BMW M3 G80 dan M4 G82 didedah – kuasa hingga 510 PS, tork 650 Nm, pilihan transmisi manual dan AWD

BMW M3 G80 dan M4 G82 didedah – kuasa hingga 510 PS, tork 650 Nm, pilihan transmisi manual dan AWD

BMW M3 yang pertama diperkenalkan 35 tahun dulu, dan kini pengeluar dari Jerman ini mendedahkan generasi baru M3 G80 dan M4 G82. Sedan serta coupe prestasi ini mengekalkan formula peningkatan prestasi dan casis seperti sebelum ini, namun apa yang lebih menjadi perhatian adalah gril baru serba besar yang mengundang kontroversi seperti 4 Series.

Tidak kisahlah apa yang orang kata tentang ‘gigi’ itu, prestasi dua model ini pastinya boleh membuatkan mereka senyap kerana enjin enam silinder twin turbo 3.0 liter S58 (diambil daripada X3 dan X4 M) padanya mampu menghasilkan 480 PS pada 6,250 rpm dan 550 Nm tork pada 2,650 hingga 6,130 rpm. Jumlah ini adalah hampir 50 PS dan 50 Nm lebih berkuasa berbanding model F80 dan F82 sebelum ini.

Bahagian head enjin ini adalah lebih ringan sementara sistem suntikan terusnya pula dipertingkat hingga boleh bertahan dengan tekanan maksimum 350 bar. Ia juga mempunyai crankshaft diperkuat, sistem Valvetronic, Double Vanos dan penyejukan yang dipertingkat.

BMW M3 G80 dan M4 G82 didedah – kuasa hingga 510 PS, tork 650 Nm, pilihan transmisi manual dan AWD

Selain versi 480 PS/550 Nm itu, M3 dan M4 baru ini juga ditawarkan dengan pakej spesifikasi Competition yang boleh menjadikan kuasanya 510 PS pada 6,250 rpm dan 650 Nm tork antara 2,750 hingga 5,500 rpm. Model ini dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan sementara model 480 PS dipadankan bersama transmisi manual enam kelajuan.

Pada tahun hadapan pula, M3 dan M4 versi Competition ini akan ditawarkan dengan sistem pacuan semua roda M xDrive (sebagai pilihan tambahan) dan klac elektronik padanya dapat mengagihkan kuasa antara roda hadapan dan belakang, sementara Active M Differential pula mengagihkan tork antara roda kiri dan kanan di belakang.

Dalam keadaan biasa, model xDrive ini akan menggunakan pacuan roda belakang, tetapi sekiranya ada gelinciran, barulah kuasa akan disampaikan kepada roda belakang. Sistem ini juga mempunyai tetapan 4WD dan 4WD Sport (lebih kepada kuasa di roda belakang). Kalau yakin boleh mengawal kuasa ini dan mahu berseronok, anda boleh pilih mod 2WD dan menutup ciri kawalan kestabilan.

Untuk memastikan kuasa ini dapat digunakan dengan cekap, bahagian casis serta suspensi turut dipertingkat. Subframe aluminium hadapan telah dipasang dengan pendakap tapak atas penyerap, serta pelbagai lagi besi sokongan di beberapa bahagian lain. Bahagian tengah dan belakang badan ditambah dengan crossbar serta subframe yang disambung secara terus (rigid).

Kedua-dua M3 dan M4 mempunyai pusat graviti lebih rendah, jarak roda kiri dan kanan hadapan lebih lebar serta suspensi adaptif M secara standard. Penyerap MacPherson di hadapan dipadankan bersama wishbone dan torque arm aluminium, forged swivel bearing, bearing roda serba ringan, kinematik dengan castor lebih besar serta kingpin angle. Gandar belakang five-link model ini mendapat wishbone yang khas untuknya.

Secara keseluruhannya, BMW mendakwa model ini menawarkan tahap stabiliti dan ketepatan tinggi, rasa stereng neutral dan peningkatan tenaga linear. Semua model datang dengan sistem stereng nisbah boleh ubah M Servotronic serta brake-by-wire dengan pilihan dua tetapan. Sistem brek yang lebih pantas dan tepat ini dipadankan bersama angkup enam piston dan cakera 380 mm di hadapan sementara brek jenis seramik karbon pula disediakan sebagai pilihan tambahan bersama cakera 400 mm.

BMW M3 G80 dan M4 G82 didedah – kuasa hingga 510 PS, tork 650 Nm, pilihan transmisi manual dan AWD

Seperti biasa, M3 dan M4 baru ini mendapat mod M Dynamic untuk kawalan stabiliti, sementara sistem kawalan cengkaman pula disepadukan bersama ECU dan boleh bertindak balas 10 kali lebih pantas. Sistem M Drive Professional disediakan sebagai pilihan dan ia memberi tambahan fungsi M Traction Control yang memberikan 10 tahap kemasukan berbeza, bersama pencatat masa pusingan (lap timer) dan “drift analyser”. Ciri ini diberikan secara standard untuk model Competition.

Buat pertama kalinya, BMW menggunakan diameter berbeza untuk rim M3 dan M4, iaitu 18 inci di hadapan dan 19 inci di belakang, dibalut tayar masing-masing 275/40 dan 285/35. Model pacuan semua roda pula diberikan dengan rim 19 inci di hadapan, 20 di belakang, dengan tayar 275/35 dan 285/30.

Pada bahagian dalam, ia datang terus dengan tempat duduk sport M, butang mod M pada roda stereng, butang pemula enjin merah serta tombol gear automatik yang menyala. Pembeli juga boleh mendapatkan tempat duduk bucket gentian karbon dengan lencana model yang menyala serta pelbagai kemasan lain yang dibuat daripada gentian karbon.

GALERI: BMW M3 G80 Competition

GALERI: BMW M4 G82 Competition

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required