Sekiranya anda mahukan sebuah M4 yang lebih berkuasa daripada model standard yang dipasang dengan Competition Package, tetapi tidak terlalu ganas seperti M4 GTS, BMW menyediakan pilihan yang bersesuaian melalui model M4 CS, yang dipertontonkan pertama kali di Incheon, Korea.

Model edisi istimewa ini dikuasakan oleh enjin sama seperti M4 biasa, iaitu unit enam silinder 3.0 liter twin turbo, tetapi mempunyai kuasa sebanyak 460 hp pada 6,250 rpm dan 600 Nm pada 4,000 hingga 5,380 rpm. Jumlah ini menandakan peningkatan sebanyak 10 hp/ 50 Nm berbanding M4 biasa dengan Competition Package, dan kurang 40 hp berbanding M4 GTS (500 hp/ 600 Nm).

Kuasa ini disampaikan kepada tayar belakang melalui kotak gear M Double Clutch Transmission (M DCT) tujuh kelajuan dengan sistem Drivelogic, dan mempunyai penyejuk minyak sendiri. Menurut BMW, M4 CS ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa hanya 3.9 saat dan boleh mencecah kelajuan maksimum yang dihadkan pada 280 km/j.

Komponen pengendalian pada M4 CS adalah sama seperti M4 CP, termasuk suspensi Adaptive M, sistem DSC (Dynamic Stability Control) bersama mod Dynamic M, Active M Differential dan brek fade resistant (angkup empat piston di hadapan dan dua piston di belakang).

Supaya mudah dikenali, model ini juga mendapat ciri rekaan tersendiri yang termasuk gril kidney berwarna hitam. Splitter gentian karbon baru pada bahagian hadapan menaikkan lagi rupa sporty M4 CS, bersama bonet yang diperbuat daripada gentian karbon plastik diperkuat (CFRP).

Pada bahagian belakang, lebih banyak bahan gentian karbon digunakan termasuk pada spoiler yang terletak di atas but. Lampu hadapan kenderaan ini juga menggunakan teknologi OLED (organic light emitting diode), dan ia menghasilkan kesan 3D yang cukup menarik. Pada bahagian bawah bampar terdapat diffuser sama seperti M4 GTS dan empat muncung ekzos stainless steel.

Untuk rim, BMW telah menghasilkan rekaan unik rim aloi ringan 10 cabang – 19 inci di hadapan, dan 20 inci di belakang, dan ia disudahi dengan warna Orbit Grey dan padanan tayar Michelin Pilot Sport 2 berukuran 265/35 di hadapan dan 285/30 di belakang. Turut disediakan adalah pakej BMW Individual High-gloss Shadow Line yang memberikan kemasan warna hitam berkilat pada tepi tingkap, gril dan sirip tepinya.

Terdapat dua warna luar baru yang disediakan khas untuk M4 CS iaitu San Marino Blue Metallic dan Lime Rock Grey Metallic. Walaubagaimanapun, jika anda mahukan sesuatu yang lebih unik, terdapat pilihan Frozen Dark Blue II, yang terdiri daripada warna biru matte hasil rekaan BMW Individual. Warna itu hanya boleh didapati pada bulan November tahun ini, dan disebabkan prosesnya lebih panjang, jumlahnya adalah terhad.

Di dalam, terdapat kemasan kulit dan Alcantara pada kebanyakan bahagian, dan M4 CS menerima tempat duduk sama seperti M4 CP (dibalut dengan kulit Merino dan Alcantara). Stereng sport M kulit datang secara standard, tetapi jika mahu, anda boleh memilih balutan Alcantara dengan bayaran tambahan.

Bahagian kabin juga menerima pelbagai rekaan yang unik bagi modelnya, termasuk pada jalur kemasan dan tepi pintu. Sama seperti M4 GTS, pemegang pintu bahagian dalamnya diganti dengan penarik yang diperbuat daripada kain. Kelengkapan teknologi yang diletakkan pada kereta ini secara standard antaranya termasuk Navigation System Professional, BMW ConnectedDrive Services, aplikasi BMW M Laptimer dan lampu LED adaptif.