Audi RS3 2022 dalam teaser – enjin lima silinder 2.5L 400 PS dan 500 Nm tork, 0-100 km/j dalam 3.8 saat

Audi RS3 2022 dalam teaser – enjin lima silinder 2.5L 400 PS dan 500 Nm tork, 0-100 km/j dalam 3.8 saat

Tidak lama lagi Audi akan mendedahkan RS3 generasi keempat, dan sekarang siri teaser untuknya sedang rancak dibuat. Kita sudah tahu RS3 ini akan ditawarkan dalam bentuk hatchback dan sedan, tetapi hari ini, Audi mendedahkan beberapa perinciannya, yang menampakkan jelas ia mahu menyerang Mercedes-AMG.

RS3 baru ini nanti akan terus menggunakan enjin lima silinder 2.5 liter, dan ia mampu menghasilkan 400 PS dari 5,600 hingga 7,000 rpm, dan 500 Nm tork dari 2,250 hingga 5,600 rpm. Jumlah ini adalah 20 Nm lebih berbanding kuasa RS3 sekarang, dan membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat. Prestasi ini 0.3 saat lebih pantas berbanding RS3 sekarang, dan juga sedikit lebih pantas berbanding Mercedes-AMG A 45 S 4Matic+.

Audi mengatakan bahawa jumlah kuasa ini menjadikan RS3 baru sebagai hot hatch paling berkuasa dalam segmennya, tetapi kita perlu ingat bahawa enjin empat silinder 2.0 liter pada A 45 S menghasilkan 421 PS dan 500 Nm tork. Kelajuan maksimum RS3 dihadkan kepada 250 km/j tetapi ia boleh ditingkatkan kepada 280 km/j atau 290 km/j dengan pakej RS Dynamic. Transmisi standard adalah unit klac berkembar tujuh kelajuan, dan fungsi Launch Control juga ada disediakan.

Audi RS3 2022 dalam teaser – enjin lima silinder 2.5L 400 PS dan 500 Nm tork, 0-100 km/j dalam 3.8 saat

Secara keseluruhan, terdapat tujuh mod pemanduan pada RS3 ini – Comfort, Auto, Dynamic, Efficiency, RS Individual, RS Performance dan RS Torque Rear. Ya, RS3 ini boleh dibuat drift, hasil penggunaan pengagih tork boleh ubah penuh yang dipanggil RS Torque Splitter. Ini adalah model Audi pertama yang menggunakan sistem tersebut.

Semasa pemanduan dinamik, pengagih tork ini akan meningkatkan tork pacuan ke roda bahagian luar yang mempunyai beban lebih tinggi, yang mana menurut Audi dapat mengurangkan kecenderungan untuk understeer. Semasa membelok ke kiri, roda sebelah kanan akan mendapat lebih tork sementara bila membelok ke kanan, roda kiri pula mendapat lebih tork.

Untuk membuat drift pula, pengagih tork ini boleh menyampaikan semua tork kepada satu roda sahaja, di mana jumlahnya boleh mencecah sehingga 1,750 Nm. Selain daripada itu, RS Torque Rear juga boleh meningkatkan kelincahan serta stabiliti waktu pemanduan dinamik.

Jumlah kuasa yang disampaikan kepada roda belakang bergantung kepada mod pemanduan yang dipilih. Dalam mod Comfort atau Eco, hampir semua kuasa disampaikan kepada roda hadapan sementara dalam mod Auto pula, tork diagihkan secara seimbang antara gandar hadapan dan gandar belakang. Dalam mod Dynamic, kuasa lebih kepada roda belakang.

Untuk suspensi, RS3 mendapat penyerap serta sistem injap dalaman baru yang lebih reaktif berbanding sebelum ini. Kedudukannya 10 mm lebih rendah berbanding S3, dan 25 mm lebih rendah berbanding A3. Di hadapan, ia dipasang dengan suspensi jenis McPherson serta pivot bearing, wishbone, subframe serta stabiliser khas untuknya. Camber juga dijadikan lebih negatif berbanding A3. Gandar belakang menggunakan sistem gantungan four-link. Suspensi sport RS dengan penyerap adaptif disediakan sebagai pilihan tambahan.

GALERI: Audi RS3 hatchback

GALERI: Audi RS3 Sedan

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required