatakan bahawa selepas ini jentera baharu tersebut akan menjalani ujian komprehensif di atas pelbagai permukaan jalan di sekitar Eropah sebelum ia berlumba bermula pada pusingan pertama WRC 2022.

“Kami telah melihat pelbagai perkara yang menarik, ada sebahagiannya perlu diubah dan diperbaiki tetapi ini semua sebahagian dari proses kerja. Pasukan telah melakukan kerja yang luar biasa dan bekerja keras untuk menyediakan kereta bagi ujian pertama dalam masa yang singkat. Sudah tentu, kami masih berada pada peringkat permulaan dalam perjalanan yang panjang, tetapi saya rasa kami bakal mendapat saat-saat yang menarik di hadapan sebelum bermula Rali Monte-Carlo 2022,” tambah Adamo lagi.

GALERI: Model produksi jalan raya Hyundai i20 N

GALERI: Hyundai i20 N Rally2

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required