Mazda nampaknya sudah bersedia untuk pergi lebih maju dengan kenderaan bantuan tenaga elektrik apabila mendedahkan rancangan pengenalan 13 model (dengan kuasa elektrik) menjelang tahun 2025, termasuklah hibrid dan hibrid ringkas. Ini adalah antara strategi dalam pelan masa hadapan Sustainable Zoom-Zoom 2030, yang juga termasuk pengenalan platform modular baru.
Antara yang awal untuk platform baru ini adalah SkyActiv Multi-Solution Scalable Architecture, di mana ia akan digunakan dengan unit penggerak transverse bagi produk yang lebih kecil dan unit penggerak longitudinal untuk model produk yang lebih besar.
Platform baru ini akan tiba tahun hadapan, dan ia akan menjadi asas bagi pengenalan sekurang-kurangnya lima model hibrid, lima model plug-in hybrid dan tiga model elektrik penuh dari tahun 2022 hingga 2025 untuk Jepun, Eropah, AS, China dan ASEAN.
Antara model yang mempunyai kemungkinan beralih kepada bantuan elektrik adalah CX-5 dan Mazda 2 generasi seterusnya. Ia kemudiannya akan diikuti oleh pengenalan platform khas EV yang dipanggil sebagai SkyActiv EV Scalable Architecture pada tahun 2025, dan akan digunakan untuk EV pelbagai saiz serta bentuk badan.
Menurut Mazda, berdasarkan pelan ini, mereka menjangka 100% produk mereka akan mempunyai bantuan penggerak elektrik menjelang tahun 2030 dan nisbah bantuan tenaga elektrik mereka akan mencecah 25% menjelang 2030, meningkat banyak berbanding 5% yang diumumkan sebelum ini.
Pegawai eksekutif urusan kanan Mazda, Ichiro Hirose dilaporkan berkata bahawa Mazda akan menjalankan pembangunan EV mereka secara sendiri, dengan menggunakan teknologi yang telah dibangunkan bersama antara mereka, Toyota dan Denso. Dijangkakan, ada antara model akan datang Mazda bakal menggunakan komponen penggerak hibrid daripada Toyota.
Mazda turut mengumumkan bahawa mereka akan memperkenalkan sistem Mazda Co-Pilot 1.0 pada kenderaan mereka bermula tahun hadapan. Sistem bantuan pemandu ini memerhati keadaan pemandu pada setiap masa dan sekiranya ia mengesan pemandu tidak berupaya melalui perubahan fizikal secara mengejut, ia akan menukar kenderaan kepada pemanduan autonomous untuk memberhentikan kenderaan secara selamat dan menghubungi talian kecemasan.