Selepas M3 dan M4 baru diperkenalkan September tahun lalu, kini BMW memperkenalkan pula varian bumbung boleh buka bagi M4. Dipanggil sebagai M4 Competition Convertible dengan M xDrive, pengeluarannya akan bermula Julai ini di kilang BMW Dingolfing, diikuti jualan tidak lama selepas itu.

Melihat kepada prestasi, M4 Convertible baru ini mengambil masa 3.7 saat untuk melakukan pecutan 0-100 km/j, sekaligus menjadikan ia 0.2 saat lebih pantas berbanding M4 CS sebelm ini, tetapi 0.2 saat lebih perlahan berbanding model G82 dengan M xDrive. Mengambil kira laju maksimum pula model G83 baru ini boleh mencecah kelajuan 250 km/j dalam keadaan asal, tetapi apabila ditambah dengan M Driver’s Package ia boleh naik menjadi 280 km/j.

Jumlah ini didapati hasil daripada penggunaan enjin sama seperti M3 sedan dan coupe, iaitu unit enam silinder selari twin-turbo 3.0 liter S58B30T0 yang dipadankan bersama transmisi automatik M Steptronic lapan kelajuan serta sistem pacuan semua roda M xDrive untuk menghasilkan kuasa 510 PS (503 hp) dan 650 Nm tork.

Dalam kebanyakan masa, sistem pacuan semua roda model ini menghantar lebih kuasa kepada roda belakang, dan di dalam transfer case terdapat klac yang dikawal secara elektronik untuk mengawal pembahagian kuasa ini. Active M Differential pula mengawal pembahagian tork untuk mengimbangi semula sekiranya ada roda yang kehilangan cengkaman. Pemandu juga boleh mengaktifkan mod 2WD dan sistem DSC akan dimatikan secara terus.

Lebih mudah, butang M Mode dapat digunakan untuk menukar pelbagai mod yang disediakan, dan pemandu boleh melaras sendiri program untuk butang M pada roda stereng. Kemampuan melaras ini bukan setakat untuk maklum balas enjin dan transmisi, tetapi juga stereng, suspensi adaptif, DSC dan rasa pedal brek. Jika mahukan lebih lagi, anda boleh mendapatkan pakej M Drive Professional yang memberikan mod Track, M Drift Analyser, M Laptimer dan M Traction Control.

Tidak seperti model sebelumnya, G83 ini menggunakan bumbung jenis fabrik, bukannya jenis keras, dan ia adalah 40% lebih ringan. Bumbung ini ditawarkan dalam warna hitam atau perak, dan dikatakan dapat memberi keselesaan akustik dan termal yang lebih baik berbanding rekaan bumbung kain biasa yang lain dan tidak mengambil banyak ruang.

BMW memberitahu, terdapat ruang simpanan 300 liter di belakang apabila bumbung diturunkan, dan ini adalah 80 liter lebih besar berbanding model F83 sebelum ini. Apabila bumbung dinaikkan pula, ia menjadi 385 liter. Masa yang diambil untuk membuka dan menutup bumbung ini adalah 18 saat, dan ia boleh dilakukan pada kelajuan sehingga 50 km/j.

Selain daripada bumbung, b-pillar dan bahagian penutup but yang direka semula, bahagian lain model ini sama sahaja seperti M4 Coupe. Ini termasuklah rekaan gril berwarna hitam, lampu, sirip tepi, lampu belakang, diffuser serta muncung ekzos yang berwarna krom gelap.

M4 Convertible ditawarkan dalam lapan warna, termasuklah Sao Paulo Yellow, Toronto Red dan Isle of Man Green, sementara pilihan lain tersedia melalui program BMW Individual. Selain daripada itu, pelanggan juga boleh memilih penutup cermin sisi yang sama warna dengan badan serta muncung ekzos krom, sementara pakej M Carbon luar pula memberikan kemasan gentian karbon pada bukaan udara hadapan, pelindung cermin sisi dan diffuser belakang.

Lengkuk roda yang lebih menonjol pada M4 Convertible ini menempatkan rim M 19 inci di hadapan dan 20 inci di belakang, seterusnya menjadikan ia 17 mm lebih lebar (1,887 mm) berbanding model sebelum ini, sementara lebar pula lebih 40 mm berbanding 4 Series Convertible. Dibandingkan pula dengan F83, G83 ini mencatat ukuran panjang 4,794 mm (+122 mm), tinggi 1,395 mm (+8 mm) dan jarak roda 2,857 mm (+45 mm).

Bahagian dalam masih mempunyai empat tempat duduk, seperti G82 sekarang, sementara bahagian kabin pula lebih menyamai model coupe. Barangan standard yang diberi termasuk sistem Live Cockpit Professional khas M dan tempat duduk M Sport dengan logo M4 menyala dan balutan kulit Merino.

Bermacam lagi kelengkapan tambahan ditawarkan oleh BMW untuk menambah seri di bahagian dalam, termasuklah kemasan gentian karbon, tempat duduk bucket M Carbon, Open Air Package, pemanas tengkuk, liang udara pada tempat duduk, kawalan suhu tiga zon, sistem bunyi Harman Kardon 16 pembesar suara, Comfort Access, head-up display dan lampu suasana.

Ada di antara barangan ini, seperti tempat duduk dan kemasan gentian karbon diberikan sekali dalam pakej M Race Track, yang turut menyediakan brek seramik M Carbon dan rim M (25 kg lebih ringan) yang boleh dipilih bersama tayar semi slick.

Sebagai sebahagian daripada pilihan tambahan Driving Assistant Professional, BMW turut menawarkan Steering and Lane Control Assistant, bersama Active Navigation dan Emergency Lane Assistant. Reversing Assistant pula termasuk dalam pakej Parking Assistant.