BMW i4 M50 2022 – model elektrik penuh BMW M pertama, kuasa 544 PS, 795 Nm, 510 km sekali cas

BMW i4 M50 2022 – model elektrik penuh BMW M pertama, kuasa 544 PS, 795 Nm, 510 km sekali cas

Anda sudah saksikan BMW i4 eDrive40, dan ini pula adalah kereta elektrik penuh BMW M, iaitu i4 M50. Ia boleh dianggap seperti satu versi elektrik bagi M440i (terletak di bawah M4) dan kalau BMW M betul-betul ada perancangan untuk memperkenalkan i4 paling berkuasa, ia akan dipanggil sebagai i4 M.

Buat masa sekarang, kita lihat dulu i4 M50 ini. Ia menggunakan dua motor elektrik, dengan satu di setiap gandar, dan sama seperti varian eDrive40, juga menggunakan unit kuasa pintar berasaskan teknologi eDrive generasi kelima yang menggunakan motor elektrik synchronous (bukan magnetik) yang disepadukan terus dengan kuasa elektronik lain serta transmisi lapan kelajuan.

Motor di hadapan menghasilkan 190 kW sementara yang di belakang menghasilkan 230 kW. Hasil gabungan dua motor elektrik ini, ia dapat menghasilkan 400 kW secara maksimum. Dalam mod Sport, fungsi Sport Boost boleh menaikkan lagi kuasa kepada 544 PS dan 795 Nm tork, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat (Launch Control juga disediakan). Laju maksimum dihadkan kepada 225 km/j.

BMW i4 M50 2022 – model elektrik penuh BMW M pertama, kuasa 544 PS, 795 Nm, 510 km sekali cas

Memandangkan varian M50 ini mempunyai dua motor elektrik, pengagihan beban gandar adalah lebih ideal berbanding eDrive40, iaitu 48:52. Varian eDrive40 yang menggunakan pacuan roda belakang (i4 M50 pacuan semua roda) adalah lebih berat di belakang, tetapi nisbah beratnya masih lagi baik iaitu 45:55.

Kedua-dua varian ini menggunakan pek bateri yang sama, iaitu lithium ion 83.9 kWh (dengan jaminan lapan tahun atau 160,000 km), dan dengan cas penuh, boleh memberikan jarak gerak sehingga 510 km untuk i4 M50. Bateri ini boleh dicas dengan pantas pada kadar 200 kW (DC, sambungan CCS Combo 2), dan selepas 10 minit dicas, ia boleh menyediakan jarak gerak 140 km (160 km bagi eDrive40).

Model i4 datang secara terus dengan pengecas AC bersepadu 11 kW (sambungan Type 2), dan melaluinya, bateri akan naik dari 0% ke 100% dalam masa tidak sampai 8.5 jam. Tahap penjanaan semula kuasa brek pula boleh menyediakan sehingga 195 kW. Dalam keadaan biasa, i4 M50 akan bergerak menggunakan pacuan dua roda (belakang), sekaligus membantu penjimatan kuasa dan meningkatkan jarak gerak.

BMW i4 M50 2022 – model elektrik penuh BMW M pertama, kuasa 544 PS, 795 Nm, 510 km sekali cas

Kelengkapan standard lain yang diberikan pada i4 M50 adalah penyerap adaptif M dengan spring kadar lebih tinggi, suspensi belakang boleh rata sendiri, pengehad gelinciran roda near-actuator, anti roll bar serta pendakap tapak atas suspensi buatan khas, stereng sport variable, brek sport M dan pilihan rim dari 18 inci hingga 20 inci.

Penampilan varian ini juga dipertingkat dengan grafik khas BMW M, bukaan udara tambahan untuk menyejukkan brek, gril Cerium Grey serta spoiler khas M. Lampu hadapan dan belakang LED penuh diberikan secara standard, tetapi ia boleh dinaik taraf kepada unit adaptif dengan BMW LaserLight dan fungsi BMW Selective Beam.

Pada bahagian belakang, bamparnya direka khas bersama diffuser bersepadu, dan ditambah dengan lip M, kemasan tepi tingkap hitam serta pelindung cermin sisi hitam. Pilihan warna yang disediakan termasuk dua warna solid, tujuh warna metalik dan satu warna matte. Pemilik juga boleh memilih warna khas lain dalam katalog BMW Individual.

BMW i4 M50 2022 – model elektrik penuh BMW M pertama, kuasa 544 PS, 795 Nm, 510 km sekali cas

Masuk ke bahagian dalam, i4 M50 mendapat peningkatan biasa M Sport/Performance dengan barangan seperti lapik bumbung anthracite, kemasan aluminium rhombicle, roda stereng M Performance, grafik khas M Performance pada panel meter digital, tali pinggang M serta pedal stainless steel.

Panel paparan melengkung pada papan pemuka adalah sama seperti eDrive40, iaitu unit 12.3 inci yang digabungkan dengan unit 14.9 inci. Bagi panel infotainmen yang lebih besar itu, ia menggunakan BMW Operating System 8 dan disengetkan sedikit kepada pemandu. Sebagai sebuah model BMW i, kemasan pada stereng, tombol gear serta butang pemula enjin menggunakan warna biru.

Tempat duduk sport datang secara standard, dengan pelbagai pilihan balutan termasuklah Sensatec berliang, kulit Vernasca atau kulit Merino dalam pelbagai warna. Cermin hadapan akustik juga adalah standard sementara bumbung panoramik pula disediakan sebagai pilihan tambahan. Ruang simpanan di dalam but mempunyai kapasiti 470 liter dan boleh meningkat menjadi 1,290 liter apabila tempat duduk dilipat.

BMW i4 M50 2022 – model elektrik penuh BMW M pertama, kuasa 544 PS, 795 Nm, 510 km sekali cas

Memandangkan i4 adalah sebuah kereta elektrik penuh, ia dipasang dengan sistem perlindungan pejalan kaki akustik, yang boleh mengeluarkan bunyi menggunakan pembesar suara di luar. Bunyi ini aktif apabila bergerak lebih 21 km/j di Eropah atau lebih 31 km/j di Amerika Syarikat. Bunyi khas untuk bahagian dalam juga telah dibangunkan bersama Hans Zimmer dan kerancakannya boleh bertambah apabila memasuki mod Sport.

Akhir sekali, i4 datang dengan lebih 40 sistem bantuan pemandu, menjadikan ia sebagai kereta semi autonomous Level 2. Ini termasuklah Active Cruise Control dengan fungsi Stop and Go, Speed Limit Assist, Front-Collision Warning dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal, Rear-Collision Prevention, dan Lane Departure Warning. Pakej Driving Assistant Professional menambah Steering and Lane Control Assistant, yang boleh beroperasi sehingga kelajuan 180 km/h.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required