BMW 430i Coupe M Sport G22 tiba — dari RM406k

BMW 430i Coupe M Sport G22 tiba — dari RM406k

BMW 430i Coupe M Sport G22 kini tiba di Malaysia selepas tiga bulan pengenalan model M4 G82 diperkenalkan di sini, Disember tahun lalu. Merupakan model import sepenuhnya, 430i ini hanya hadir dalam versi M Sport sahaja, dan dijual pada harga RM405,680 (dengan pengecualian cukai SST).

Termasuk sekali dengan harga asas ini ialah jaminan dua-tahun tanpa had perbatuan, tidak termasuk servis percuma. Sebagai makluman, untuk membeli kereta in dengan pakej servis percuma dan jaminan lima-tahun akan menjadikan harganya RM418,800.

Harga ini juga tidak termasuk RM36,000 untuk Innovation Package, yang terdiri daripada kemasan balutan kulit Vernasca, BMW Laserlights, bantuan lampu tinggi, sistem audio Harman Kardon, BMW Connected Package Profesional dan panel instrumen Sensatec (kulit buatan).

BMW 430i Coupe M Sport G22 tiba — dari RM406k

Ini bermakna, hanya pelanggan yang membuat pra-tempahan bagi kereta ini boleh mendapatkan 430i M Sport tanpa Innovation Package pada harga RM418,800. Ini menjadikan pembeli baru yang ingin mendapatkan kereta ini perlu membayar RM454,800 termasuk dengan jaminan lima-tahun dan pakej servis percuma; ini pula sebelum pilihan kustom yang lain.

Sebagai kelengkapan standard, model ini menggunakan enjin B48 2.0 liter empat-silinder turbocas yang menghasilkan 258 hp dan 400 Nm tork dari 1,550 rpm hingga 4,400 rpm. Transmisi automatik Steptronic Sport lapan-kelajuan adalah gandingannya, membolehkan kereta ini memecut 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat. Laju maksimum adalah 250 km/j.

Antara kelengkapan lain bagi model M Sport ini termasuk suspensi M SPort, brek M Sport, stereng sport boleh ubah, lampu utama dan lampu kabus LED, kit luaran M SPort dengan pakej M Aerodinamics dan BMW Individual Shadow Line, mesh kidney grille dengan kemasan aluminium kesat, ekzos krom dan rim 19-inci aloi 797 M dwi-warna dengan profil tayar campuran (255/40 depan, 255/35 belakang) run-flat.

BMW 430i Coupe M Sport G22 tiba — dari RM406k

Di dalam, 430i menerima BMW Live Cockpit Professional dengan panel instrumen digital sepenuhnya 12.3-inci, paparan skrin sentuh 10.25-inci di tangah yang dikuasakan oleh perisian BMW Operating System 7.0, BMW ConnectedDrive, pengecas tanpa wayar dan sistem bunyi BMW “HiFi”.

Sebagai model M Sport, kereta ini menerima lapik bumbung gelap, stereng balutan kulit, pedal khas M, kerusi depan larasan kuasa dengan fungsi memori (pemandu), kerusi kemasan gabungan Sansatec/fabrik serta kemasan aluminium Tetragon dalam penyudah krom mutiara. Ada juga lampu suasana dengan 11 tetapan sedia ada, cermin pandang belakang dan cermin sisi elektrokromik, kawalan pendingin hawa automatik tiga-zon, lampu aluan dan sistem BMW Comfort Access.

Dari sudut keselamatan, kereta coupe ini dilengkapi dengan BMW Driving Assistant, merangkumi fungsi seperti amaran perlanggaran depan dengan brek, amaran lintasan trafik belakang, penghindar perlanggaran belakang, amaran penukaran lorong, amaran keluar lorong dan kawalan melayar dengan fungsi brek. Ada juga Parking Assistant dengan bantuan mengundur serta kamera belakang.

Sekarang, penawaran pilihan pula. 430i M Sport boleh dipilih daripada enam warna — Alpine White, Black Sapphire metalik, Portimao Blue metalik, Arctic Race Blue metalik (gambar), Dravit Grey metalik dan Tanzanite Blue metalik. Dua warna terakhir ini akan menelan tambahan kos RM9,160

Jika inginkan rim gelap sepenuhnya, pilihan rim aloi ringan 791 M boleh dipilih, tanpa sebarang kos tambahan. Tetapi jika inginkan tayar yang lebih bagus, anda perlu menambah RM8,290 untuk set lengkap sepenuhnya.

Selain itu, ada juga rim 783 Bicolour rekaan jejari-Y dengan tayar standard pada kos tambahan RM10,120, atau RM18,400 dengan tayar prestasi. Turut ditawarkan ialah rim untik 19-inci BMW Individual 793 dwi-warna dengan kos RM13,170, tetapi hanya datang dengan tayar rub-flat biasa.

Ruang dalamannya juga diberi pilihan kombinasi 12 warna balutan, dengan hitam (benang biru) sebagai standard, dan Canberra Beige dengan tambahan RM880. Model dengan Innovation Package akan menerima balutan kulit Vernasca yang datang dalam warna Tacora Red (gambar), Mocha, Black, Oyster dan Cognac. Tanpa pakej ini, naik taraf kepada Vernasca akan menelan kos RM15,260.

Selain itu, terdapat lapan pilihan bagi kemasan dalaman, dari pelbagai kemasan aluminium dan kayu – temrasuk tiga kemasan BMW Individual; hitam berkilat, fabrik aluminium berkilat dan kayu Fineline. Setiap satunya menelan kos RM6,110.

BMW 430i Coupe M Sport G22 tiba — dari RM406k

Pilihan lain termasuklah suspensi M adaptif (RM5,240), pintu belakang berkuasa (RM4,360), BMW Individual Lights Shadow Line (RM2,620), pakej luaran M Carbon (RM25,290), spoiler belakang M (RM1,750), kerusi depan dengan penyandar lumbar (RM2,180), kerusi depan dengan pemanas (RM3,320), kerusi depan berliang (RM7,850) dan perincian tombol gear (RM880).

Pakej Driving Assistant Professional yang lebih maju pula memerlukan kos tambahan RM12,210, sementara kawalan melayar aktif dengan fungsi Start-and-Go dengan tambahan RM3,930. Kalau nak head-up display yang boleh membaca gerak tangan anda, itu perlukan lagi RM2,620 dan RM9,600. Fungsi penghidup enjin dari jauh pula menelan kos RM3,060. Jadi macam mana, ok BMW 430i M Sport Coupe G22 terbaru ini?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required