Perancangan Volkswagen di Malaysia — SUV baru dan bukan Polo Mk6, model ID. tertakluk usaha kerajaan

Perancangan Volkswagen di Malaysia — SUV baru dan bukan Polo Mk6, model ID. tertakluk usaha kerajaan

Susulan pelancaran model Arteon facelift minggu lalu, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) melalui Pengarah Urusannya, Erik Winter, turut berkongsi beberapa perkembangan dan perancangan semasa syarikat itu untuk pasaran Malaysia — termasuk model-model baru untuk pasaran tempatan.

Tentang Arteon sendiri, yang menyaksikan penawaran versi terbaru ini dalam spesifikasi yang lebih tinggi (dan harga juga) adalah bertujuan untuk membezakan penawaran antara barisan model Passat dan Arteon. Winter menjelaskan, walaupun posisi penawaran yang agak rapat antara keduanya, Arteon tidak mengganggu jualan Passat.

“Selepas membandingkan angka jualan sebelum ini dengan angka ketika Arteon dilancarkan, kami tidak melihat banyak penurunan jualan Passat,” ujarnya. “Saya percaya Arteon memberi nilai tambahan kepada penawaran barisan kenderaan Volkswagen dan memberikan lonjakan imej lebih tinggi kepada Passat.”

Perancangan Volkswagen di Malaysia — SUV baru dan bukan Polo Mk6, model ID. tertakluk usaha kerajaan

Berkaitan mengapa Arteon terbaru ini masih tidak dilengkapi dengan ciri brek kecemasan autonomous (AEB), Winter menjelaskan: “Untuk memperkenalkan sistem berkenaan di sini memerlukan kajian dan pembangunan lanjut, serta ujian dan kebenaran. Hal ini sedang kami usahakan, dan kami jangkakan akan dapat memperkenalkannya di Malaysia nanti.”

Sama seperti pengeluar lain, VPCM juga sangat terkesan dengan protokol PKP yang berlangsung ketika ini, memandangkan syarikat ini juga memasang kenderaannya di sini. “Permulaan awal tahun ini agak baik untuk kami sebenarnya, beberapa bulan terawal nampak sangat menjanjikan. Sudah tentu, ketika ini kami juga sangat terkesan dengan PKP, terutama di Lembah Klang.”

“Kami ada beberapa rakan pengedar yang kini beransur ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Nasional (PPN), tetapi perniagaan kami, serta kilang di Pekan, Pahang dan keseluruhan rantaian pembekal masih lagi terkesan oleh pandemik. Sebab itu, bersama dengan Persatuan Automotif Malaysia (MAA), kami meminta kerajaan untuk membenarkan kami beroperasi semula, kerana situasi sangat kritikal bagi kami semua ketika ini,” tambah beliau.

Perancangan Volkswagen di Malaysia — SUV baru dan bukan Polo Mk6, model ID. tertakluk usaha kerajaan

Berkaitan model-model akan datang untuk pasaran tempatan pula, sudah diketahui bahawa VPCM akan memperkenalkan Golf tahun ini. Sebelum ini, Golf Mk8 GTI pernah dilihat di Pekan sekaligus memberi petunjuk kehadirannya untuk pasaran tempatan mungkin dalam versi CKD, Winter mengesahkan model berkenaan memang akan tiba di Malaysia.

“Kami sedang bekerja keras untuk memperkenalkan model tersebut di sini. Tetapi, dengan keadaan pandemik, PKP, kurang bekalan cip dan sebagainya telah menyebabkan hal itu terpaksa ditunda seketika. Namun ketika ini, perkembangannya agak baik, dan harap dapat memperkenalkannya secara berdepan dan bukan di secara virtual kelak,” jelas Winter.

Bagi Polo pula, Winter memaklumkan belum ada perancangan untuk memperkenalkan versi Mk6 di Malaysia dalam masa terdekat. Jadi model apa yang berada dalam perancangan? Menurut beliau, VPCM akan mengembangkan barisan model SUV-nya.

Ini secara langsung membuka banyak kebarangkalian, misalnya bagi SUV peringkat kemasukan. Ketika ini, jenama itu menawarkan dua model yang diposisikan di bawah Tiguan di Eropah, iaitu T-Cross (Taigun di India) dan T-Roc, sementara model Taigo dari segmen B pula dijangka akan diperkenalkan tak lama lagi. Syarikat ini juga ada memasarkan model Taos/Tharu dalam pasaran Amerika Utara dan China.

Perancangan Volkswagen di Malaysia — SUV baru dan bukan Polo Mk6, model ID. tertakluk usaha kerajaan

VPCM juga mungkin akan memperkenalkan Tiguan Allspace facelift dalam masa terdekat, memandangkan model berkenaan menerima sambutan menggalakkan di sini. Menurut Winter, SUV berkenaan yang tiba dalam masa yang sama dengan Arteon tahun lalu merekodkan jualan yang 15-20% lebih tinggi berbanding Tiguan lima-tempat duduk sebelum ini.

Kecenderungan elektrifikasi dalam industri automotif pula hangat dibincangkan ketika ini di peringkat global, dan Volkswagen juga tidak ketinggalan dalam perlumbaan ini melalui barisan model ID. Pengenalannya di sini pula bergantung kepada insentif kerajaan. “Kami di Malaysia sentiasa mengikuti perkembangan e-mobiliti dan kami mengalu-alukan rancangan kerajaan terhadap perkara ini. Sudah tentu kami akan ikut serta. Namun, untuk menjawab sama ada kami mempunyai perancangan kukuh berkaitannya ketika ini, kami masih belum memutuskan tentang itu,” ujarnya.

Jangan salah faham. VPCM sentiasa berminat untuk membawa masuk barisan model ID. untuk pasaran tempatan sekiranya perancangan dan prasarana di sini mengizinkannya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required