BMW 4 Series Gran Coupé G24 2022 – lima varian, hingga 40 sistem bantuan pemandu pada M440i xDrive

BMW 4 Series Gran Coupé G24 2022 – lima varian, hingga 40 sistem bantuan pemandu pada M440i xDrive

Hanya satu minggu selepas i4 dilancarkan, sekarang BMW memperkenalkan pula kembarnya yang menggunakan enjin pembakaran dalaman biasa, iaitu 4 Series Gran Coupe G24. Ada lima varian yang dilancarkan – 420i, 420d, 420d xDrive, 430i, dan M440i xDrive daripada BMW M. Model ini dijangka memasuki pasaran bulan November tahun ini, dan merupakan merupakan varian badan 4 Series yang ketiga selepas G22 Coupe dan G23 Convertible.

Dari aspek rekaan, 4GC ini mempunyai banyak persamaan dengan i4; pemegang pintu, bukaan udara di fender dan profail 3/4 belakang adalah sama. Perbezaan paling jelas di bahagian belakang cuma ekzos dan juga lencananya.

Dimensi model ini juga sangat hampir dengan i4, dengan ukuran 4,783 mm panjang, 1,852 mm lebar dan 1,442 mm tinggi (kurang 6 mm berbanding i4). Jarak lebar antara roda kiri dan kanan di depan dan belakang masing-masing adalah 1,595 mm dan 1,623 mm (6 mm dan 19 mm lebih lebar berbanding 3 Series G20).

BMW 4 Series Gran Coupé G24 2022 – lima varian, hingga 40 sistem bantuan pemandu pada M440i xDrive

Jarak roda 2,856 mm sekarang adalah 46 mm lebih panjang daripada 4 Series Gran Coupe F32 sebelum ini, dan 5 mm lebih panjang daripada 3 Series G20. Ruang simpanan but 30 liter lebih besar daripada 4 Series Coupe biasa, iaitu 470 liter, dan ia boleh bertambah lagi menjadi 1,290 liter apabila tempat duduk dilipat.

Untuk kelengkapan, semua model mendapat lampu utama LED penuh dengan DRL LED secara standard, dan ia boleh dinaik taraf kepada lampu LED adaptif dengan fungsi BMW LaserLight dan Selective Beam. Pemilik juga boleh menukarnya kepada M Lights Shadow Line, yang menggunakan bahagian dalam gelap.

Pergi kepada M440i xDrive, ia mendapat peningkatan biasa M Sport dengan bampar depan dan belakang baru, kemasan Cerium Grey pada keliling gril dan pelindung cermin sisi, serta spoiler rendah khas M. Varian ini menggunakan rim M 18 inci secara standard (yang lain menggunakan saiz 17 inci), dan boleh dinaik taraf dengan pelbagai rekaan lain sehingga saiz 20 inci.

Pemilik M440i xDrive dan M Sport boleh memilih pakej luaran M Carbon, di mana bukaan udara hadapan, pelindung cermin sisi, diffuser belakang dan spoiler belakang dibuat daripada gentian karbon. Dua pilihan warna bukan metalik dan tujuh warna metalik ditawarkan secara standard, tetapi bagi yang mencari sesuatu yang istimewa, mereka boleh memilih warna daripada katalog BMW Individual.

Di bahagian dalam, seperti yang boleh dijangka, rekaan kebanyakannya sama seperti model 4 Series G22 dan G23. Perubahan paling ketara adalah tempat duduk belakang lebih rata di bahagian tengah, seterusnya menjadikan ia sebagai sebuah model lima tempat duduk yang lebih ideal. Ruang kepala penumpang juga lebih baik. Pelbagai pilihan kemasan dalam disediakan termasuk kulit sintetik Sensatec, Vernasca atau paling tinggi, BMW Individual Merino.

BMW Live Cockpit Plus adalah standard, menampilkan panel instrumen digital penuh 12.3 inci dan skrin sesentuh 8.8 inci. Pakej pilihan tambahan Live Cockpit Professional menaik taraf skrin infotainmen kepada unit 10.25 inci, tetapi kedua-duanya masih menggunakan BMW Operating System 7 (bukan OS 8 seperti i4) dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Secara standard model ini mendapat enam pembesar suara, tetapi pemilik boleh menaik taraf kepada sistem 10 pembesar suara 205 watt Harman Kardon.

BMW 4 Series Gran Coupé G24 2022 – lima varian, hingga 40 sistem bantuan pemandu pada M440i xDrive

Sekarang, kebanyakan pilihan enjin mendapat tambahan kuasa elektrik dengan sistem hibrid ringkas 48 volt, menjadikan model ini menepati taraf Euro 6d. Hanya varian 420i dan 430i tidak menggunakan sistem MHEV ini – digerakkan unit empat silinder 2.0 liter B48 dengan kuasa 184 PS/300 Nm bagi 420i dan 245 PS/400 Nm untuk 430i.

Seterusnya adalah 420d, di mana ia boleh didapati dengan pacuan dua roda belakang atau xDrive semua roda. Kedua-dua varian diesel ini dibantu tenaga elektrik dengan starter-generator 48 volt (tambahan 11 PS) dan menghasilkan kuasa 190 PS/400 Nm.

Buat masa sekarang, varian paling tinggi adalah M440i xDrive Gran Coupe, yang dipacu oleh enjin petrol enam silinder 3.0 liter B58 dan dibantu sistem hibrid ringkas 48V. Enjin ini mampu menghasilkan kuasa 374 PS dan 500 Nm, dan sistem ekzos M Sport diberikan secara standard.

BMW 4 Series Gran Coupé G24 2022 – lima varian, hingga 40 sistem bantuan pemandu pada M440i xDrive

BMW 4 Series Gran Coupé G24 2022 – lima varian, hingga 40 sistem bantuan pemandu pada M440i xDrive

Semua model menggunakan transmisi automatik lapan kelajuan, sementara M440i xDrive mendapat unit Steptronic Sport yang lebih agresif. Sistem AWD xDrive ini juga ditala untuk menyampaikan lebih kuasa kepada roda belakang, dan BMW mendakwa 4GC ini mempunyai agihan berat 50:50. Pilihan tambahan lain yang disediakan adalah seperti suspensi M Sport (pasif atau adaptif, datang dengan Variable Sport Steering), brek M Sport dan differential M Sport (datang standard pada M440i).

Akhir sekali bagi bahagian keselamatan, BMW memberitahu 4 Series Gran Coupe mempunyai sehingga 40 fungsi bantuan pemandu automatik pada spesifikasi paling tinggi, sekaligus membenarkan pemanduan autonomous Level 2. Sama seperti i4, ini termasuklah Active Cruise Control dengan fungsi Stop and Go, Speed Limit Assist, Front-Collision Warning dengan Pedestrian and Cyclist Detection, Rear-Collision Prevention, dan Lane Departure Warning. Pakej Driving Assistant Professional menambah Steering and Lane Control Assistant, yang boleh diguna sehingga kelajuan 180 km/j.

GALERI: BMW M440i xDrive Gran Coupe G24

GALERI: BMW 430i Gran Coupe G24

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required