BMW Malaysia kini memperkenalkan model 320i Sport G20 pemasangan tempatan pada harga RM243,800. Termasuk di dalam harga berkenaan ialah jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan dengan servis berjadual percuma, jaminan 24-bulan untuk run flat tyre, BMW Roadside Assistance, BMW White Card, dan BMW Service Online.

Ia menggunakan enjin B48 2.0 liter empat-silinder petrol BMW TwinPower Turbo yang menghasilkan 184 hp pada 5,000 hingga 6,500 rpm dan 300 Nm dari 1,350 hingga 4,000 rpm. Ini dilengkapi dengan transmisi automatik lapan-kelajuan ZF, dengan kepantasan 0-100 km/j dalam 7.1 saat. Laju maksimum ialah 235 km/j, dengan gabungan kadar penggunaan bahan api 6.3 liter bagi setiap 100 km.

Sebagai perbandingan, enjin sama yang digunakan pada 330i M Sport menghasilkan 258 hp pada 5,000 rpm dan 400 Nm pada 1,550 rpm. Ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 5.8 saat, dengan laju maksimum 250 km/j. Gabungan kadar penggunaan petrol pula ialah 6.4 liter bagi setiap 100 km. Harga 330i M Sport pula RM45k lebih tinggi.

320i Sport ini menerima ciri lampu utama LED adaptif yang sama seperti 330i, tetapi bahagian bawah bampar depan dan belakang kurang garang dan lebih ringkas. Rim pula menggunakan saiz 18-inci Style 780 dengan profil tayar 225/45 (run flat). Pilihan warna pula terdiri daripada Mediterranean Blue, Black Sapphire, Alpine White, Mineral Grey dan Sunset Orange.

Dalam kabin pula menggunakan kemasan kulit Vernasca sebagai standard, dengan perincian aluminium “mesh effect”. Stereng juga baru, tiga jejari balutan kulit dengan paddle shifter serta perubahan paling ketara ialah tiada lagi panel instrumen digital 12.3-inci bagi pakej BMW Live Cockpit Professional. Sebaliknya 320i Sport menerima BMW Live Cockpit Plus, dengan paparan 5.7-inci. Paparan skrin sentuh di tengah juga lebih kecil; menjadi 8.8-inci daripada 10.25-inci pada BMW Live Cockpit Professional.

Bagaimanapun, Operating System 7.0 BMW tidak ditawarkan. Head unit yang lebih kecil itu hanya menggunakan Operating System 6.0 dan disambung kepada sistem audio 100 watt dengan enam-pembesar suara. Pengecas Qi ada disediakan, dengan sistem pendingin hawa tiga-zon, 11 talaan lampu suasana serta bukaan but tanpa sentuh.

Ciri keselamatan, antaranya terdapat enam beg-udara dan Isofix pada tempat duduk belakang. Ia juga turut hadir dengan ciri lain seperti Attentiveness Assistant, kawalan melayar pasif dengan fungsi brek, bantuan parkir serta kamera undur. Kereta ini juga lengkap dengan servis BMW ConnectedDrive; terdiri di dalamnya Intelligent Emergency Call, Teleservices, BMW Digital Key, lampu aluan.

BMW 320i Sport dijual pada harga RM243,800 dan boleh dibeli menggunakan Balloon Financing Plan yang disediakan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, pada kadar RM2,788 sebulan (berdasarkan 80% daripada jumlah pinjaman bagi tempoh lima-tahun).